Thursday, April 28, 2005

Program XPDC Dakwah Siri III dan Demontrasi Aman Pertahankan Masjidil Al-Aqsa

Assalamualaikum dan Salam Perjuangan

Sila hebahkan kepada semua untuk makluman.

Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berserta Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan menganjurkan program - program berikut berikut, harap dapat disebar luaskan;

1. Program XPDC Dakwah Siri III - Membantah Penganjuran Konsert Fenomena Dangdut Inul;

Tarikh : 1 Mei 2005 (Ahad)
Masa : 6.30 petang
Tempat : Berkumpul di Pintu Masuk Utama, Stadium Merdeka
Mesej Utama : Hentikan Kegilaan Konsert Yang Berunsurkan Maksiat dan Bertentangan Dengan Islam.

2. Demontrasi Aman Pertahankan Masjidil Al-Aqsa Dari Ancaman Merobohkannya Oleh Rejim Israel
Tarikh : 06 Mei 2005 (Jumaat)
Masa : Selepas Solat Jumaat
Tempat : Masjid Jamek Kuala Lumpur
Mesej Utama : Kembalikan Kedaulatan Palestine dan Menolak Tuntutan Israel Untuk Mendapatkan Masjidil Al-Aqsa

* Sila bawa Banner dan Placard sebagai tanda sokongan kepada Rakyat Palestine

Semua media dan rakyat Di Jemput Hadir

Sekian. Terima Kasih

Wan Mohamad Kamal
Setiausaha
Lajnah Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Wednesday, April 27, 2005

INUL DAN TSUNAMI

Allah s.w.t telah menguji kita dengan Tsunami besar yang meragut ratusan ribu nyawa pada 26 Disember 2004 yang lepas. Sebelum itu, ratusan ribu haiwan - haiwan laut, darat dan di udara bertempiaran lari keluar dari Wilayah yang dihambat tsunami sebagai petanda awal.

Dan kini fenomena luar biasa yang berlaku akhir-akhir ini seharusnya membuatkan kita lebih berhati-hati terhadap amaran Allah yang pada hari ini semakin dilupai. Janganlah kita bersikap seperti orang-orang yang terdahulu iaitu;

"'Sekiranya Allah menghendaki, tentu kami tidak menjadi orang-orang yang mempersekutukan, dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami mengharamkan sesuatu.' Begitulah orang-orang yang sebelum mereka mendustakan sehingga mereka merasakan bencana Kami." (Al-An'aam:148)

Sehingga kini, pakar - pakar sains masih gagal mencari jawapan, mengapa timun laut boleh terdampar di beberapa tempat dipantai barat Malaysia. Mengapa hasil tangkapan para nelayan Pantai Barat kini meningkat, udang dan kerang begitu mudah diperolehi dengan banyak sedangkan sebelum ini tidak sebegitu. Catatan ini seperti menceritakan kejadian yang dilalui oleh para nelayan di Kota Kuala Muda sebelum mereka diserang oleh amukan Tsunami.

Justeru itu, wajiblah kita beristiqhfar, semoga Allah ampuni dosa-dosa kita. Ayuhlah!!! kita bersama - sama keluar berdakwah untuk memastikan bahawa masyarakat kita juga akan turut sealiran dengan kesedaran yang kita miliki. Konsert Fenomena Dangdut Inul yang bakal dilangsungkan pada 1 Mei 2005 ini sebenarnya mencabar akan amaran yang Allah telah berikan. Kita khuatir akan azab Allah akan diturunkan selepas konsert ini.

Katakanlah, "Apa pendapat kamu, jika azab Allah datang kepada kamu, atau Saat datang kepada kamu, adakah kamu menyeru sesiapa selain daripada Allah, jika kamu berkata benar?" (Al-An'aam:40)

Janganlah kita berdiam di dalam rumah dengan mengharapkan iman kita terpelihara dengan mengabaikan hak Allah untuk mendapatkan ketaatan dari seluruh makhluk yang bernama manusia dimuka bumi ini. Janganlah kita sekadar duduk berteleku dihadapan akhbar harian sambil melihat kedurjanaan bermaharajalela tanpa membuat apa – apa melainkan melahirkan kekesalan yang tiada berkesudahan.

Sesungguhnya, Allah tidak redha untuk kita hidup di dunia ini hanya semata – mata untuk melihat orang lain melakukan maksiat dan kita tidak melarangnya. Konsert Fenomena Dangdut itu mungkin tidak akan menunjukkan apa – apa tarian bogel atau lucah selagi mana Inul bersedia menerima peraturan yang ditetapkan di Malaysia. Tetapi adakah itu boleh dijadikan jaminan bahawa pada hari konsert itu muda mudi Islam tidak akan terkinja – kinja, bergelek dan berpelukkan. Percampuran lelaki dan perempuan pastinya tidak akan dapat dielakkan, Kes raba, minum arak, zina mungkin akan berlaku dalam diam atau terbuka seperti mana kejadian yang biasa kita dengar semasa dan selepas sesuatu konsert itu diadakan.

Mungkin tidak semuanya akan berzina dan minum arak. Tetapi perlukah kita melanggar arahan Allah dengan membiarkan 1 atau 2 orang demi memuaskan nafsu serakah mereka. Janganlah kita lupa bahawa tindakan kita membiarkan mereka dengan tidak memperdulikan dan memikirkan perkara yang mereka lakukan itu akan diminta pertanggungjawabnya oleh Allah. Kita juga boleh dianggap bersubahat walaupun kita hanya melihat dari jauh atau dirumah sedangkan kita mampu untuk mencegahnya.

Adalah fasiq bagi diri kita sekiranya kita tidak mahu keluar berdakwah dan membebaskan generasi kita dari ketagihan maksiat. Maksiat itu bukan hanya sekadar pada perkara zina, minum arak, mencuri dan membunuh. Maksiat itu juga tergolong dalam kelompok pergaulan bebas berpegangan tangan atau berpelukkan, bercium, berpakaian tidak senonoh dan tidak menutup aurat serta perkara – perkara yang melalaikan kita dari mengingati Allah.

Adalah munafik jika kita membiarkan Konsert ini dilangsungkan tanpa kita menyatakan bantahan kerana itu secara langsung menunjukan persetujuan kita kepada konsert itu. Munafik bagi kita menyokong dan terlibat dan usaha – usaha mempromosikan konsert ini.

Ingatlah kembali bahawa Tsunami yang melanda Acheh bukan sekadar bermain ditepian pantai tetapi telah sampai berbatu – batu jauhnya hingga melenyapkan Kota Acheh yang jauh dari Pantai. Lupakah kita pada bencana Allah yang lain seperti kebakaran hutan yang menghasilkan jerebu, tanah runtuh Highland Tower, Gempa Bumi, banjir dan sebagainya. Itu semua boleh berlaku dimana – mana dan bila-bila masa. Lihatlah Negara Jepun dan Amerika, Walau secanggih mana pun persediaan mereka menghadapi tsunami dan bencana lainnya namun mereka masih gagal menghalang fenomena Allah Yang Maha Kuasa itu.

Hanyalah iman dan keyakinan kita pada Allah sahaja yang akan menyelamatkan kita seperti mana yang berlaku pada mangsa – mangsa tsunami yang lepas. Lihatlah Masjid – masjid Allah yang masih teguh dibumi Acheh. Ke mana bangunan lainnya, mana disko-disko dan pusat pelancongan maksiat yang mereka banggakan sebelum ini? Semua telah musnah ditelan badai tsunami.

Oleh itu wahai para muslimin dan muslimat, saya meyeru kepada kalian agar tampil kehadapan untuk kita bersama menyertai XPDC Dakwah bagi membantah konsert Inul di Stadium Merdeka pada 1 Mac 2005. Kita bertemu di sana pada pukul 6.30 petang – 8.00 malam di pintu masuk Stadium (Kita akan berehat hanya untuk solat maghrib) bagi menunjukkan bantahan kita dan mengedarkan risalah dakwah kita.

Kepada semua rakyat Indonesia di Negara ini, saya menasihatkan agar tidak menghadiri konsert ini tetapi bersama kami untuk berdakwah. Jangan ingat saudara – saudari telah selamat dari Tsunami bila berada di Malaysia. Ayuh!!! kita keluar bersama-sama bagi memastikan usaha - usaha untuk meraikan ideologi hedonisme yang cintakan hiburan melalui konsert seperti ini dapat dihapuskan.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tuesday, April 26, 2005

MANSUHKAN SISTEM KUOTA DIESEL

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengesa pihak kerajaan agar memansuhkan sistem Kuota Diesel yang pada hari semakin menyusahkan para pengguna. Kuota yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan sebelum ini hanya bertahan sehingga 20 April.

Kuota yang menghadkan penjualan diesel menyebabkan kebanyakkan pengangkutan awam tersadai ditepi jalan hari ini. Bas hanya dibenar mengisi 60 liter diesel di setiap stesen minyak pada hal kenderaan itu memerlukan antara 180 hingga 240 liter bagi setiap perjalanan.

Beberapa Syarikat Bas Express dan pengangkutan awam tempatan terpaksa menunda, malah ada yang membatalkan perjalanan ekoran kehabisan minyak yang dijual di stesen minyak. Adakala penumpang terpaksa berpatah balik kerana bas yang mereka naiki gagal meneruskan perjalanan.

Keadaan semakin kritikal bila mana, perkhidmatan bas sekolah dan teksi turut dilibatkan dalam masalah ini. Ini sekaligus menyebabkan kekurangan pengangkutan alternatif bagi mereka. Bagi mereka yang duduk sekitar Kuala Lumpur mungkin masih boleh menggunakan perkhidmatan Komuter, Monorail, LRT STAR atau PUTRA. Bagaimana penduduk di Sarawak, Sabah, Johor, Melaka dan lain – lain yang terpaksa berjalan kaki berbatu-batu untuk mendapatkan bekalan harian ekoran kelumpuhan sistem pengangkutan awam?

Selain itu, pada masa ini syarikat – syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan juga terjejas teruk. Banyak barangan yang ingin dibawa keluar dari kilang atau ladang seperti di Johor dan Melaka tidak dapat dihantar untuk dipasarkan ekoran kenderaan tiada minyak. Nelayan – nelayan di pantai Timur juga tidak dapat turun ke laut ekoran tiadanya bekalan diesel untuk menggerakkan jentera motorbot mereka.

DPPWP melihat bahawa perkara ini bukan sahaja akan melumpuhkan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Negara tetapi ia juga bakal melemahkan sistem ekonomi secara keseluruhan. Barang - barang yang dipasarkan terhad dan ini akan menyebabkan harga barangan pengguna pada masa akan datang akan meningkat lagi. Selain itu, pihak kilang dan pengeluar lainnya juga akan mengalami kerugian kerana barangan yang telah siap diproses tidak dapat dihantar kepada pelanggan pada masa yang ditetapkan. Para Petani dan Nelayan juga akan gagal memasarkan hasil titik peluh mereka kerana pemborong tidak dapat membawa barangan mereka ke pasar.

DPPWP secara keseluruhannya melihat bahawa pihak kerajaan perlu memansuhkan Sistem Kuota yang diperkenalkan dan mencari jalan lain bagi mengatasi masalah penyelewengan subsidi diesel yang berlaku sebelum ini. DPPWP tidak mahu kerajaan bersikap seperti ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Diharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat bertindak segera bagi mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Takziah Kepada Mangsa Kebakaran di Kampung Bukit Pantai

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan takziah kepada semua mangsa kebakaran di Kampung Bukit Pantai, Kuala Lumpur. Kebakaran yang berlaku pada petang hari ahad baru-baru ini amat mengejutkan kita semua. Seramai 1000 penghuni terpaksa hidup sehelai sepinggang selepas ini setelah 180 buah unit rumah mereka terbakar dalam kejadian.

DPPWP dimaklumkan bahawa kejadian tersebut berpunca dari kelalaian seorang penduduk yang terlupa memadamkan alat pemanas air yang digunakan ketika sedang leka menonton cakera padat video (VCD) dirumah jirannya. Walaubagaimana pun kebakaran yang bermula pada pukul 2.45 petang itu berjaya dipadamkan pada pukul 4.55 petang.

Seramai 60 orang pegawai dan anggota Bomba bergegas ke tempat kejadian bersama 5 Jentera bagi memadamkan kebakaran. Balai bomba yang terlibat ialah Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Dalam, Jalan Hang Tuah, Jalan Tun Razak, Sungai Besi serta Jalan Klang Lama.

DPPWP mengucapkan tahniah dan terima kasih atas bantuan pihak Bomba yang berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak walaupun pada awalnya angin bertiup agak kencang dan bekalan air yang sistematik sukar didapati dikawasan itu. Alhamdulillah, Allah menurunkan hujan bagi membantu memadamkan keseluruhan api yang marak ketika itu.

Pada hari ini juga, DPPWP dimaklumkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil penduduk perumahan setinggan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membincangkan urusan pemindahan mereka. Diharapkan pertemuan mereka pada hari akan dapat memberikan faedah kepada penduduk Kampung Bukit Pantai dan memindahkan semua mangsa ke rumah – rumah PPR yang telah dibangunkan oleh DBKL.

Selain itu, DPPWP juga akan berusaha untuk membantu penduduk – penduduk berkenaan bagi meringan beban yang mereka tanggung pada hari ini. Kita juga akan meminta Pemuda PAS Kawasan lembah Pantai yang berada di Kawasan tersebut untuk turun membantu para penduduk dan mengenal pasti keperluan dan bantuan yang boleh dihulurkan.

Semoga kejadian ini akan memberikan pengajaran kepada kita semua agar lebih berhati-hati ketika mengendalikan bahan-bahan yang mudah terbakar.

Riduan Mohd Nor
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Imej polis tercalar lagi

Pada minggu lepas satu kes kehilangan alat proses pil khayal yang disita oleh Polis telah dilaporkan berlaku. Kejadian tersebut berlaku disebuah Kilang yang telah disita dan dikawal rapi oleh pihak Polis.

Ekoran kejadian yang memalukan ini, seorang anggota polis berusia pertengahan 40-an yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah ditahan di lokap IPD Shah Alam untuk siasatan. Sumber polis berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat atau denda. Bagaimana pun, anggota tersebut telah dibebaskan tanpa sebarang bukti yang mengesahkan penglibatannya. Apa yang menjadi persoalan difikiran kita adalah keberkesanan sistem keselamatan dan pengawalan yang dilakukan oleh pihak Polis yang kini semakin mencurigakan dan tidak menyakinkan.

Ini bukanlah kejadian pertama yang dilaporkan. Pada 07 April 2005 yang lepas kira-kira 49,000 daripada 61,000 pil khayal yang menjadi bahan bukti perbicaraan kes pengedaran dadah di Mahkamah Tinggi Shah Alam didapati hilang dalam kawalan pihak Polis juga.

Selain daripada kes ini, jika kita imbas semula, pada 03 Julai 2004, seramai 11 orang tahanan telah berjaya melarikan diri dari lokap Balai Polis Puchong. Walaupun ke semua tahanan tersebut dapat ditangkap semula tetapi ianya pasti menjadi sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan oleh pegawai Polis di Balai Polis Puchong.

Tidak cukup dengan itu, Kes kematian tahanan ekoran deraan pihak Polis juga sering kedengaran akhir-akhir ini. Selain kes kematian Rastam Talib, 19, yang dipercayai mati dipukul oleh pegawai penjara di Sg Buloh pada 6 Mac 2005, berlaku lagi satu kes di Rembau di mana seorang lelaki dipercayai mati akibat didera teruk oleh pihak polis ketika dalam lokap.

Mainimaran a/l Selvaraj, 33, telah diberitahu meninggal dunia hanya selepas isterinya datang ke Balai Polis Rembau untuk bertemu dengan suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dalam kes kecurian iaitu pada 11 Mac 2005.

DPPWP berharap agar pihak Polis mengambil iktibar terhadap pengalaman lalu dan tidak membiarkan kejadian-kejadian seumpama ini terus mencalarkan imej baik Polis di mata masyarakat. Jika diperhatikan, ke semua tempat kejadian yang dilaporkan adalah dibawah kawalan pihak Polis. Kejadian - kejadian seumpama ini semakin melemahkan keyakinan masyarakat akan kredibiliti pihak Polis sebagai pasukan keselamatan Negara yang kini sudah’ tidak selamat lagi’.

DPPWP berasakan bahawa perlunya satu siasatan dan kajian terperinci terhadap kelemahan – kelemahan yang dilaporkan. Tahap disiplin dan kecekapan pegawai - pegawai Polis yang berkhidmat perlulah diperbaiki khususnya dari kalangan anggota lama yang sering menganggap diri mereka terlalu ‘senior’ sehingga tidak mahu menerima nasihat dari Pegawai baru yang lebih muda dari mereka.

Tahap kecergasan Pegawai Polis juga perlulah ditingkatkan bagi memastikan mereka tidak menjadi terlalu pasif. Kebanyakkan pegawai Polis yang duduk bertugas di Balai atau di Pejabat mengganggap tugasan mereka itu hanya seperti tugas seorang kerani dipejabat biasa. Sebenarnya mereka patut menyedari bahawa tugas mereka itu amat besar tanggungjawabnya kerana ianya masih melibatkan soal keselamatan Negara.

Di situlah para tahanan dilokapkan, disitulah tempat bahan-bahan bukti disimpan. Tidak cukup dengan itu, balai Polis juga menjadi perhatian masyarakat yang sering datang untuk melaporkan masalah mereka termasuklah kes kecurian dan jenayah lain.

Kebanyakkan pegawai Polis gagal menunjukkan sifat dedikasi mereka dan melayan orang ramai seperti membuka ‘kaunter pendaftaran panggung wayang’ sahaja. Orang yang datang melaporkan kehilangan Motosikal atau rumahnya dimasuki pencuri kadang kala hanya dinasihatkan untuk berhati-hati di masa akan datang. Tiada sebarang inisiatif untuk melakukan siasatan serius dengan alasan bahawa ramai lagi orang yang hilang motorsikal, atau banyak lagi rumah yang telah dimasuki pencuri.

Tetapi keadaan berbeza bila mana harta atau barangan milik orang terkenal yang dilaporkan hilang. Selain itu, kadang kala mereka tunggu media massa datang buat liputan baru mereka menganggap kes tersebut serius. Sikap memilih – milih kes seperti ini haruslah dihindarkan kerana setiap pelapor yang datang ke kaunter pihak Polis inginkan satu jawapan atau tindakkan dari pihak Polis.

Di beberapa tempat, orang ramai datang melaporkan bahawa kejadian ragut dan kehilanggan barang di Surau atau Kompleks Beli Belah di kawasan itu kerap berlaku. Polis hanya bagi nasihat agar pelapor pandai-pandai jaga barang sendiri kelak. Selepas itu kejadian sama berlaku lagi pada orang lain dan pihak Polis meneruskan nasihat mereka tanpa sebarang tindakan untuk membuat siasatan atau kawalan dikawasan tersebut. Ini biasa berlaku kepada pengunjung di kompleks-kompleks seperti The Mall, Jalan Putra, Central Market, Plaza Kota Raya, Sogo dan Pertama Complex di pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Jika perkara-perkara seperti ini tidak diambil tindakkan maka pada masa akan datang masyarakat akan melihat pihak Polis ini sebagai organisasi yang tidak berguna untuk masyarakat. Kewujudan mereka hanyalah sekadar menghabiskan duit rakyat yang di peruntukkan kepada mereka bermain – main.

Justeru itu, DPPWP menyarankan agar Pegawai-pegawai Polis yang telah lama bertugas diberikan ‘refreshment’ melalui program-program pembinaan disiplin serta pemantau secara serius. Kita juga tidak mahu lagi mendengar kes – kes Jenayah yang turut dilakukan oleh pegawai Polis seperti menagih dadah, rompak dan bunuh. Kesedaran dan pembinaan jati diri perlu dipupuk agar mereka juga dapat belajar menghormati hak orang lain sekalipun orang itu adalah tahanan.

Semoga kecekapan organisasi Jabatan Polis dapat diperbaiki dan memastikan Jenayah dalam Negara ini dapat di kurangkan dengan lebih banyak pada masa – masa akan datang.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Saturday, April 23, 2005

ISA 7 dibebaskan setelah hak pendidikan mereka dinafikan selama empat tahun

KUALA LUMPUR, 22 April (Hrkh) - Tujuh mahasiswa dari pelbagai institusi pendidikan di bebaskan hari ini dari dakwaan di bawah Akta Polis oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mereka dibebaskan selepas terpaksa berulang alik ke Mahkamah Majistret beberapa kali hatta ada yang telah dipecat dari tempat belajar mereka.


Mereka dibebaskan setelah pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Ketujuh-tujuh mereka ditahan setelah menyertai perhimpunan membantah ISA di Masjid Negara pada 8 Juan 2001.

Mereka dituduh di bawah seksyen 27(5) Akta Polis 1967 dan mereka dikenali sebagai ISA 7.

Mereka yang terlibat ialah Rafzan Ramli, Helman Sanuddin, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Khairul Amal Mahmud, Nik Noorhafizi Nik Ibrahim, Ahmad Kamal Abdul Hamid dan Zulkefle Idris.

Mereka merupakan mahasiswa dari UiTM, UKM, UM dan UTM

Wakil (ISA7), Helman Sanuddin bersyukur kerana semua rakan-rakannya telah dibebaskan daripada dakwaan menganjurkan perhimpuanan atau menyertainya.

Menurut beliau, "Kami memang tidak terlibat dengan perhimpunan tersebut cuma kebetulan kami keluar daripada masjid dan program itu juga diadakan di hadapan masjid."

Katanya, keputusan mahkamah telah berpihak kepada kami dan ini merupakan langkah permulaan untuk kembali semula ke kampus dan meneruskan pengajian di mana pihak universiti telah menggantung pengajian mereka selama empat tahun.

"Kita berharap pihak universiti dapat menerima keputusan mahkamah dan kita juga minta supaya pihak universiti menghentikan tuduhan kepada kami sebagai penderhaka kerana melawan pihak kerajaan," katanya.

Turut ditahan ketika itu adalah Tian Chua, Ketua Penerangan PKR sekarang. Tian Chua turut berada di mahkamah hari ini.

Sementara itu, salah seorang dari yang tertuduh, Rafzan Ramli berkata, selama empat tahun tuduhan ke atas mereka telah menyaksikan hak mereka terhadap pendidikan telah dinafikan.

"Sebelum didakwa di bawah Akta Polis 1967, kami merupakan pelajar universiti awam. Namun setelah kami dihadapkan ke mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur pada 19 Julai 2001, pihak universiti telah menghukum kami sebelum dibuktikan bersalah oleh mahkamah dengan menggantung pengajian dengan serta merta.

"Tindakan menggantung pengajian ini tidak demokratik serta melanggar prinsip asas keadilan sejagat," kata Rafzan dalam satu kenyataannya.

Menurut Rafzan, selama empat tahun mereka dinafikan hak pendidikan kerana kes mahkamah yang berlanjutan.

"Kami terpaksa mencari kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan kami dan keluarga," katanya.

"Kini kami berazam untuk memperbaiki kehidupan kami dan pada masa yang sama tetap terus menyatakan bantahan keras terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 yang tidak berperikemanusiaan dan demokratik itu," katanya lagi.

Sehubungan dengan itu juga, Rafzan bagi pihak kawan-kawannya memohon Kementerian Pendidikan Tinggi agar membenarkan mereka menyambung pengajian kembali tanpa sebarang syarat mahupun diskriminasi.

Beliau juga meminta Perdana Menteri menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 yang telah mencengkam dan menghapuskan daya kreativiti mahasiswa sejak lebih tiga dekad lalu.

"Sesungguhnya, kes ISA 7 telah berakhir namun kami berpendirian tegas bahawa perjuangan mahasiswa menentang kezaliman AUKU 1974 masih belum berakhir dan harus diteruskan," kata Rafzan lagi. - SA/ZS/mks

PAS akan masuki tokong Cina untuk menjelaskan kekeliruan

Oleh Mohd Sabri Said

BUTTERWOORTH, 22 April (Hrkh)- Rumah ibadat dan dewan-dewan milik orang bukan Islam akan menjadi sasaran PAS Pulau Pinang untuk menyampaikan seruan kebaikan Islam agar mereka tidak terkeliru kata, Pesuruhjaya PAS Negeri, Haji Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Travel Lounge, Butterworth sempena program dialog dengan bukan Islam anjuran Badan Perhubungan dengan kerjasama PAS Kawasan Bagan.
"PAS Pulau Pinang akan menyasarkan rumah ibadat atau dewan milik orang bukan Islam sebagai lapangan dakwah secara berterusan, " tegasnya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Setiausaha Perkim Cawangan Putra, Saudara Ann Wang Seng, Setiausaha Perhubungan, Zulkifli Mohd Akhir, Ketua Dewan Pemuda dan naibnya, Azizi Ayub dan Ustaz Hafiz Nordin.

Menurutnya, selama ini PAS negeri belum terjun ke tahap itu memandangkan terlalu sibuk dengan soal politik.

Kali ini, keseimbangan antara dakwah dan politik akan seiring memandangkan perjuangan memerlukan kedua-duanya.

"Kali ini kita akan gerak serentak Lajnah Antara Budaya perhubungan, pemuda dan muslimat untuk mencari medan terbaik sasaran itu, " ujar beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Jelas beliau lagi, selain melibatkan PAS, kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam akan dipertingkatkan bagi tujuan berkenaan.

Bukan itu sahaja bahkan kepimpinan PAS Kawasan juga turut dilibatkan bagi memastikan matlamat ini mencapai sasaran menjelang pilihanraya umum akan datang.

"Kita kena laksanakan program ke arah ini sebab di Pulau Pinang majoritinya adalah golongan terbabit. Tanpa kefahaman mendalam terhadap Islam sukar untuk PAS bertapak di hati mereka, " terangnya.

Pendekatan bijak Ini kerana, masyarakat bukan Islam seperti Cina dan India mempunyai identiti yang harus diterokai.

"Contohnya, masyarakat Cina kurang berminat sekiranya kad jemputan diberikan begitu sahaja tanpa ada campur tangan ketua mereka.

Lagipun PAS masih gagal menyenaraikan pertubuhan cina, dewan perniagaan mereka atau NGO yang melibatkan 8,000 pertubuhan seluruh Malaysia.

- zs

Tempoh konsesi PLUS dilanjut

Oleh Magendran Rajagopal dan Azli Ayob

KUALA LUMPUR: Plus Expressways Berhad (Plus) akan menaik taraf Lebuh Raya Utara-Selatan daripada laluan empat lorong kepada enam lorong sehala dari Seremban ke Air Keroh dan Rawang ke Tanjung Malim selain menaik taraf laluan mendaki Tanjung Malim ke Sungkai menjelang November 2007.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata mengikut skop kerja baru dalam Perjanjian Konsesi Tambahan Ketiga itu, Plus akan membiayai separuh daripada kos pembinaan dan sebagai balasan, tempoh konsesi ditambah sebanyak lapan tahun tujuh bulan lagi sehingga 31 Disember 2038.

“Kos kerja pelebaran lebuh raya, naik taraf jalan, pengalihan plaza tol Jelapang serta pembinaan kawasan rawat dan rehat (R&R) ini berjumlah RM1.043 bilion dan akan dikongsi bersama oleh Kerajaan Pusat dan Plus.

“Apabila selesai, projek ini melicinkan perjalanan terutama pada musim perayaan atau cuti sekolah dan beberapa langkah keselamatan seperti pengalihan Plaza Tol Jelapang yang dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan akan dilaksanakan serentak.

“Plus sudah menyiapkan 90 peratus reka bentuknya dan kerja pembinaan dijangka bermula bulan depan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi tambahan ketiga antara Kerajaan Pusat dan Plus, di sini, semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Ahmad Dhaman Huri Mohd Ali, menandatangani bagi pihak kerajaan dengan disaksikan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk George George manakala Plus diwakili Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pegawai Eksekutif UEM Berhad, Datuk Ahmad Pardas Senin selaku saksi.

Kerja pelebaran jalan antara Seremban-Senawang sejauh 6.7 kilometer (km) bermula Mei, Senawang-Ayer Keroh sejauh 61 km, Rawang-Tanjung Malim (45 km) dan Tanjung Malim-Slim River (27 km) pada Ogos ini.

Samy Vellu berkata, Lebuhraya Utara-Selatan harus dibangunkan sebagai penanda aras bagi lebuh raya di rantau ini dan dimanfaatkan kontraktor tempatan untuk mengeksport kemahiran mereka dalam bidang pembinaan lebuh raya.

Katanya, projek seperti Lebuh Raya Utara-Selatan yang dilaksanakan melalui Dasar Penswastaan Negara mampu menjadi pemangkin pembangunan negara dalam usaha menjadi negara maju menjelang 2020.

Lebuh Raya Utara-Selatan mula dibina pada Mac 1988 oleh United Engineers (Malaysia) Berhad dan diberi hak mereka bentuk dan mengendalikannya, termasuk mengutip tol selama 30 tahun iaitu sehingga 31 Mei 2018.

Pada 20 Julai 1988, UEM menyerahkan segala tanggungjawab terhadap Lebuh Raya Utara-Selatan kepada Plus dengan persetujuan kerajaan dan Perjanjian Konsesi Tambahan Pertama ditandatangani bagi meningkatkan kadar tol serta melanjutkan tempoh konsesi sehingga 31 Mei 2030.

Pada 11 Mei 2002, Perjanjian Konsesi Tambahan Kedua ditandatangani untuk menyemak semula baki tempoh konsesi kadar kenaikan tol bagi menyelaraskan pampasan tol berikutan ketetapan kerajaan hanya menaikkan tol sebanyak 10 peratus daripada 11.24 sen setiap km kepada 12.36 sen satu km.

Kadar itu jauh lebih rendah daripada kenaikan 18 sen yang diminta Plus tetapi kadar yang dipersetujui itu hanya untuk tempoh 1 Januari 2002 hingga 31 Disember 2004 dan selepas itu disusuli peningkatan berjadual tol kelas 1 sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun.

Atasi krisis diesel

KUCHING: Persatuan Pengusaha Lori Sarawak (SLTA) meminta campur tangan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dalam usaha mengatasi krisis diesel yang berlarutan di negeri ini sejak enam bulan lalu.

Presiden SLTA, Jong Foh Jit, turut memberi jaminan tidak akan melancarkan mogok kerana percaya krisis itu dapat diselesaikan dengan cara baik, lebih-lebih lagi dengan campur tangan kerajaan negeri.

"Kita menasihatkan ahli supaya bersabar sementara menunggu kerajaan mencari penyelesaian. Kita berharap tidak ada ahli yang bertindak keterlaluan.

"Biar kita selesaikan krisis ini dengan cara baik, mesti ada jalan penyelesaiannya. Lebih baik kita berbincang dan sama-sama cari jalan untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SLTA di sini.

Pada mesyuarat yang dihadiri kira-kira 70 daripada 163 ahli berdaftar SLTA, krisis diesel yang semakin meruncing di negeri ini menjadi topik perbincangan utama.

Jong berkata, beliau diberitahu sekiranya tiada langkah serius diambil bagi menangani krisis diesel, ahli tiada pilihan lain kecuali menghentikan operasi sehingga keadaan pulih seperti biasa.

"Kita pun tahu, segala polisi yang dilaksanakan ketika ini lebih merumitkan keadaan. Kita sudah memberikan pandangan dan cadangan kita kepada kerajaan untuk mengatasi krisis ini.

"Kita berharap masalah ini diatasi secepat mungkin kerana jika dibiarkan, ia dikhuatiri menimbulkan lebih banyak masalah, selain menjejaskan perkembangan industri dan pembangunan yang dirancangkan kerajaan," katanya.

Diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, SLTA sentiasa menyalurkan perkembangan terkini mengenai krisis diesel di negeri ini kepada ahli mereka, terutama menerusi media massa.

Nabi Muhammad SAW : Idola Sepanjang Zaman .. Bukan Artis !!!

Oleh : Cucu Mat Kilau

Memperkatakan tentang kebobrokan dunia artis di negara kita, sememangnya ramai pihak yang tidak bersetuju terutamannya golongan yang menyokong kerajaan Islam Hadhari hari ini. Tambahan pula bagi mereka yang benar-benar fanatik dengan seseorang artis itu.

Tidak hairanlah ada sesetengah dikalangan kita sanggup berbelanja ribuan ringgit semata-mata untuk menampilkan imej seperti artis yang menjadi idola mereka. Namun ramai yang terkejut apabila melihat media massa kini, sering memaparkan kes dadah yang melibatkan golongan artis. Apa yang menghairankan ialah, artis yang ditangkap dan terlibat itu adalah artis lama yang nama mereka sudah tenggelam dek "populariti" mereka suatu ketika dulu.

Sebelum ini, industri hiburan tanahair pernah digemparkan dengan kes dadah yang melibatkan dua orang selebriti ternama iaitu Jamal Abdillah dan Saleem Iklim. Jamal dan Saleem, biarpun sudah beberapa kali ditangkap dan didakwa dimahkamah .. namun mereka masih tidak berupaya untuk menginsafi diri mereka hingga akhirnya membawa mereka kembali ke "lubuk puaka" itu. Pun begitu, Jamal dilihat sedikit ada perbezaan mutakhir ini. Ia berlainan sekali dengan Saleem Iklim, beliau kini berada dalam tahanan atas beberapa keselahan dadah dan baru sahaja dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan terbabit. Apa yang jelas, Saleem adalah idola "penagih dadah" yang tidak pernah serik-serik biarpun namanya masih lagi popular hingga ke saat ini.

Apapun, Cucu dapat melihat selagi golongan artis ini dijadikan idola.. selagi itulah masalah penagihan dadah ini tidak akan ada jalas penyelesaiannya. Bahkan dengan wang yang berjuta-juta ringgit dibelanjakan oleh kerajaan, kejayaan untuk menangani masalah penagihan dadah ini didapati tidak ada jalan penyelesaiannya. Inilah bukti, amalan dan dasar yang diterapkan oleh kerajaan Islam Hadhari tidak akan menjadi penyelamat kepada agama, bangsa dan negara. Malahan , semakin hari permasalahan sosial seperti ini akan menjadi semakin parah lagi.

Terbaru, tiga orang lagi artis didakwa atas kesalahan dadah iaitu penyanyi dan pelakon Shereen, kemudian diikuti oleh Baby dari kumpulan Res2 dan yang terkini Jeff bekas penyanyi kumpulan remaja A To Z, yang cukup popular menerusi lagu "Itik Gembo-Gembo" suatu ketika dulu. Paparan yang dilihat jelas menunjukkan artis yang ada di Malaysia hari ini tidak layak untuk dijadikan idola oleh golongan remaja. Namun hasil galakan dan sokongan kerajaan Islam Hadhari, para remaja dan generasi muda hari ini semakin tergila-gila dan mengagung-agungkan seseorang artis itu yang mana akhirnya mereka tidak sedar mereka sebenarnya berada di dalam dunia khayalan dan bukan dunia realiti seperti yang dimomok-momokkan oleh beberapa buah stesyen TV swasta di negara ini melalui rancangan realiti mereka.

Lihat saja apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Cucu amat menyokong sekali teguran yang dibuat oleh salah seorang pemimpin muslimah Islam Hadhari iaitu Dr. Marshitah Ibrahim yang mengatakan, beliau apa kecewa melihat sikap generasi muda hari ini yang tergila-gila untuk menjadi popular menerusi dunia hiburan. Bahkan katanya beliau juga kesal dengan sikap TV swasta yang semakin rancak mengdakan kempen dan usaha untuk menarik remaja ini menyertai program mereka seperti Akademi Fantasia, Audition, dan macam-macam lagi. Namun Dr.Mashitah lupa bahawa TV Kerajaan sendiri kini turut mempromosikan rancangan realiti mereka iaitu Bintang RTM. Bukankah mereka juga bersekongkol sebenarnya dalam hal ini. Namun setelah berada dalam kerajaan Islam Hadhari, tokoh agama seperti Dr. Mashitah tidak sedar akan perkara ini.

Atas dasar untuk melihat "Kemenangan Islam" terpancar di bumi Malaysia yang tercinta ini.. Cucu amatlah berharap agar semua pejuang Islam berusaha untuk meyakinkan golongan muda remaja agar menjadikan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW sebagai "IDOLA" sepanjang zaman dan bukannya golongan artis seperti hari ini. Semoga dengan perubahan ini, lebih ramai generasi muda hari ini akan tertarik dengan perjuangan Islam yang sebenarnya dan bukan Islam Hadhari yang di"stereotype" oleh pihak berkenaan semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat yang kononnya mereka juga perjuangankan Islam. Tetapi Islam yang mencampur adukkan yang hak dan yang batil. Inilah amalan yang sering dipraktikkan oleh para pemimpin puak Islam Hadhari di Malaysia hari ini.

Salam Perjuangan,

CUCU MAT KILAU
Pahang Darul Makmur
cmk_pahang@yahoo.co.uk

PM Jepun mohon maaf kezaliman Perang Dunia Kedua

JAKARTA: Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi semalam membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh sedekad kerana menyebabkan penderitaan negara Asia ketika Perang Dunia Kedua, sekali gus membuka harapan ketegangan Tokyo dengan China dapat diredakan.

“Pada masa lalu, Jepun menerusi penjajahannya dan kekejamannya, menyebabkan penderitaan dan kerosakan ke atas ramai penduduk dan negara, khususnya negara Asia,” kata Koizumi ketika berucap pada perasmian Sidang Kemuncak Asia Afrika di sini semalam, sambil diperhatikan Presiden China, Hu Jintao.

“Jepun berdepan fakta sejarah itu dengan rasa malu. Dengan rasa kesal, Jepun memohon maaf dengan sepenuh hati. Jepun juga sentiasa memastikan sejak berakhirnya Perang Dunia kedua, negara ini tidak lagi menjadi kuasa tentera tetapi kuasa ekonomi,” katanya.

Jepun sudah beberapa kali menyuarakan permohonan maaf kerana kekejaman lampaunya. Ketika mengunjungi Beijing pada 2001, Koizumi turut membuat permohonan maaf kerana penderitaan dialami rakyat China pada masa lalu.

Namun, permohonan maafnya semalam dibuat ketika Jepun dan China terbabit dalam pertikaian diplomatik dengan bantahan besar-besaran di Beijing berikutan tindakan Tokyo meluluskan penggunaan buku teks yang meminggirkan kekejaman lampau Jepun pada Perang Dunia Kedua itu.

China menolak gesaan Jepun supaya memohon maaf di atas bantahan rakyatnya, sebaliknya menegaskan keengganan Tokyo mengakui zaman hitamnya hanya menegangkan lagi hubungan dua negara yang disifatkan terburuk sejak 30 tahun lalu.

Biarpun Koizumi tidak merujuk China dalam ucapannya semalam atau diakui Hu dalam ucapannya, permohonan maaf pemimpin Jepun itu dilihat cubaan terbaru kerajaan Tokyo meredakan ketegangan dengan Beijing. – AFP

Bagaimanapun, Kementerian Luar Jepun enggan membesarkan keberkesanan tindakan Koizumi dan menyifatkan ia berlaku secara kebetulan.

“Ini bukannya reaksi langsung kepada apa yang berlaku sekarang,” kata jurucakap kementerian itu kepada wartawan.

Laporan lain memetik pegawai Beijing sebagai berkata, apa yang lebih penting adalah tindakan dan bukannya kata-kata semata.

Malah, Hu dan Koizumi masing-masing cuba mengelak di awal perasmian persidangan itu, biarpun Koizumi selepas itu memberitahu wartawan yang dia akan menemui pemimpin China itu hari ini bagi menyelesaikan pertikaian itu.

Media China melaporkan kelmarin, Kementerian Keselamatan Awam negara itu mengeluarkan amaran sebarang bantahan baru diharamkan.

Beberapa bekas diplomat turut dihantar ke beberapa universiti tempatan bagi mengelak sebarang bantahan baru selain laman web yang menggalakkan sentimen antiJepun, ditutup semalam.

Minggu lalu, Perdana Menteri China Wen Jiabao berkata Jepun perlu berani menghadapi kenyataan sejarah Perang Dunia Keduanya yang pahit dan harus berusaha memenangi hati rakyat Asia jika mahukan kedudukan sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP

Jet Russia sekat askar Yahudi

BAITULMAQDIS: Penjualan peluru berpandu (SA-18) buatan Russia kepada Syria tidak akan mengganggu keseimbangan kuasa di Asia Barat, kata Presiden Russia, Vladimir Putin.

Cuma, kata Putin, ia akan membuatkan sebarang kapal terbang sukar untuk terbang rendah di Istana Presiden Syria.

Pembelian peluru berpandu dari Russia itu adalah antara jawapan Syria yang sering dimalukan oleh kejayaan kapal terbang Israel terbang rendah di Istana Presiden Syria setiap kali mahu memberi amaran kepada Bashar Assad.

Presiden Russia itu yang diwawancara oleh Channel One menjelang lawatan bersejarahnya ke Israel dan Palestin minggu depan berkata, penjualan SA-18 tidak mengganggu keseimbangan kuasa di Asia Barat.

Israel berusaha keras menggunakan tekanan untuk menghalang Russia daripada menjual peluru berpandu itu kepada Syria tetapi Putin tetap bertegas selepas berjaya meyakinkan Perdana Menteri, Ariel Sharon bahawa SA-18 tidak boleh digalas dengan mudah di bahu. Dalam ulasan balasnya, Sharon berkata, beliau tidak mudah termakan dengan penjelasan Putin betapa peluru berpandu itu bukannya satu ancaman kepada Israel, kata Radio Israel.

Perdana Menteri Yahudi itu berkata Israel bagaimanapun tidak boleh mencampuri urusan penjualan senjata Russia dengan negara lain.

Bagaimanapun sumber kerajaan Israel bagaimanapun mengutuk Russia kerana bertindak memerangi pengganas antarabangsa tetapi pada masa yang sama turut membantu mereka (dengan menjual senjata).

Dalam wawancara itu, Putin turut menegaskan betapa beliau mempunyai hubungan baik dengan Sharon. Ketika mengulas kritikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice pula, beliau berkata Russia akan mematuhi segenap undang-undang di negara asalnya dan tidak akan terpengaruh dengan sikap rakan sekutunya.

“Malah kami berasa bertuah jika satu hari nanti Rice bertanding sebagai presiden Amerika,” katanya.

Putin turut menekankan bahawa peluru berpandu yang dijual kepada Syria itu perlu dilancarkan daripada kenderaan dan tidak akan mudah untuk menjadi faktor pengancam kepada kapal terbang Israel. – Agensi

Friday, April 22, 2005

MAHKAMAH MENOLAK PENDAKWAAN TERHADAP ISA 7

Assalamualaikum w.w dan Salam Sejahtera

Pertama-tamanya pihak ISA 7 mengucapkan syukur kehadrat Illahi kerana mengurniakan kemenangan dan seterusnya membebaskan ISA 7 dari segala tuduhan pihak pendakwaraya. Selama ini kami tetap istiqamah, yakin dan sentiasa berpegang pada janji Allah iaitu;

“Barang siapa mengerjakan amal soleh, lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah An Nahl: Ayat 97)

Pada hari ini iaitu 22 April 2005 (Jumaat), Majestrit Mohamad Khairi Haron yang membacakan keputusan Mahkamah yang telah bersidang hampir 4 tahun lamanya mengesahkan bahawa tiadanya kes prima facie dan membebaskan semua tertuduh (ISA 7).

Bagi kami, kemenangan ini merupakan satu rahmat selepas semua umat Islam menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w semalam iaitu 12 Rabiulawal. Ia juga simbolik kepada kelahiran satu lagi peluang untuk kami meneruskan suara kebenaran dan memperjuangkan hak kami yang tertindas sebelum ini.

Penantian dan doa kami selama 4 tahun akhirnya di kabulkan oleh Allah pada hari ini (Jumaat), hari yang sama dengan hari penangkapan kami pada 8 jun 2001 yang lalu. Perhimpunan Aman Mansuhkan ISA di hadapan Masjid Negara pada 4 tahun lepas menjadi punca kepada penangkapan dan perbicaraan ini. Kami berharap agar pihak Universiti dapat menerima kehadiran kami dan menerima keputusan Mahkamah yang bersidang hari ini.

Kami juga berharap agar pihak – pihak yang selama ini selalu memburuk-burukkan nama baik ISA 7 sama ada dari dalam atau luar universiti dapat menghentikan segala kegiatan mereka. Tuduhan dan tohmahan seperti ‘pengkhianat, penderhaka, pelajar nakal, pelajar degil, pelajar anti kerajaan, talibarut pembangkang dan sebagainya’ diharap dapat di tarik balik dan dihentikan.

Pihak kami juga tidak teragak – agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk web master dan pengarang yang menyiarkan kenyataan lisan atau bercetak serta mana-mana pihak yang turut terlibat dalam menyebarkan fitnah terhadap ISA 7.

Insya Allah kami berazam untuk kembali ke Alam Kampus bagi menyelesaikan perjuangan kami sebagai pelajar yang selama ini tertangguh ekoran Kes Penggantungan kami oleh pihak Universiti. Kami berharap pihak Kementerian Pengajian Tinggi dapat membuka laluan buat kami begitu juga kepada Naib Canselor kami di UiTM, UM, UKM dan UTM. Semoga kehadiran kami dapat diterima sebaiknya atas dasar kami sebagai Mahasiswa yang tidak pernah bersalah.

Kami juga mengucapkan Jutaan terima kasih kami kepada barisan Peguam Bela yang sentiasa berjuang untuk kemenangan kami ini iaitu En. Edmund Boon, En. Amir Hamzah, En, Zulkifli, En. Wan Razali dan Cik Latefah Koya. Terima kasih kami juga ditujukan khas buat semua ahli keluarga yang tabah mengharungi tribulasi ini bersama kami.

Seterusnya kami mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penyokong kami khususnya dari pihak Mahasiswa dan Alumni diseluruh Negara, Group Soladariti Mahasiswa, DEMA, ISREC, GAMIS, BBMN, PMI dan MPP semua kampus, Parti-parti politik, NGOs, Suhakam, Suaram, Para Wartawan, pihak Polis dan ramai lagi yang tidak sempat kami sebutkan nama mereka disini.

Kami amat gembira dan terharu atas sokong yang tidak pernah kunjung malap dari semua pihak yang yakin akan kebenaran ISA 7. Walaupun kami bukan dari kelompok atau ahli organisasi mereka namun semangat persaudaraan serta atas dasar memperjuangkan Hak Asasi Mahasiswa mereka tampil dengan satu nada yang sama dengan kami. Jasa dan perjuangan sahabat semua amat besar buat kami. Semoga Allah memberkati perjuangan kita semua.

Salam Perjuangan……..

Dari Kami (ISA 7)

Helman Sanuddin
Universiti Teknologi Mara

Rafzan Ramli
Universiti Teknologi Mara

Wan Sanusi Wan Mohd Noor
Universiti Malaya

Khairul Amal Mahmud
Universiti Malaya

Nik Noorhafizi Nik Ismail
Universiti Kebangsaan Malaysia

Ahmad Kamal Abdul Hamid
Universiti Kebangsaan Malaysia

Zulkifli Idris
Universiti Teknologi Malaysia

Kaji balik OSA jika serius tangani rasuah

KUALA LUMPUR, 21 April (Hrkh) - Kerajaan didesak mengkaji balik Akta Rahsia Rasmi (OSA) jika serius mahu mencegah rasuah, kata Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Dato' Ibrahim Ali.

Bagi Ibrahim, bekas Ketua Umno Pasir MAS yang dipecat, OSA adalah antara undang-undang yang mengekang pendedahan salah laku rasuah.
Ini kerana, akta itu akan menghalang mana-mana pihak yang mahu mendedahkan salah laku rasuah.

"Lihat kes Ezam Mohd Nor. Jelas sekali, kerana OSA dia terdedah kepada tindakan undang-undang apabila mahu membanteras salah laku dan rasuah dalam kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Ibrahim, banyak fakta atau bukti kes rasuah terdapat dalam dokumen-dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia oleh kerajaan dan badan-badan berkanun kerajaan.

Apabila ada pihak yang mahu mendedahkan kes rasuah ini, dia akan sentiasa takut kepada OSA yang akan digunakan ke atasnya jika mendedahkan dokumen itu kepada orang ramai hatta mahkamah sekalipun.

"Jadi saya cadangkan, OSA hanya yang melibatkan dokumen keselamatan negara sahaja seperti senjata, bilangan tentera atau alatan keselamatan negara bukan dokumen biasa yang lain," kata Ibrahim.

Perkasakan BPR

Satu lagi pendekatan yang perlu diambil, kata Ibrahim adalah menaikkan taraf Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari jabatan di bawah Perdana Menteri kepada satu suruhanjaya di bawah Parlimen.

Anggota suruhanjaya ini pula, katanya, hendaklah dilantik oleh Yang Dipertuan Agung dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen untuk dibincang dan diawasi secara telus segala tindakannya.

"Jika keadaan berterusan sebagaimana sekarang, orang akan takut untuk mendedahkan rasuah kes rasuah kerana faktanya banyak dilindungi OSA manakala pegawai BPR pula tertakluk kepada budibicara Jabatan Perdana Menteri," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, MTRK sebagai sebuah NGO akan memperjuangkan perkara ini bagi melawan rasuah di negara ini.

- ZS

Kempen kesedaran Islam belum berjaya, beritahu Timbalan Mufti dalam forum RTM

Oleh Ismail Hashim

KUALA LUMPUR, 22 April (Hrkh) – Kempen kesedaran yang dilakukan oleh banyak pihak di dalam negara ini disifatkan belum berjaya mencapai matlamatnya, tegas Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Haji Mohamad Shukri Mohamad dalam Forum yang disiarkan oleh RTM.

Menurutnya, semua perayaan yang dilakukan sempena hari-hari kebesaran Islam itu adalah berperanan sebagai kempen kesedaran sahaja.
“Kerana itulah masyarakat dan umat Islam perlu melangkah lebih jauh untuk menghayati peranan agama di dalam seluruh bidang kehidupan mereka,” jelasnya.

Katanya, “jika kita hanya mengulangi untuk mengadakan kempen kesedaran sahaja, bererti kita hanya bergerak dari fasa pertama menuju ke fasa pertama juga.”

Sedangkan, tambahnya, penghayatan agama ini mempunyai fasa-fasanya yang banyak kerana itulah umat Islam mesti bergerak lebih jauh untuk mencapai matlamat hidup Muslim.

“Rahsia yang paling utama Rasulullah SAW dapat mengubah keadaan dunia ini dari syirik kepada keimanan adalah dengan mengajarkan aqidah umat dan keyakinan rakyat kepada agama.

“Sebagai seorang Guru kepada dunia ini, Rasulullah mempunyai kitabnya iaitu Al-Quran yang datang dari Allah SWT. untuk membimbing dan memandu manusia kepada jalan kebenaran.

“Rasulullah yang mempunyai akhlak yang mulia itu disifatkan sepertimana mata air yang jernih berperanan memberikan kesedaran dan panduan kepada manusia seluruhnya,” tegas Timbalan Mufti Kelantan itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangannya di dalam Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan menerusi media elektronik RTM, malam tadi.

Dato’ Haji Mohamad bersama-sama dengan dua panelis lain iaitu Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood dan Ustaz Haji Mohd Farid Ravi Abdullah yang dipengerusikan oleh Ustaz Ridhuan Tee Abdullah.

Rakaman forum yang mengambil nama filem Samarinda di TV3, Rindu Semakin Jauh… itu dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang, Kelantan, di hadapan ribuan penonton.

Forum yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran menyintai Nabi Muhammad SAW. itu adalah sempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Timbalan Mufti itu juga menyatakan akibat dari kurangnya cinta kepada ilmu Islam menyebabkan masyarakat semakin jauh dari merindui dan menyintai Nabi Muhammad.

- zs

Isu ‘Bible’ dalam bahasa Melayu cetus reaksi berbeza

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Sikap rakyat Malaysia berbeza-beza berikutan tindakan Perdana Menteri membenarkan Bible berbahasa Melayu disebarkan di negara ini dengan syarat dicop atasnya untuk orang bukan Islam sahaja.

Ada yang menentangnya kerana takut orang melayu yang rapuh dengan akidahnya akan terpengaruh manakala ada yang menyokongnya dengan alasan supaya orang Melayu mengetahui apa kandungan kitab suci orang Kristian itu.
Tidak kurang juga yang menyokongnya dengan alasan kebebasan dan orang Islam tidak boleh menyekat dan mengekang pihak lain semacam itu dengan syarat orang Islam sendiri mempertingkatkan kerja dakwahnya khasnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri.

Bimbang

Ahli Dewan Negara, Senator Siti Zailah Md Yusuf melahirkan kebimbangan serta terkilan dengan tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membenarkan `Bible' diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Menurut beliau, Abdullah sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sepatutnya mengkaji terlebih dahulu keburukan penerbitan kitab itu sebelum meluluskannya.

Beliau berkata, terjemahan dalam bahasa Melayu itu dikhuatiri akan mendorong serta mempengaruhi kehidupan lebih ramai bangsa Melayu terutama golongan remaja yang rapuh akidahnya.

Katanya, pihak kerajaan terutama Jabatan Agama Islam seluruh negeri serta pihak Majlis Fatwa perlu bertanggungjawab dalam menangani isu itu memandangkan terjemahan 'Bible' ke bahasa Melayu akan memberi kesan kepada akidah umat Islam terutama di kalangan mereka yang rapuh imannya.

Siti Zailah yang juga AJK Dewan Muslimat PAS Pusat terkilan dengan sikap Abdullah yang meluluskan Bible diterjemahkan dalam bahasa Melayu tetapi dalam masa yang sama tetap bertegas melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Menurut beliau, sikap `double standard' Abdullah itu akan menyebabkan pelajar Melayu menjadi mangsa kerana kegagalan dalam peperiksaan sehingga tidak layak untuk meneruskan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).

Tambahnya, isu bahasa bukan suatu isu yang kecil tetapi besar dan kerajaan perlu mengambil pandangan daripada pelbagai pihak antaranya golongan akademik, NGO, orang awam bagi menentukan hala tuju sebuah negara.

"Sebenarnya kedua-dua isu ini akan memberi kesan buruk kepada bangsa Melayu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tengah hari tadi.

Menurut beliau, sepatutnya kerajaan berusaha menambahkan kefahaman rakyat terhadap huraian al-Quran serta perluaskan dalam penggunaan bahasa Melayu supaya rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dapat memahami ajaran Islam berpandukan al-Quran.

Beliau mempersoalkan sikap dan tindakan Abdullah sebagai Pengerusi OIC tetapi sanggup merasmikan Persidangan Kristian Sedunia.

"Sepatutnya sebagai Pengerusi OIC beliau perlu berusaha menjaga maruah dan akidah umat Islam bukan menjaga kepentingan peribadi," ujarnya.

Ulama WP tidak ada masalah


Sementara itu Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Salleh Sani setuju kitab `Bible' diterjemahkan dalam bahasa Melayu supaya pembaca kitab itu sama ada golongan Melayu, Iban, Kadazan, Cina dan kaum lain tahu isi kandungan kitab tersebut dan dapat membandingkannya dengan kandungan al-Quran.

Menurut beliau, apabila pembaca mengetahui isi kandungan ‘Bible’ mereka akan tahu bahawa ‘Bible’ itu bukan datang daripada Allah tetapi hanya ciptaan manusia dengan membawa cerita-cerita yang dicampuradukkan dengan khayalan.

"Apabila pembaca kitab ‘Bible’ sudah mengetahui isi kandungannya mereka dapat perbandingan yang jelas dengan al-Quran. Mereka boleh membezakan isi kandungan al-Quran tidak boleh ditandingi," katanya.

Mengulas terjemahan ‘Bible’ mempengaruhi orang Melayu khususnya golongan remaja beliau berkata, memang jelas agama Kristian banyak menggunakan peluang di atas kejahilan anak-anak muda Islam.

Tambah beliau, masalah sekarang pihak kerajaan tidak memgambil berat untuk meningkatkan kefahaman Islam serta menguatkan akidah anak-anak Melayu supaya mereka lebih berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, mereka yang masuk Kristian bukan disebabkan percaya dengan isi kandungan ‘Bible’ tetapi disebabkan terdesak dengan keperluan semasa atau materialistik.

Benar atas dasar kebebasan

Dato' Ibrahim Ali, Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) ketika diajukan persoalan ini juga bersetuju bahawa Bible dalam bahasa Melayu tidak patut disekat atau diharamkan atas nama kebebasan.

"Dengan syarat kita juga hendaklah aktif berdakwah terutama sekali badan seperti Jakim yang diberikan tanggungjawab khusus untuk kerja sebegini," katanya.

Bagi beliau, cara menekan pihak yang tidak sefahaman sudah ketinggalan zaman dan tidak boleh diterima lagi di zaman ini.

Bagaimanapun, beliau turut bimbang apakah remaja Islam khasnya sudah bersedia menerima perkara semacam ini.

-lanh/zs

Kenaikan mendadak tambang feri bebankan pengguna - Fomca

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyifatkan kenaikan tambang feri Pulau Pinang terutama membabit penumpang pejalan kaki sebanyak 100 peratus adalah terlalu tinggi dan membebankan pengguna.

Mulai 1 Mei ini, tambang untuk penumpang pejalan kaki ialah RM1.20 naik 100 peratus daripada 60 sen sebelum ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan tersebut membebankan pengguna berbanding perkhidmatan yang disediakan syarikat pengusaha masih berada pada tahap tidak memuaskan.

Malah katanya, kenaikan tersebut sangat tidak munasabah kerana hanya mahu menampung kerugian Syarikat Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang mengendalikan perkhidmatan feri itu.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi bagi mengulas isu kenaikan tambang feri di Pulau Pinang yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei ini.

"Kebiasaanya kenaikan sesuatu perkhidmatan atau harga barang oleh sesuatu syarikat mahupun kerajaan, hanya mengikut pertimbangan mereka sahaja untuk menampung kerugian yang dialami,” katanya.

Beliau mendakwa, hal tersebut juga berlaku dalam tindakan PPSB yang menaikkan tambang feri berikutan kerugiannya.

Akibatnya beliau mendakwa, pengguna terus-menerus dibebankan dengan kenaikan bagi menampung bebanan hutang atau kerugian sesebuah syarikat.

Malangnya kata beliau, pihaknya mendapat rungutan daripada pengguna bahawa kualiti perkhidmatan yang disediakan tidak memuaskan selain perjalanan yang lambat.

Berikutan perkhidmatan yang tidak memuaskan katanya, ramai pengguna kini lebih berminat menggunakan Jambatan Pulau Pinang walaupun berlaku kesesakan di jambatan tersebut pada waktu kemuncak.

Sehubungan itu, Mohd Yusof berkata, Fomca mencadangkan kepada PPSB agar meningkatkan mutu perkhidmatan yang dilihat kurang memuaskan.

Tambah beliau, pada masa kini penduduk Pulau Pinang mempunyai dwi-pilihan sama ada menggunakan feri ataupun Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, PPSB perlu mengambil inisiatif sendiri bagi menaikkan semula imej perkhidmatannya supaya mampu berdaya saing dengan perkhidmatan lain di Pulau Pinang.

Antaranya kata beliau, PPSB boleh mengkaji semula penggunaan feri pengangkutan penumpang yang bersekali dengan pengangkutan kenderaan yang sedang diamalkan kepada pengangkutan penumpang sahaja.

Kata Mohd Yusof, tindakan itu boleh mengurangkan kos operasi PPSB yang selama ini menjadi faktor kerugian syarikat tersebut.

Tambang feri di Pulau Pinang akan dinaikkan 10 hingga 100 peratus berkuatkuasa 1 Mei ini.

Kali terakhir kenaikan tambang ialah pada 1994 dan kajian kadar baru dinilai semula selepas lima tahun akan datang.

Mesyuarat Kabinet pada 13 April lalu memutuskan kenaikan itu bagi mengurangkan beban serta kerugian PPSB berikutan peningkatan kos perkhidmatan, penyelenggaraan, minyak dan tenaga kerja.

Dengan kenaikan kadar tambang itu, PPSB dapat mengurangkan kerugian kira-kira RM280 juta yang terpaksa ditanggung hingga tamat konsesi menjelang 2023. – lanh


Exco Perlukan RM75,000 untuk pembedahan

Exco Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Jayathas a/l Sirkunavelu yang menghidap penyakit buah pinggang memerlukan RM75,000 untuk menjalani pembedahan di India dan menggantikan buah pinggangnya yang sudah rosak.

S. Jayathas juga ialah Pengerusi Biro Pembangunan Estet dan bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan parti.
Sebarang sumbangan ikhlas boleh disalurkan terus ke akaunnya, Jayathas a/l Sirkunavelu MBB 104012615192.

sebarang pertanyaan sila hubungi Badrul Hisham Shaharin 0163242564 atau terus hubungi Jayathas sendiri di talian 0126362287

Tidak patut ketepi peniaga runcit Melayu

SAYA berasa terpanggil untuk mengulas mengenai individu yang mengaku suka membeli-belah di pasar raya atau pasar raya besar kerana harga barang yang jauh lebih murah berbanding kedai runcit. Betulkah ini dapat mengurangkan perbelanjaan mereka?

Saya mengakui ia memang benar dan itu tidak dapat dinafikan. Tetapi pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, siapa pemilik pasar raya dan pasar raya besar berkenaan?
Sudah tentu pemiliknya bukan Melayu dan Islam. Orang Melayu rata- rata hanya mampu berniaga runcit. Kekurangan modal, keberanian, dan sokongan adalah alasan kenapa orang Melayu tidak mampu untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.

Tidakkah kita sedar bahawa setiap pekerjaan yang halal itu hukumnya adalah fardu kifayah? Jika peniaga Melayu ini tidak lagi mampu untuk berniaga kerana kekurangan sokongan, maka seluruh umat Islam di kawasan berkenaan berdosa.

Saya percaya setiap sen yang kita belanjakan di kedai runcit akan dibalas dengan pahala. Jadi janganlah kita menjadikan kedai runcit ini sebagai pilihan terakhir dan ketika keadaan terdesak saja.

Memang tidak dapat dinafikan harga barangan yang jauh beza di antara pasar raya dengan kedai runcit dijadikan alasan yang membuatkan kita selalu mengunjungi pasar raya. Tetapi cuba kita amalkan, sebelum membeli-belah di kedai runcit, kita niatkan kerana membantu orang yang sebangsa dan seagama dengan kita.

Peniaga juga perlu berubah, jangan hanya menyalahkan takdir atau pelanggan saja. Berubahlah dari segi layanan, harga, keselesaan, kebersihan dan masa berniaga. Jika kita masih statik dan tidak berubah, janganlah kita menyalahkan pelanggan pula.

Sesekali kunjungilah pasar raya yang terdekat dan fikirkan apa yang perlu anda ubah untuk menarik pelanggan ke kedai anda.

M TARIQ KAMAL,
Negeri Sembilan.



Muhammad SAW Utusan Terakhir: Kembali kepada sunnah cabaran umat akhir zaman

Oleh Mohd Zamri Shafie

HAKIKAT yang wajib diimani, diyakini dan disyukuri oleh umat Islam adalah lahir sebagai umat nabi akhir zaman iaitu umat Nabi Muhammad SAW.

Allah mengutus Nabi di tengah-tengah masyarakat yang tidak tulen pengabdiannya kepada Allah baik dalam akidah mahupun syariat. Masyarakatnya juga sangat pincang dari segi akhlak, budi pekerti dan budaya.

Nilai etika dalam perjalanan kehidupan mereka juga amat meruncingkan. Masyarakatnya bersengketa, menzalimi dan dizalimi sesama sendiri hinggakan menumpah darah dan berlarutan puluhan tahun.

Gambaran hidup mereka dinukilkan Zubir bin Abi Salma, penyair terkenal ketika itu dengan berkata dalam syairnya: "Sesiapa saja yang tidak menjaga kehormatan diri dan kebebasannya dengan pedang dan senjatanya, dia akan dimusnahkan orang. Begitu juga sesiapa yang tidak melakukan kezaliman terhadap orang lain, dia akan menerima kezaliman orang lain ke atas dirinya.”

Keadaan masyarakat jahiliah juga digambarkan oleh Saidina Jaafar bin Abu Talib yang juga Ketua Rombongan Hijrah ke Habsyah. Katanya kepada Raja Habsyah: “Wahai Raja! Ketika kami masih pada zaman jahiliah, kami menyembah patung, suka makan bangkai, cinta kepada segala bentuk kekejian, tidak pernah bersatu dengan keluarga, mahupun tetangga dan yang kuat selalu menindas yang lemah.”

Bagi mengubah keadaan itu, Allah mengutuskan Muhammad bin Abdullah sebagai utusan-Nya. Baginda ialah jati diri manusia sebenarnya. Rasulullah diutus membawa sinar cahaya iman dan Islam kepada seluruh alam supaya dapat memandu umat manusia ke jalan yang diredai oleh Allah.

Firman Allah bermaksud: “Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang kafir dan mengerjakan maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari akhirat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisa', ayat 165).

Baginda menghadapi pelbagai tentangan dalam dakwahnya. Keperitan dan kesusahan Rasulullah tiada tolok bandingnya. Seruan tetap diteruskan di kalangan sahabat dan keluarga serta umat manusia seluruhnya.

Rasulullah dibenci walaupun terbukti kebenaran yang dibawanya. Selama 23 tahun, Baginda menanggung keperitan dengan berbagai tentangan berbentuk seksaan, ejekan dan penghinaan.

Sebagai umat Islam yang tidak pernah bertemu dengan Nabi Muhammad, pastinya tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata, kesan penentangan terhadap diri Baginda dan pengikutnya dalam menyebarkan dakwah risalah Islam.

Perjuangan menyebarkan dakwah Islam diteruskan walaupun Baginda terpaksa mengorbankan seluruh hidupnya demi menegakkan agama Allah. Dengan keimanan teguh dan keazaman serta semangat juang kental, Baginda menyahut seruan Allah itu bagi memastikan Islam tertegak di muka bumi Allah.

Dengan inayah dan hidayah daripada Allah, umat akhir zaman ini dapat menerima ajaran suci ini tanpa bersusah payah menanggung beban kesusahan. Cuma yang pasti, kesusahan umat akhir zaman ini ialah untuk menghayati perjuangan Baginda dan mengamalkan sunnah yang ditinggalkan olehnya.

Sempena sambutan Maulidur Rasul, umat Islam akhir zaman wajib bersyukur dengan meningkatkan keimanan dan berazam dalam diri untuk menjadi umat Muhammad terbaik. Kita mesti melaksanakan segala perintah Allah dan rasul-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Kita juga hendaklah menghayati sunnah Baginda yang juga cara hidup yang mesti dicontohi oleh setiap Muslim.

Tiada sesiapa yang dapat dijadikan contoh terbaik oleh umat Islam seluruhnya selain diri Rasulullah. Baginda seorang yang amat istimewa. Nabi Muhammad ialah contoh terbaik dalam perkara berkaitan urusan kehidupan dan kesempurnaan akhlak.

Mereka yang beriman selepas kewafatan Nabi, diberi penghargaan dan akan menikmati kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Umamah bermaksud: “Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah tujuh kali ganda mereka yang tidak melihatku, sedangkan mereka beriman kepadaku.” (Riwayat sahih Ibn Hibban).

Penghargaan Rasulullah terhadap umatnya adalah pendorong kuat yang mempunyai motivasi tinggi bagi umatnya ke arah melaksanakan perintah Allah dengan cara terbaik. Umat Islam sewajibnya merealisasikan penghargaan itu dengan mengisi cara hidup Islam sebenarnya. Hal ini sejajar dengan firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).

Firman-Nya lagi bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya), melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah mengenai kebenarannya, (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya.” (Surah Ali Imran ayat 19).

Belia Singapura tak setuju tubuh kasino

SINGAPURA: Ramai belia tempatan tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menubuhkan kasino di Singapura.

Mereka berkongsi keprihatinan berhubung kesan sampingan yang akan dibawa akibat penubuhan kasino ke atas masyarakat setempat.

Mereka juga percaya penubuhan kasino di negara itu bukanlah antara kepentingan utama Singapura, kata Ahli Parlimen Eunice Olsen.

Menurut beliau, belia tempatan prihatin mengenai perkembangan negara dan ramai yang sudah mengirimkan e-mel kepadanya untuk meluahkan pandangan mengenai isu kasino dengan penuh bersemangat.

Media Singapura melaporkan semala, Olsen berkata beliau menentangnya kerana berpendapat kesan sosial penubuhan kasino jauh melebihi harga pelaburan yang akan dibawanya, iaitu kira-kira S$5 bilion.

Keluarga, dan bukan keuntungan ekonomi, adalah faktor paling penting bagi Singapura.

Meskipun keluarga boleh meraih manfaat daripada 35,000 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan, unsur perjudian tidak boleh diperkecilkan kerana 3 hingga 5 peratus daripada projek resort bersepadu di Sentosa yang berukuran 47 hektar bukanlah kawasan yang kecil.

Dalam ucapannya, Olsen turut menegaskan bahawa kewujudan dua pusat itu semata-mata tidak akan menjadikan Singapura lebih menarik dalam jangka masa panjang.

“Jika usaha menjadi bandar global yang menarik semudah itu, bandar-bandar lain pastinya sudah mendirikan pusat judi dalam masa setahun sewaktu kita membahaskan isu itu,” katanya.

“Tarikan Singapura sepatutnya datang daripada rakyatnya dan bakat mereka. Ia tidak seharusnya datang daripada tarikan fizikal sahaja, tetapi daripada semangatnya. Inilah yang patut menjadi kebanggaan kita,” kata Olsen. – Agensi

Wednesday, April 20, 2005

Pemuda PAS edar 3,000 risalah mengenai bahaya dakyah Islam liberal

Oleh Hafiz Mohd Baqi

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Pemuda PAS mengedarkan lebih 3,000 risalah kepada warga ibu kota mengenai bahaya dakyah Islam liberal yang sedang ‘dikempenkan’ oleh beberapa pihak ketika ini.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengetuai kumpulan daripada Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengedarkan risalah tersebut di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Jalan Masjid India kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Hadir sama Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman; Pemangku Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutan, Muhammad Nor dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutan, Ridhwan Mohd Nor.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dijangkakan turut sama dalam program selama satu jam itu tidak dapat berbuat demikian kerana penerbangannya dari Kuala Terengganu tergendala.

Dalam risalah tersebut, Pemuda PAS mendedahkan agenda sebenar Islam liberal cuba diperkenalkan serta pihak-pihak dan individu-individu yang berperanan besar dalam dakyah itu.

Menurut Mazlan yang ditemui Harakahdaily di lokasi tersebut berkata, mengedar risalah merupakan sebahagian daripada kempen menentang dakyah Islam liberal yang dibuat Pemuda PAS di samping beberapa lagi tindakan lain seperti perhimpunan aman dan debat terbuka.

"Cara ini sangat efektif kerana mesej kita terus sampai kepada orang ramai yang kebanyakannya sukar untuk hadir mendengar ceramah-ceramah penerangan PAS.

"Melalui pengalaman Pemuda PAS melakukan kerja-kerja seperti ini dan apa yang berlaku hari ini, penerimaan masyarakat sangat positif, ada yang meminta empat hingga lima risalah untuk diberikan kepada rakan dan jiran mereka,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain pula, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sisters In Islam (SIS) yang disifatkan oleh Pemuda PAS sebagai pihak paling berperanan dalam usaha menuntut dihapuskan pelaksanaan undang-undang moral terhadap individu, dikatakan bersedia untuk bersemuka dengan PAS dalam satu debat intelektual.

Mazlan berkata pihaknya telah menghubungi SIS melalui telefon dan mereka berminat menyertai perdebatan tersebut cuma meminta Pemuda PAS mengundang mereka secara rasmi melalui surat.

"Kita telah menghantar surat kepada mereka dan hanya menunggu jawapan rasmi sahaja," kata beliau.

Menurut Mazlan perdebatan tersebut merupakan satu wacana akedemik di mana pusingan pertama debat tersebut akan diadakan pada bulan Mei, tetapi tempatnya belum diputuskan.

Selain SIS kata beliau, seorang tokoh akademik daripada sebuah pusat pengajian tingi dan seorang mufti juga akan menyertai perdebatan tersebut di samping seorang wakil daripada PAS.

"Kita mahu satukan empat pihak yang berbeza dalam satu perdebatan, ia akan dilakukan secara akademik untuk tujuan mencari jalan terbaik menjelaskan kekeliruan orang ramai terhadap Islam," kata beliau lagi. – lanh

Kerajaan belanja wang rakyat untuk kepentingan parti yang memerintah - Halim

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Bendahari PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kerajaan terlalu boros dalam membelanjakan wang rakyat untuk kepentingan parti kerajaan.

Misalnya ketika pilihan raya umum 2004 lalu, kerajaan telah habis-habisan belanja sehingga habis wang rakyat.

"Pertumbuhan ekonomi sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan sektor awam. Selama tujuh tahun kerajaan berbelanja besar.

"Pilihan raya umum ke 11 dalam bulan Mac 2004 telah mendorong kerajaan berbelanja besar, “taburkan” projek dan wang untuk memancing undi," kata Dato' Abdul Halim ketika membahaskan rang undang-undang Perbekalan Tambahan (2004) 2005 di Dewan Rakyat semalam.

Berikut adalah ucapan penuh beliau:

Dalam laporan tahunan terkini Bank Negara Malaysia (Laporan Tahunan 2004) dianggarkan kerajaan pusat telah berbelanja sebanyak RM118.9 bilion dalam tahun 2004 berbanding hasil sebanyak RM99.4 bilion. Ini bermakna kerajaan menanggung defisit sebanyak RM19.5 bilion bersamaan kira-kira 4.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada nilai pembeli.

Perbelanjaan mengurus tambahan kedua yang dipohon berjumlah RM15.1 bilion sementara perbelanjaan pembangunan tambahan kedua berjumlah RM0.6 bilion. Oleh itu perbelanjaan tambahan yang dipohon berjumlah RM15.7 bilion.

Dengan tambahan ini jumlah perbelanjaan bagi tahun 2004 menjadi RM138.6 bilion terdiri dari RM102.4 bilion perbelanjaan mengurus dan RM35.7 bilion perbelanjaan pembangunan. Kalau hasil bagi tahun 2004 kekal pada RM99.4 bilion, ini bermakna defisit akan melebar kepada RM39.2 bilion bersamaan 8.8% daripada KDNK pada nilai pembeli.

Dalam tahun 2003, perbelanjaan berjumlah RM113.5 bilion (Laporan BNM 2004) terdiri dari RM75.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM38.3 bilion perbelanjaan pembangunan. Defisit yang ditanggung oleh kerajaan pusat berjumlah RM20.9 bilion atau 5.3% dari KDNK pada nilai pembeli (GDP at purchaser’s value).

Berbanding tahun 2003, perbelanjaan kerajaan bertambah sebanyak 22%. Ini satu pertambahan yang amat besar. Defisit melonjak kepada 8.8%, jauh melebihi piawaian belanjawan berhemat yang diamalkan di negara-negara Euro (3.5% daripada KDNK).

Ini bermakna, pertumbuhan ekonomi sebahagian besarnya dipasu oleh perbelanjaan sektor awam. Selama tujuh tahun kerajaan berbelanja besar. Pilihan raya umum ke 11 dalam bulan Mac 2004 telah mendorong kerajaan berbelanja besar, “taburkan” projek dan wang untuk memancing undi.

Sebagaimana disebutkan di atas tambahan belanjawan yang dipohon adalah satu tambahan yang besar. Ia menyebabkan defisit belanjawan semakin membesar, bukan menurun. Ini membuktikan bahawa kerajaan tidak menghormati dan tidak patuh kepada displin belanjawan.

Janji-janji untuk berbelanja secara berhemat dan untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat tinggal janji kosong belaka. Belanjawan negara sudah dalam defisit selama 7 tahun berturut-turut, ini menyebabkan hutang kerajaan semakin meningkat dan ini membebankan rakyat dan pembayar cukai.

Hutang kerajaan (tidak termasuk syarikat kerajaan bukan kewangan) berjumlah RM217 bilion atau 51% daripada Gross National Product (GNP). Ini adalah satu jumlah yang tinggi.

Hutang luar negara telah meningkat dengan ketara daripada RM161 bilion dalam tahun 2000 kepada RM197 bilion dalam tahun 2004. Sebahagian besarnya dipinjam oleh kerajaan Persekutuan dan pelbagai syarikat kerajaan bukan kewangan. Hutang luar negara merupakan 47% daripada GNP. Ini amat tinggi berbanding dengan piawaian berhemat yang diterima (tidak melebihi 30% daripada GNP). Ini menyumbang kepada kelemahan nilai pertukaran antarabangsa Ringgit Malaysia.

Ternyata kita berbelanjaan besar dengan berhutang. Beban bayar balik hutang dan bunga tidak kurang daripada RM10-12 bilion setahun atau melebihi 10% belanjawan. Ini membebankan rakyat dan pembayar cukai.

Sejak awal tahun 1980an kerajaan telah melaksanakan dasar penswastaan. Perlaksanaannya semakin meluas dalam tahun 1990an dan diteruskan hingga kini. Tujuan penswastaan ialah untuk mengurangkan belanja kerajaan, mengecilkan saiz sektor awam dan meringankan beban cukai ke atas rakyat. Ini tidak berlaku. Perbelanjaan semakin meningkat, saiz sektor awam semakin besar dan beban cukai ke atas rakyat semakin tinggi.

Malah rakyat terpaksa menanggung beban berkembar – harga barangan dan perkhidmatan naik melonjak kerana peningkatan keefisyenan operasi dan kos yang diharapkan dari penswastaan tidak terjadi dan kuasa monopoli yang ada pada entiti yang diswastakan dan pada masa yang sama rakyat terus dibebani dengan cukai yang tinggi bagi menanggung belanja sektor awam yang besar.

Bukan itu sahaja, akibat dari krisis ekonomi tahun 1977-98, berbilion-bilion wang awam telah digunakan untuk menyelamatkan pelbagai entiti yang telah diswastakan bermasalah, menanggung rugi besar dan hampir bankrap, wang rakyat digunakan untuk memiliknegarakan semula entiti berkenaan. Kroni diselamatkan. Yang menanggung beban rakyat.

Swasta lebuhraya

Kerajaan telah menswastakan lebuh raya. Bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh raya telah meningkat berkali ganda, Bayaran tol juga telah naik berkali ganda. Namun, syarikat yang memiliki projek lebuh raya yang telah diswastakan ini dari dulu sampai kini tetap dalam defisit. Setiap tahun kerajaan kena bayar pampasan kepada syarikat berkenaan kerana tol yang dipungut tidak cukup untuk menampung kos penyelenggaraan.

Untuk tahun 2004, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM250 juta. Kini minta tambah pula RM181 juta lagi. Ini cukup membebankan rakyat. Sudahlah bayaran tol semakin tinggi, kena pula bayar pampasan lagi. Kenapa syarikat terbabit terus menerus rugi? Ini sukar difahami.

Gesaan supaya perjanjian konsesi didedahkan tidak dilayani. Rakyat kena tahu bagaimana bayaran pampasan ini dikira. Kenapa kerajaan tidak mahu bertransparensi dalam hal ini? Apa yang hendak disorokkan daripada pengetahuan rakyat?

Pemuda PAS dakwa Umno 'bacul' rampas buku karangan Presiden PAS

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa Umno sebagai 'bacul' kerana bertindak mengarahkan pihak berkuasa merampas buku ‘Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari' karangan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, tindakan merampas buku tersebut adalah tindakan yang langsung tidak bertamadun pihak berkuasa yang diperguna Umno untuk menghalang percambahan budaya ilmiah yang secara sihat.

"Kita kesal kerana buku tersebut dirampas sedangkan ia sah di segi undang-undang dan diberi nombor indeks dan katalog oleh Perpustakaan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi sebentar tadi dalam mengulas dakwaan rampasan buku karangan Presiden PAS oleh pihak berkuasa Kementerian dalam Negeri (KDN) yang berlaku di Terangganu minggu lalu.

Selain itu Mazlan berkata, buku karangan Presiden PAS itu adalah berbentuk ilmiah yang tidak memberi sebarang ancaman kepada keselamatan awam.

Justeru tidak benar jika ada dakwaan buku tersebut memberi kemudharatan kepada keselamatan dalam negara.

"Jika Umno menganggap buku itu satu penghalang kepada usaha mereka menyebarkan fahaman Islam Hadhari, mereka sepatutnya menjawab secara ilmiah bukanya bertindak menghalang pengdaran buku tersebut," tegas Mazlan yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Sebelum ini katanya, kerajaan telah menyatakan akan mengharamkan buku tersebut, tetapi notis rasmi pengharaman belum lagi dikeluarkan.

Malangnya, pihak berkuasa digunakan secara sewenang-wenang bagi menghalang pengedaran buku itu.

Berikutan itu Pemuda PAS seterusnya mencabar Pemuda Umno yang dikatakan mempunyai barisan ulama mereka sendiri supaya menjawab secara ilmiah karangan Presiden PAS itu jika ia dirasakan bercanggah dengan Islam sebenar.

Katanya, Pemuda PAS mahu ulama dalam Umno segera menjawab secara ilmiah persoalan dan pertikaian yang dibuat Tuan Guru Abdul Hadi mengenai penyelewengan konsep Islam Hadhari dalam buku ‘Hadharah Islamiyah bukan Islam Hadhari'.

Selain itu Mazlan juga mempertikaikan tindakan kerajaan yang dilihat hanya membenarkan konsep Islam Hadhari anjuran Umno disebar sedangkan kritikan dan konsep Islam sebenar yang dibawa PAS tidak dibenarkan.

Senario itu katanya, hanya akan menyempitkan lagi ruang demokrasi di Malaysia memandangkan Malaysia dalam rencana sebuah majalah antarabangsa telah diletakkan sebagai negara yang menyempitkan ruang demokrasi.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda PAS Setiu, Ustaz Shahrizukirnain Abd Kadir melahirkan rasa dukacita serta kesal dengan tindakan pihak KDN bertindak mahu merampas buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' itu.

Katanya, buku Presiden PAS itu telah diambil oleh pihak KDN dari Kuala Terengganu di beberapa buah kedai buku di sekitar bandar Jertih, Besut, minggu lalu.

“Beberapa hari lalu kebetulan saya berada di sebuah kedai buku di bandar Jertih, Besut telah didatangi oleh tiga orang berpakaian yang berlambangkan Kerajaan Persekutuan dan tertera Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari Kuala Terengganu.

"Pegawai KDN itu kata, buku Presiden PAS telah ‘diharamkan’ kerana bertentangan dengan usaha kerajaan memperkenalkan Islam Hadhari dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Kita rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak KDN itu yang bertindak mahu merampas buku-buku itu yang berada di pasaran tanpa surat pengharamannya,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS kawasan kali ke-25 di Surau Wakaf Cagak, Batu Rakit.

Shahrizukirnain berkata, pegawai KDN itu telah meminta pihak peniaga kedai buku menyerahkan buku-buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' kerana ‘telah diharamkan’ oleh kerajaan dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur.

Namun begitu, katanya pihak kementerian terbabit gagal menunjukkan sebarang bentuk surat pengharaman yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau beranggapan tindakan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KDN berkenaan kerana desakan politik serta arahan kerajaan BN. – lanh

Penubuhan semula PRM bertentangan dengan Kongres Nasional PRM 2001

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 19 April (Hrkh) - Bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Othman mendakwa penubuhan Jawatankuasa untuk mentadbir semula PRM bertentangan dengan keputusan Kongres Nasional PRM yang ke-34 pada 14 dan 15 Julai 2001.

Sekaligus juga beliau yang kini sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MPT), Parti KeADILan Rakyat (PKR) berkata, Kongres Nasional Khas di Johor Bharu pada 17 April lalu yang menetapkan Hasan Karim sebagai Presiden baru PRM tidak berhak untuk mengubah keputusan kongres tersebut.
Menurutnya, dalam Kongres tersebut lebih daripada 80 peratus perwakilan menyokong cadangan percantuman PRM dengan parti KeADILan Nasional untuk menjadi PKR.

Katanya, dalam keputusan kongres juga perwakilan bersetuju menyokong syarat-syarat persetujuan bersama yang dicapai oleh kedua-dua parti.

"Syarat-syarat tersebut termasuk persetujuan menjadi anggota PKR secara beramai-ramai atau 'en bloc' apabila pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan penubuhan parti baru.

"Begitu juga dengan usul pembubaran PRM setelah selesai percantuman kami dapati hampir 70 peratus menyokong usul itu," katanya.

Setelah berlaku percantuman katanya, kongres bersetuju supaya PRM dibubarkan.

"Apabila ROS mengesahkan pertukaran nama parti kepada PKR semua anggota PRM dan KeADILan Nasional secara en bloc menjadi ahli parti PKR," katanya sebagaimana ditetapkan semasa Majlis Pimpinan Tertinggi (peralihan) pada 26 Jun 2004.

"Dengan keputusan itu bererti tidak ada lagi anggota PRM dan KeADILan Nasional melainkan mereka yang tidak mahu menyertai parti baru boleh menarik diri tetapi tidak ada seorang pun yang menyatakan untuk menarik diri," katanya.

Oleh kerana itu, Kongres Nasional membuat ketetapan tersebut termasuk soal pembubaran PRM setelah percantuman semua pimpinan dan semua anggota PRM perlu patuh dan menerima keputusan tersebut.

Bagaimanapun dakwanya, ada beberapa pemimpin yang dilantik dalam Kongres khas di Johor baru-baru ini memegang jawatan penting dalam PKR semasa (peralihan) antaranya Hassan Karim dan SK Song (Setiausaha Agung baru PRM).

Selain itu dakwanya, terdapat Ahli Jawatankuasa baru PRM itu yang bertanding atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2004 lalu.

"Ini menunjukkan mereka terlibat dengan PKR dan apabila mereka bertindak untuk mewujudkan semula PRM ia amat bertentang dengan keputusan kongres sedangkan dari segi disiplin parti mereka harus menerima keputusan kongres.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa pada masa ini PRM tidak mempunyai anggota lagi, semuanya menjadi PKR dan yang hanya dari segi pendaftaran selagi belum dimansuhkan," katanya lagi.

Sementara itu, memetik laporan laman web Malaysiakini baru-baru ini, Presiden baru PRM berkata, selepas PRM mengadakan Kongres Nasional Khas Ahad lepas, pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara memberikan ucapan tahniah kepada beliau atas usaha menggerakkan semula parti itu.

Katanya, Kongres Nasional Khas bertujuan bagi mendapatkan pandangan ahli untuk menggerakkan semula parti tersebut selepas bergabung dengan PKR.

Hassan berkata, kira-kira 100 ahli PRM yang menghadiri kongres tersebut sebulat suara setuju supaya PRM diaktifkan semula untuk bergerak menjadi sebuah parti politik seperti sebelum pencantuman dengan PKR.

"Kami akan menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membolehkan PRM terus kekal sebagai sebuah parti politik seperti yang dikehendaki oleh ahli," katanya. - mks.

Fatwa dadah haram boleh dikeluarkan

KUALA KANGSAR: Majlis Fatwa Kebangsaan boleh mengeluarkan fatwa mengharamkan penyalahgunaan dadah dalam usaha menyelamatkan umat Islam daripada terus terjebak dengan gejala itu.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Fatwa, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata fatwa itu sudah lama ada.

"Sebenarnya dadah adalah sesuatu yang merosakkan jika tidak digunakan secara betul, jadi dalam Islam sesuatu yang merosakkan adalah haram," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-77 di Istana Iskandariah.

Harussani berkata, setiap perkara yang memudaratkan diri termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya adalah haram dan perkara itu boleh diperhalusi jika perlu.

"Secara umum kita sudah tahu benda itu (najis dadah) tidak baik, bila tidak baik dari segi Islam dan syarak maka tidak ada masalah untuk kita mengeluarkan sebarang fatwa.

"Ia (fatwa) boleh dikeluarkan jika perlu dan dalam Islam setiap yang memudaratkan haram," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilapor berkata, pelaksanaan fatwa itu secara berkesan boleh menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa penyalahgunaan dadah adalah haram pada sisi agama.

Abdullah berkata, pengeluaran fatwa mengenainya wajar kerana kumpulan yang paling banyak mengambil dadah di negara ini adalah yang beragama Islam dan langkah mengharamkannya dapat menyelesaikan masalah itu.

Antara kesan buruk penyalahgunaan dadah termasuk menyebabkan seseorang itu lupa tanggungjawab dan sekiranya berkahwin, mereka boleh mendatangkan masalah besar kepada isteri dan anak-anak serta sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan dadah.

Undang-undang syariah seragam sebelum 2006

KUALA LUMPUR: Penyeragaman undang-undang mengenai Islam membabitkan semua 14 negeri ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Beliau berkata, ketika ini, 12 negeri, kecuali Kedah dan Wilayah Persekutuan sudah meluluskan undang-undang Islam yang berkaitan pada peringkat negeri untuk diseragamkan.

Katanya, daripada jumlah itu hanya lima negeri, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor sudah melulus dan mewartakannya.

Undang-undang Islam yang akan diseragamkan itu membabitkan Pentadbiran Agama Islam, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah, Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah..

Dr Abdullah berkata, Kedah dalam proses membentangkannya di Dewan Undangan Negeri untuk diluluskan dan diwartakan serta diperakui oleh sultan, manakala Wilayah Persekutuan dijangka membentangkannya pada sesi Parlimen akan datang.

"Sebaik semua 14 negeri terbabit selesai melulus dan mewartakannya, kita yakin penyeragaman undang-undang dilaksanakan di setiap negeri.

"Ini sekali gus memudahkan pelbagai tuntutan berkaitan hal tertentu oleh umat Islam di mana-mana juga negeri di Malaysia kerana undang-undang itu sudah diseragam sepenuhnya.

"Sebelum ini, kita sedar perbezaan undang-undang menimbulkan dan mendatangkan masalah kepada rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Terdahulu Abdullah menjawab soalan Ahmad Shabery Cheek (BN-Kemaman), mengenai perbezaan undang-undang keluarga dan syariah antara negeri di Malaysia menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat.

Abdullah berkata, berdasarkan maklumat terkini, Terengganu belum melulus dan mewartakan Undang-undang Keluarga Islam manakala Kelantan belum melulus dan mewartakan Undang-undang Mal Mahkamah Syariah.

Justeru, beliau berharap negeri terbabit melaksanakannya sepenuhnya supaya tidak menimbulkan masalah serta penganiayaan terhadap umat Islam.

Beliau berkata, selepas penyeragaman Undang-undang Islam itu selesai, pihaknya akan memperkenalkan jawatan Peguam Negara Syarie yang akan berfungsi seperti Peguam Negara.

Menjawab soalan tambahan Abdul Fatah Harun (Pas- Rantau Panjang) mengenai kelewatan Wilayah Persekutuan melulus dan mewartakan undang-undang itu sedangkan ia sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain, Abdullah berkata:

"Draf sudah ada dan boleh dijadikan contoh kepada negeri lain, cuma ia belum dilulus dan diwartakan saja,” katanya.

Kelemahan JAS diakui

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Manusia semalam mengakui wujud kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terutama dari segi jumlah kakitangan sehingga menjejaskan harapan orang ramai terhadap jabatan itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk S Sothinathan, sehubungan itu berkata, pengarah JAS negeri diberi tempoh sebulan untuk memikirkan cadangan bagi membaiki kelemahan itu.

“Dan pada awal Jun, kita akan bermesyuarat sekali lagi mengenai keperluan sebenar dalam menjalankan tugas penguatkuasaan secara lebih berkesan di kawasan masing-masing,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan pegawai kanan JAS di sini, semalam.

Mesyuarat khas itu diadakan berikutan beberapa isu dibangkitkan media sejak kebelakangan ini termasuk kematian pegawai JAS Sarawak, kebakaran pejabat JAS di Johor dan pemprosesan semula buangan terjadual tanpa lesen di Perak.

Sothinathan dan Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibarahim ditanya bertubi-tubi mengenai tiga kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pegawainya menjalankan tugas dengan telus dan mengikut prosedur serta undang-undang berhubung kes yang menyelubungi jabatan itu sejak kebelakangan ini.

"Semua penjelasan yang memuaskan diberikan oleh pengarah JAS. Saya percaya mereka sudah menjalankan tugas sebaik mungkin tetapi mungkin tidak sebaik yang diharap orang awam kerana kita juga ada kelemahan guna tenaga.

“JAS juga akan menggunakan sistem pemantauan pergerakan sisa berjadual secara on-line tidak lama lagi bagi memantapkan aspek penguatkuasaan,” katanya.

Sothinathan juga menjelaskan, tiada mana-mana pegawainya disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung isu berkenaan tetapi JAS sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi bagi membantu siasatan.

“Tiada arahan dikenakan ke atas pegawai JAS supaya tidak membuat kenyataan kepada pihak media, sebaliknya mereka adalah orang paling layak membuat kenyataan.

"Apa juga maklumat yang kita ada, kita akan berikan kepada anda (media). Kita telus dan tiada apa yang nak disorokkan. Kita hargai peranan media memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Mengenai kes kematian Rumie Azzan Mulie, Sothinathan berkata pihaknya menyerahkannya kepada polis kerana jabatan itu adalah pihak yang berkuasa menjalankan siasatan.

Bagi kes di Perak pula, katanya, JAS sedang menyediakan kertas siasatan untuk mengheret syarikat yang terbabit dalam pemprosesan semula buangan berjadual tanpa lesen ke mahkamah. Kertas siasatan itu dijangka diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara beberapa hari lagi.

"Kami sudah menerima laporan dari Jabatan Kimia dan mempunyai bukti prima facie ke atas syarikat berkenaan," katanya sambil menambah, siasatan mendapati kilang itu menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan sisa minyak terpakai.

Bahan buangan minyak terpakai, pelarut dan sisa cat dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual dan premis itu memerlukan lesen mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau berkata, pengusaha itu didapati gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan mereka sudah mendapat kelulusan dan lesen daripada JAS untuk beroperasi.

Mengenai kekeliruan lori yang dilepaskan tanpa pengetahuan JAS dalam kes itu, Sothinathan berkata, kenderaan terbabit tidak pernah disita.

"Ia hanya ditahan dalam tempoh 24 jam untuk membantu siasatan dan selepas berpuas hati dengan keterangan dan bukti, maka ia dibebaskan," katanya.

Berhubung kebakaran pejabat JAS Johor, Sothinathan berkata, pihaknya dimaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kimia sudah menyerahkan laporan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Tanpa menolak kemungkinan ada unsur khianat dalam kejadian pada 24 Mac lalu itu, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis.

Beliau berkata, walaupun fail dalam bilik berkenaan terbakar, kertas siasatan mahkamah termasuk kes pengimportan buangan terjadual dari Taiwan tidak disimpan dalam bilik itu.

"Ini terbukti apabila JAS Johor dapat meneruskan pendakwaan ke atas kes Syarikat Synenviro Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 15 April lalu," katanya.

Tuesday, April 19, 2005

Muslimat PAS akan bertentang mata dengan Sisters in Islam

KUALA LUMPUR, 19 April (Hrkh) - Buat pertama kalinya pemimpin Dewan Muslimat PAS dan pemimpin Sisters in Islam akan bertentang mata dalam debat bertajuk "Pelaksanaan Undang-undang Moral" di negara.

Debat ini dianjurkan oleh Liberal Forum Malaysia dengan kerjasama Sisters in Islam (SIS)dan dengan sokongan Friedrich Naumann Foundation.
Dalam debat ini, Ketua Penerangan Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud akan bertemu dengan Pengarah Eksekutif SIS, Zainah Anuar. Turut serta sebagai penal adalah Param Cumaraswamy. Moderator program ini adalah Norina Yahya.

Ia akan diadakan di hotel Le Meridian, KL Sentral pada hari Rabu 27 April 2005 nanti mulai jam 8.30 pagi hongga 1 tengahari.

Sebelum ini, Pemuda PAS mencabar Sisters In Islam (SIS) yang dianggap sebagai pihak paling berperanan dalam isu yang sama berdebat dengan mereka secara terbuka.

Bagaimanapun sehingga kini, SIS belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cabaran Pemuda PAS itu.

‘KDN’ rampas buku karangan Presiden PAS

SETIU, 19 April (Hrkh) – Ketua Dewan Pemuda PAS Setiu, Ustaz Shahrizukirnain Abd Kadir melahirkan rasa dukacita serta kesal dengan tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak merampas buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' karangan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, buku Presiden PAS itu telah diambil oleh pihak KDN dari Kuala Terengganu di beberapa buah kedai buku di sekitar bandar Jertih, Besut, minggu lalu.

“Beberapa hari lalu kebetulan saya berada di sebuah kedai buku di bandar Jertih, Besut telah didatangi oleh tiga orang berpakaian yang berlambangkan Kerajaan Persekutuan dan tertera Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari Kuala Terengganu.

"Pegawai KDN itu kata, buku Presiden PAS telah ‘diharamkan’ kerana bertentangan dengan usaha kerajaan memperkenalkan Islam Hadhari dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Kita rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak KDN itu yang bertindak merampas buku-buku itu yang berada di pasaran tanpa surat pengharamannya,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS kawasan kali ke-25 di Surau Wakaf Cagak, Batu Rakit.

Mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Haji Mohd Abdul Wahid Endut.

Shahrizukirnain berkata, pegawai KDN itu telah meminta pihak peniaga kedai buku menyerahkan buku-buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' kerana ‘telah diharamkan’ oleh kerajaan dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur.

Namun begitu, katanya pihak kementerian terbabit gagal menunjukkan sebarang bentuk surat pengharaman yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau beranggapan tindakan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KDN berkenaan kerana desakan politik serta arahan kerajaan BN.

Katanya, pemimpin politik Umno dan kerajaan BN bimbang dengan kehebatan penjelasan buku yang ditulis oleh Presiden PAS berhubung isu Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari.

“Masyarakat kita hari ini terkeliru dengan gagasan baru Islam Hadhari yang dibawa oleh pemimpin Umno dan kerajaan BN, Pemuda PAS bersedia untuk berdepan dengan mereka (Umno) dan inilah cabaran kepada kita sekarang,” tegasnya.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 11 April lalu, beberapa orang wakil rakyat BN semasa membahaskan Titah Ucapan Sultan dengan lantang mendesak kerajaan Terengganu ‘mengharamkan’ pengedaran buku-buku tersebut.

Mereka mendesak buku yang menjelaskan berhubung buku 'Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari' itu supaya bukan sahaja diharamkan di negeri ini malah di seluruh dunia. – kam/ayu/lanh

Singapura bina dua kasino bernilai RM11.4 bilion

SINGAPURA 18 April - Singapura hari ini meluluskan pembinaan dua kasino bernilai berbilion-bilion dolar dengan tujuan menarik wang pelancong dan menggilap imej hambar republik ini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberitahu Parlimen, kerajaan mengambil keputusan untuk meluluskan pembangunan dua kasino bernilai sejumlah S$5 bilion (RM11.4 bilion), satu di Marina Bay dekat pusat bandar raya dan satu lagi di pulau peranginan Sentosa.

"Kita tidak boleh duduk diam. Seluruh rantau ini berkembang pesat,'' kata Hsien Loong dalam keputusan dasarnya yang pertama sejak mengambil alih kuasa pada Ogos lalu.

"Jika kita tidak berubah, di mana kita dalam tempoh 20 tahun lagi?''

Semalam, bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew kesal kerana ketika pemerintahannya beliau menolak untuk membina kasino berkenaan semasa cadangan itu dibentangkan sekitar 1970-an.

"Ini kerana saya merasakan ia akan menyebabkan kita menghadapi lebih banyak masalah kerana kasino tersebut membawa lebih banyak masalah sosial berbanding keuntungan dari segi ekonomi,'' katanya yang turut kesal kerana tidak membina Litar F-1.

Bagaimanapun, Kuan Yew berkata, tanpa kasino itu pun Singapura tetap menghadapi pelbagai masalah.

Dalam pada itu, Hsien Loong berkata, projek kasino itu memainkan peranan utama dalam usaha Singapura untuk mencapai matlamat meningkatkan bilangan pelancong sekali ganda kepada 17 juta orang setahun, menambah pendapatan daripada pelancongan kepada AS$18 bilion (RM68.40 bilion) setahun dan menghasilkan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan.

Tidak kurang penting ialah matlamat kerajaan untuk merancakkan kehidupan di republik itu dan mengubah imejnya yang selama ini dilihat sebagai membosankan.

Rancangan kasino itu juga adalah sebahagian usaha lebih luas untuk menyusun semula ekonomi Singapura dan menjadikan negara ini sebuah Monaco Timur.

Ia telah mencetuskan perbahasan hangat berhubung isu sama ada faedah yang bakal diperoleh jauh mengatasi kesan negatif seperti membanyakkan lagi kaki judi dan meningkatkan kadar jenayah.

Dalam pada itu, Singapura pada bulan lepas mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan lebih banyak peruntukan bagi merawat ketagihan judi ekoran pembinaan kasino berkenaan.

Ia akan meliputi bangunan yang akan mengendalikan kes perjudian, kaunseling, rawatan, penyelidikan dan langkah untuk mengurangkannya.

Keputusan pembinaan kasino itu dibuat ketika operator kasino yang besar-besar beralih ke Asia untuk meluaskan operasi dan mungkin mendorong negara lain seperti Thailand, India, Taiwan dan Jepun membenarkan kasino berikutan pertumbuhan pesat kasino di bandar Macau, China, kata penganalisis. - Reuters
___________________________________________________

Komen PemudaWilayah
Inilah akibatnya bila mana pemimpin bukan Islam dan sekular menerajui negara. Mereka sanggup menghabiskan wang berjuta-juta semata-mata untuk mengatasi masalah ketagihan judi yang mana pada dasarnya mereka punca kepada masalah tersebut. Mereka sanggup merosakkan generasi mereka demi meletakkan nama negara dipersada dunia agar sebaris dengan nama 'monaco' di barat.
Ini bukan permulaan, kerana sebelum ini pun kerajaan Singapura giat mempromosikan pesta seks seperti himpunan Kaum Gay dan Lesbian demi mencabar kuasa 'sex tourism' yang diungguli oleh Kerajaan Thailand sebelum ini.
DPPWP berasa simpati terhadap nasib masyarakat Melayu Singapura yang kini semakin terpencil dan menjadi golongan minoriti yang bukan sahaja tertindas dari aspek pembangunan fizikal tetapi dihambat teruk oleh serang pemikiran sekular pemimpin mereka.