Tuesday, April 19, 2005

Singapura bina dua kasino bernilai RM11.4 bilion

SINGAPURA 18 April - Singapura hari ini meluluskan pembinaan dua kasino bernilai berbilion-bilion dolar dengan tujuan menarik wang pelancong dan menggilap imej hambar republik ini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberitahu Parlimen, kerajaan mengambil keputusan untuk meluluskan pembangunan dua kasino bernilai sejumlah S$5 bilion (RM11.4 bilion), satu di Marina Bay dekat pusat bandar raya dan satu lagi di pulau peranginan Sentosa.

"Kita tidak boleh duduk diam. Seluruh rantau ini berkembang pesat,'' kata Hsien Loong dalam keputusan dasarnya yang pertama sejak mengambil alih kuasa pada Ogos lalu.

"Jika kita tidak berubah, di mana kita dalam tempoh 20 tahun lagi?''

Semalam, bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew kesal kerana ketika pemerintahannya beliau menolak untuk membina kasino berkenaan semasa cadangan itu dibentangkan sekitar 1970-an.

"Ini kerana saya merasakan ia akan menyebabkan kita menghadapi lebih banyak masalah kerana kasino tersebut membawa lebih banyak masalah sosial berbanding keuntungan dari segi ekonomi,'' katanya yang turut kesal kerana tidak membina Litar F-1.

Bagaimanapun, Kuan Yew berkata, tanpa kasino itu pun Singapura tetap menghadapi pelbagai masalah.

Dalam pada itu, Hsien Loong berkata, projek kasino itu memainkan peranan utama dalam usaha Singapura untuk mencapai matlamat meningkatkan bilangan pelancong sekali ganda kepada 17 juta orang setahun, menambah pendapatan daripada pelancongan kepada AS$18 bilion (RM68.40 bilion) setahun dan menghasilkan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan.

Tidak kurang penting ialah matlamat kerajaan untuk merancakkan kehidupan di republik itu dan mengubah imejnya yang selama ini dilihat sebagai membosankan.

Rancangan kasino itu juga adalah sebahagian usaha lebih luas untuk menyusun semula ekonomi Singapura dan menjadikan negara ini sebuah Monaco Timur.

Ia telah mencetuskan perbahasan hangat berhubung isu sama ada faedah yang bakal diperoleh jauh mengatasi kesan negatif seperti membanyakkan lagi kaki judi dan meningkatkan kadar jenayah.

Dalam pada itu, Singapura pada bulan lepas mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan lebih banyak peruntukan bagi merawat ketagihan judi ekoran pembinaan kasino berkenaan.

Ia akan meliputi bangunan yang akan mengendalikan kes perjudian, kaunseling, rawatan, penyelidikan dan langkah untuk mengurangkannya.

Keputusan pembinaan kasino itu dibuat ketika operator kasino yang besar-besar beralih ke Asia untuk meluaskan operasi dan mungkin mendorong negara lain seperti Thailand, India, Taiwan dan Jepun membenarkan kasino berikutan pertumbuhan pesat kasino di bandar Macau, China, kata penganalisis. - Reuters
___________________________________________________

Komen PemudaWilayah
Inilah akibatnya bila mana pemimpin bukan Islam dan sekular menerajui negara. Mereka sanggup menghabiskan wang berjuta-juta semata-mata untuk mengatasi masalah ketagihan judi yang mana pada dasarnya mereka punca kepada masalah tersebut. Mereka sanggup merosakkan generasi mereka demi meletakkan nama negara dipersada dunia agar sebaris dengan nama 'monaco' di barat.
Ini bukan permulaan, kerana sebelum ini pun kerajaan Singapura giat mempromosikan pesta seks seperti himpunan Kaum Gay dan Lesbian demi mencabar kuasa 'sex tourism' yang diungguli oleh Kerajaan Thailand sebelum ini.
DPPWP berasa simpati terhadap nasib masyarakat Melayu Singapura yang kini semakin terpencil dan menjadi golongan minoriti yang bukan sahaja tertindas dari aspek pembangunan fizikal tetapi dihambat teruk oleh serang pemikiran sekular pemimpin mereka.



0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com