Tuesday, April 26, 2005

Imej polis tercalar lagi

Pada minggu lepas satu kes kehilangan alat proses pil khayal yang disita oleh Polis telah dilaporkan berlaku. Kejadian tersebut berlaku disebuah Kilang yang telah disita dan dikawal rapi oleh pihak Polis.

Ekoran kejadian yang memalukan ini, seorang anggota polis berusia pertengahan 40-an yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah ditahan di lokap IPD Shah Alam untuk siasatan. Sumber polis berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat atau denda. Bagaimana pun, anggota tersebut telah dibebaskan tanpa sebarang bukti yang mengesahkan penglibatannya. Apa yang menjadi persoalan difikiran kita adalah keberkesanan sistem keselamatan dan pengawalan yang dilakukan oleh pihak Polis yang kini semakin mencurigakan dan tidak menyakinkan.

Ini bukanlah kejadian pertama yang dilaporkan. Pada 07 April 2005 yang lepas kira-kira 49,000 daripada 61,000 pil khayal yang menjadi bahan bukti perbicaraan kes pengedaran dadah di Mahkamah Tinggi Shah Alam didapati hilang dalam kawalan pihak Polis juga.

Selain daripada kes ini, jika kita imbas semula, pada 03 Julai 2004, seramai 11 orang tahanan telah berjaya melarikan diri dari lokap Balai Polis Puchong. Walaupun ke semua tahanan tersebut dapat ditangkap semula tetapi ianya pasti menjadi sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan oleh pegawai Polis di Balai Polis Puchong.

Tidak cukup dengan itu, Kes kematian tahanan ekoran deraan pihak Polis juga sering kedengaran akhir-akhir ini. Selain kes kematian Rastam Talib, 19, yang dipercayai mati dipukul oleh pegawai penjara di Sg Buloh pada 6 Mac 2005, berlaku lagi satu kes di Rembau di mana seorang lelaki dipercayai mati akibat didera teruk oleh pihak polis ketika dalam lokap.

Mainimaran a/l Selvaraj, 33, telah diberitahu meninggal dunia hanya selepas isterinya datang ke Balai Polis Rembau untuk bertemu dengan suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dalam kes kecurian iaitu pada 11 Mac 2005.

DPPWP berharap agar pihak Polis mengambil iktibar terhadap pengalaman lalu dan tidak membiarkan kejadian-kejadian seumpama ini terus mencalarkan imej baik Polis di mata masyarakat. Jika diperhatikan, ke semua tempat kejadian yang dilaporkan adalah dibawah kawalan pihak Polis. Kejadian - kejadian seumpama ini semakin melemahkan keyakinan masyarakat akan kredibiliti pihak Polis sebagai pasukan keselamatan Negara yang kini sudah’ tidak selamat lagi’.

DPPWP berasakan bahawa perlunya satu siasatan dan kajian terperinci terhadap kelemahan – kelemahan yang dilaporkan. Tahap disiplin dan kecekapan pegawai - pegawai Polis yang berkhidmat perlulah diperbaiki khususnya dari kalangan anggota lama yang sering menganggap diri mereka terlalu ‘senior’ sehingga tidak mahu menerima nasihat dari Pegawai baru yang lebih muda dari mereka.

Tahap kecergasan Pegawai Polis juga perlulah ditingkatkan bagi memastikan mereka tidak menjadi terlalu pasif. Kebanyakkan pegawai Polis yang duduk bertugas di Balai atau di Pejabat mengganggap tugasan mereka itu hanya seperti tugas seorang kerani dipejabat biasa. Sebenarnya mereka patut menyedari bahawa tugas mereka itu amat besar tanggungjawabnya kerana ianya masih melibatkan soal keselamatan Negara.

Di situlah para tahanan dilokapkan, disitulah tempat bahan-bahan bukti disimpan. Tidak cukup dengan itu, balai Polis juga menjadi perhatian masyarakat yang sering datang untuk melaporkan masalah mereka termasuklah kes kecurian dan jenayah lain.

Kebanyakkan pegawai Polis gagal menunjukkan sifat dedikasi mereka dan melayan orang ramai seperti membuka ‘kaunter pendaftaran panggung wayang’ sahaja. Orang yang datang melaporkan kehilangan Motosikal atau rumahnya dimasuki pencuri kadang kala hanya dinasihatkan untuk berhati-hati di masa akan datang. Tiada sebarang inisiatif untuk melakukan siasatan serius dengan alasan bahawa ramai lagi orang yang hilang motorsikal, atau banyak lagi rumah yang telah dimasuki pencuri.

Tetapi keadaan berbeza bila mana harta atau barangan milik orang terkenal yang dilaporkan hilang. Selain itu, kadang kala mereka tunggu media massa datang buat liputan baru mereka menganggap kes tersebut serius. Sikap memilih – milih kes seperti ini haruslah dihindarkan kerana setiap pelapor yang datang ke kaunter pihak Polis inginkan satu jawapan atau tindakkan dari pihak Polis.

Di beberapa tempat, orang ramai datang melaporkan bahawa kejadian ragut dan kehilanggan barang di Surau atau Kompleks Beli Belah di kawasan itu kerap berlaku. Polis hanya bagi nasihat agar pelapor pandai-pandai jaga barang sendiri kelak. Selepas itu kejadian sama berlaku lagi pada orang lain dan pihak Polis meneruskan nasihat mereka tanpa sebarang tindakan untuk membuat siasatan atau kawalan dikawasan tersebut. Ini biasa berlaku kepada pengunjung di kompleks-kompleks seperti The Mall, Jalan Putra, Central Market, Plaza Kota Raya, Sogo dan Pertama Complex di pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Jika perkara-perkara seperti ini tidak diambil tindakkan maka pada masa akan datang masyarakat akan melihat pihak Polis ini sebagai organisasi yang tidak berguna untuk masyarakat. Kewujudan mereka hanyalah sekadar menghabiskan duit rakyat yang di peruntukkan kepada mereka bermain – main.

Justeru itu, DPPWP menyarankan agar Pegawai-pegawai Polis yang telah lama bertugas diberikan ‘refreshment’ melalui program-program pembinaan disiplin serta pemantau secara serius. Kita juga tidak mahu lagi mendengar kes – kes Jenayah yang turut dilakukan oleh pegawai Polis seperti menagih dadah, rompak dan bunuh. Kesedaran dan pembinaan jati diri perlu dipupuk agar mereka juga dapat belajar menghormati hak orang lain sekalipun orang itu adalah tahanan.

Semoga kecekapan organisasi Jabatan Polis dapat diperbaiki dan memastikan Jenayah dalam Negara ini dapat di kurangkan dengan lebih banyak pada masa – masa akan datang.

Herman Samsudeen
Exco
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com