Tuesday, March 29, 2005

Sosej dua syarikat halal

KUALA LUMPUR 28 Mac - Dua syarikat yang disyaki mengeluarkan sosej mengandungi bahan haram didapati bebas daripada unsur berkenaan.

Tetapi kedua-duanya tidak terlepas daripada dikenakan kompaun kerana kesalahan masih menggunakan logo halal walaupun sijilnya telah luput tempoh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal berkata, kajian Jabatan Kimia mendapati sosej keluaran kedua-dua syarikat dari Lembah Klang itu tidak mengandungi sumber yang haram.

``Sebaliknya, syarikat Muller Sausage Haus Sdn. Bhd. di 81/2, Jalan Ipoh dan Pacific Refrigerating Sdn. Bhd. di alamat Lot 1025, Jalan 2, Selayang Baru, dikenakan kompaun kerana menggunakan logo Halal yang luput,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengumumkan hasil penyiasatan kementerian berhubung dakwaan kedua-dua syarikat itu menggunakan sumber haram bagi sosej keluaran mereka.

Shafie berkata, hasil penyiasatan kementeriannya mendapati sijil halal untuk kedua-dua syarikat itu luput pada 28 Januari.

``Ini bermakna kedua-dua kilang itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15, Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo yang tidak dibenarkan oleh agensi berkaitan,'' katanya.

Kedua-dua kilang itu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-dua sekali bagi orang perseorangan atau maksimum RM250,000 bagi syarikat korporat, katanya.

Kata beliau, kedua-dua kilang itu kini tidak dibenarkan beroperasi mengeluarkan sosej selagi mereka tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menggunakan logo Halal.

Shafie berkata, kementeriannya menjalankan siasatan ke atas kedua-dua syarikat itu pada 14 Mac atas permintaan JAIS selepas menerima aduan orang ramai yang mengesyaki sosej keluaran kedua-dua syarikat berkenaan mengandungi sumber haram dan penyalahgunaan logo Halal.

Menurutnya, pada hari operasi pegawai penguat kuasa kementerian menyita 150 karton sosej ayam daripada syarikat Muller dan 65 karton burger ayam dan lembu dari Pacific Refrigerating.

``Sejumlah dua sampel sosej bersarung dan sarung sosej kosong yang disita daripada syarikat Muller dihantar ke Jabatan Kimia pada 16 Mac dan 17 Mac manakala dua sampel burger ayam dan burger lembu yang disita dari syarikat Pacific Refrigerating dihantar untuk analisis pada 23 Mac,'' katanya.

Katanya, pada hari yang sama (14 Mac), pasukan penyiasat telah membuat siasatan lanjut di Medan Selera di IKEA di tingkat tiga, Bandar Damansara Utama dan menyita 60 karton sosej yang dibekalkan oleh syarikat Muller.

Beliau berkata, 24 batang contoh sosej dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis pada 22 Mac.

Shafie berkata, beliau menerima keputusan ujian Acid Deoxyribonucleic (DNA) daripada Jabatan Kimia ke atas sampel-sampel itu dan mendapati ia dari sumber haiwan ayam, manakala sarung sosej berkenaan dari sumber haiwan biri-biri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com