Wednesday, March 23, 2005

5 dibebas ISA boleh ke IPT

IPOH: Lima pelajar yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin, boleh meneruskan pengajian mereka di universiti tempatan dengan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata empat pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh memohon terus kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Semua mereka sudah dibebaskan tetapi masih diletakkan di bawah sekatan tahanan yang membawa maksud mereka masih perlu berada dalam kawasan yang ditentukan.

"Mereka juga mempunyai peluang untuk memasuki universiti, jadi perkara yang perlu dilakukan adalah membuat rayuan kepada kementerian dan kami akan pertimbangkan," katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Perdana Sempena Maal Hijrah 1426 di Masjid Ibnu Salam di Pengkalan Pegoh dekat sini, semalam.

Ceramah anjuran Gerak Wanis Gerakan Belia 4B itu disampaikan penceramah bebas, Siti Norbahyah Mahmood dan dihadiri lebih 1,000 umat Islam.

Kelmarin, kerajaan membebaskan enam tahanan ISA termasuk bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Min Wan Mat dan lima pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM, baru-baru ini.

Empat pelajar lepasan SPM ialah Abi Dzar Jaafar, 18; Eddy Erman Shahime, 19; Mohd Radzi Abdul Razak, 19 dan Mohd Ikhwan Abdullah, 19, manakala Mohamad Akil Abdul Raof, 21, lepasan STPM.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com