Friday, April 22, 2005

Kempen kesedaran Islam belum berjaya, beritahu Timbalan Mufti dalam forum RTM

Oleh Ismail Hashim

KUALA LUMPUR, 22 April (Hrkh) – Kempen kesedaran yang dilakukan oleh banyak pihak di dalam negara ini disifatkan belum berjaya mencapai matlamatnya, tegas Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Haji Mohamad Shukri Mohamad dalam Forum yang disiarkan oleh RTM.

Menurutnya, semua perayaan yang dilakukan sempena hari-hari kebesaran Islam itu adalah berperanan sebagai kempen kesedaran sahaja.
“Kerana itulah masyarakat dan umat Islam perlu melangkah lebih jauh untuk menghayati peranan agama di dalam seluruh bidang kehidupan mereka,” jelasnya.

Katanya, “jika kita hanya mengulangi untuk mengadakan kempen kesedaran sahaja, bererti kita hanya bergerak dari fasa pertama menuju ke fasa pertama juga.”

Sedangkan, tambahnya, penghayatan agama ini mempunyai fasa-fasanya yang banyak kerana itulah umat Islam mesti bergerak lebih jauh untuk mencapai matlamat hidup Muslim.

“Rahsia yang paling utama Rasulullah SAW dapat mengubah keadaan dunia ini dari syirik kepada keimanan adalah dengan mengajarkan aqidah umat dan keyakinan rakyat kepada agama.

“Sebagai seorang Guru kepada dunia ini, Rasulullah mempunyai kitabnya iaitu Al-Quran yang datang dari Allah SWT. untuk membimbing dan memandu manusia kepada jalan kebenaran.

“Rasulullah yang mempunyai akhlak yang mulia itu disifatkan sepertimana mata air yang jernih berperanan memberikan kesedaran dan panduan kepada manusia seluruhnya,” tegas Timbalan Mufti Kelantan itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangannya di dalam Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan menerusi media elektronik RTM, malam tadi.

Dato’ Haji Mohamad bersama-sama dengan dua panelis lain iaitu Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood dan Ustaz Haji Mohd Farid Ravi Abdullah yang dipengerusikan oleh Ustaz Ridhuan Tee Abdullah.

Rakaman forum yang mengambil nama filem Samarinda di TV3, Rindu Semakin Jauh… itu dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang, Kelantan, di hadapan ribuan penonton.

Forum yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran menyintai Nabi Muhammad SAW. itu adalah sempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Timbalan Mufti itu juga menyatakan akibat dari kurangnya cinta kepada ilmu Islam menyebabkan masyarakat semakin jauh dari merindui dan menyintai Nabi Muhammad.

- zs

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com