Wednesday, March 23, 2005

Ubah sistem peperiksaan disokong

KUALA LUMPUR: Sistem peperiksaan sekarang perlu diubah dengan mengambil kira prestasi harian pelajar supaya penilaian lebih tepat dan menyeluruh terhadap seseorang pelajar dapat dilakukan, kata tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Murad Mohd Noor.

Beliau berkata, penentuan prestasi pelajar tidak sepatutnya hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata seperti sistem sekarang.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan (kini Pelajaran) itu berkata, antara elemen boleh diambil kira ialah kerajinan, tumpuan, minat dan prestasi pelajar dalam kerja rumah bagi sesuatu mata pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, ini tidak bermakna peperiksaan dimansuhkan, sebaliknya penilaian berasaskan sekolah itu mungkin membabitkan 40 peratus daripada keseluruhan markah sesuatu mata pelajaran.

“Penilaian berkenaan boleh diselenggarakan guru, manakala peringkat pusat pula menyediakan garis panduan dan menyeragamkan untuk semua sekolah.

“Langkah ini sudah dilaksanakan di luar negara tetapi kita mampu mencipta acuan sendiri kerana Lembaga Peperiksaan Malaysia memiliki kepakaran mencukupi,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bahawa dasar pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan sekarang akan diubah kepada pembangunan menyeluruh keperibadian pelajar, khususnya aspek kebijaksanaan dan kemahiran.

Sambil mengalu-alukan hasrat kementerian itu, Dr Murad berkata, memang dasar pendidikan sekarang terlampau berorientasikan peperiksaan sehingga mendorong ibu bapa menghantar anak mereka tuisyen seawal tahun dua persekolahan.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Awang Mohmad, meminta Kementerian Pelajaran memberi penjelasan telus dan terperinci mengenai perubahan yang akan dilakukan terhadap dasar pendidikan sedia ada.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak, William Ghani Bina, pula berkata Falsafah Pendidikan Negara sebenarnya sudah memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan seimbang kepada pelajar.

“Dalam konteks ini, ‘sentuhan kemanusiaan’ harus diberi penekanan dalam pendidikan supaya pelajar tidak pergi ke sekolah sekadar untuk lulus peperiksaan,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com