Tuesday, April 26, 2005

MANSUHKAN SISTEM KUOTA DIESEL

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengesa pihak kerajaan agar memansuhkan sistem Kuota Diesel yang pada hari semakin menyusahkan para pengguna. Kuota yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan sebelum ini hanya bertahan sehingga 20 April.

Kuota yang menghadkan penjualan diesel menyebabkan kebanyakkan pengangkutan awam tersadai ditepi jalan hari ini. Bas hanya dibenar mengisi 60 liter diesel di setiap stesen minyak pada hal kenderaan itu memerlukan antara 180 hingga 240 liter bagi setiap perjalanan.

Beberapa Syarikat Bas Express dan pengangkutan awam tempatan terpaksa menunda, malah ada yang membatalkan perjalanan ekoran kehabisan minyak yang dijual di stesen minyak. Adakala penumpang terpaksa berpatah balik kerana bas yang mereka naiki gagal meneruskan perjalanan.

Keadaan semakin kritikal bila mana, perkhidmatan bas sekolah dan teksi turut dilibatkan dalam masalah ini. Ini sekaligus menyebabkan kekurangan pengangkutan alternatif bagi mereka. Bagi mereka yang duduk sekitar Kuala Lumpur mungkin masih boleh menggunakan perkhidmatan Komuter, Monorail, LRT STAR atau PUTRA. Bagaimana penduduk di Sarawak, Sabah, Johor, Melaka dan lain – lain yang terpaksa berjalan kaki berbatu-batu untuk mendapatkan bekalan harian ekoran kelumpuhan sistem pengangkutan awam?

Selain itu, pada masa ini syarikat – syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan juga terjejas teruk. Banyak barangan yang ingin dibawa keluar dari kilang atau ladang seperti di Johor dan Melaka tidak dapat dihantar untuk dipasarkan ekoran kenderaan tiada minyak. Nelayan – nelayan di pantai Timur juga tidak dapat turun ke laut ekoran tiadanya bekalan diesel untuk menggerakkan jentera motorbot mereka.

DPPWP melihat bahawa perkara ini bukan sahaja akan melumpuhkan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Negara tetapi ia juga bakal melemahkan sistem ekonomi secara keseluruhan. Barang - barang yang dipasarkan terhad dan ini akan menyebabkan harga barangan pengguna pada masa akan datang akan meningkat lagi. Selain itu, pihak kilang dan pengeluar lainnya juga akan mengalami kerugian kerana barangan yang telah siap diproses tidak dapat dihantar kepada pelanggan pada masa yang ditetapkan. Para Petani dan Nelayan juga akan gagal memasarkan hasil titik peluh mereka kerana pemborong tidak dapat membawa barangan mereka ke pasar.

DPPWP secara keseluruhannya melihat bahawa pihak kerajaan perlu memansuhkan Sistem Kuota yang diperkenalkan dan mencari jalan lain bagi mengatasi masalah penyelewengan subsidi diesel yang berlaku sebelum ini. DPPWP tidak mahu kerajaan bersikap seperti ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Diharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat bertindak segera bagi mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com