Wednesday, April 20, 2005

Pemuda PAS edar 3,000 risalah mengenai bahaya dakyah Islam liberal

Oleh Hafiz Mohd Baqi

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Pemuda PAS mengedarkan lebih 3,000 risalah kepada warga ibu kota mengenai bahaya dakyah Islam liberal yang sedang ‘dikempenkan’ oleh beberapa pihak ketika ini.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengetuai kumpulan daripada Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengedarkan risalah tersebut di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Jalan Masjid India kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Hadir sama Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman; Pemangku Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutan, Muhammad Nor dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutan, Ridhwan Mohd Nor.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dijangkakan turut sama dalam program selama satu jam itu tidak dapat berbuat demikian kerana penerbangannya dari Kuala Terengganu tergendala.

Dalam risalah tersebut, Pemuda PAS mendedahkan agenda sebenar Islam liberal cuba diperkenalkan serta pihak-pihak dan individu-individu yang berperanan besar dalam dakyah itu.

Menurut Mazlan yang ditemui Harakahdaily di lokasi tersebut berkata, mengedar risalah merupakan sebahagian daripada kempen menentang dakyah Islam liberal yang dibuat Pemuda PAS di samping beberapa lagi tindakan lain seperti perhimpunan aman dan debat terbuka.

"Cara ini sangat efektif kerana mesej kita terus sampai kepada orang ramai yang kebanyakannya sukar untuk hadir mendengar ceramah-ceramah penerangan PAS.

"Melalui pengalaman Pemuda PAS melakukan kerja-kerja seperti ini dan apa yang berlaku hari ini, penerimaan masyarakat sangat positif, ada yang meminta empat hingga lima risalah untuk diberikan kepada rakan dan jiran mereka,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain pula, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sisters In Islam (SIS) yang disifatkan oleh Pemuda PAS sebagai pihak paling berperanan dalam usaha menuntut dihapuskan pelaksanaan undang-undang moral terhadap individu, dikatakan bersedia untuk bersemuka dengan PAS dalam satu debat intelektual.

Mazlan berkata pihaknya telah menghubungi SIS melalui telefon dan mereka berminat menyertai perdebatan tersebut cuma meminta Pemuda PAS mengundang mereka secara rasmi melalui surat.

"Kita telah menghantar surat kepada mereka dan hanya menunggu jawapan rasmi sahaja," kata beliau.

Menurut Mazlan perdebatan tersebut merupakan satu wacana akedemik di mana pusingan pertama debat tersebut akan diadakan pada bulan Mei, tetapi tempatnya belum diputuskan.

Selain SIS kata beliau, seorang tokoh akademik daripada sebuah pusat pengajian tingi dan seorang mufti juga akan menyertai perdebatan tersebut di samping seorang wakil daripada PAS.

"Kita mahu satukan empat pihak yang berbeza dalam satu perdebatan, ia akan dilakukan secara akademik untuk tujuan mencari jalan terbaik menjelaskan kekeliruan orang ramai terhadap Islam," kata beliau lagi. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com