Ahli Parlimen minta penjara peniaga tipu logo halal
Laporan Veena Rusli dan Jami'ah Shukri
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Rakyat semalam, termasuk pembangkang dan yang bukan beragama Islam, sepakat meminta kerajaan bertindak tegas dengan memperuntukkan hukuman penjara dan sebat, terhadap pengusaha dan peniaga yang menipu dalam penggunaan logo halal.
Sambil menyifatkan golongan itu sebagai pengkhianat, mereka berpendapat soal halal haram adalah perkara serius yang tidak sewajarnya dipersenda serta dipandang remeh oleh mana-mana pihak.
Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) berkata, umat Islam tidak boleh bertolak-ansur atau berdiam diri terhadap pihak yang cuba memperalatkan agama Islam dan menjadikannya landasan mengaut keuntungan.
“Kerajaan perlu tegas bertindak dan kita harap badan bukan kerajaan (NGO) serta individu turut memberi kerjasama. Saya cadangkan kedai menjual makanan tidak halal mempamerkan tanda ‘tidak halal’ besar-besar supaya orang Islam tidak salah faham.
“Bagi yang mempermainkan logo halal, kita minta kerajaan tutup terus premisnya kerana denda saja tidak mencukupi,” katanya ketika membahaskan usul mengenai isu sosej dicemari usus babi menggunakan logo halal dan dijual kepada umat Islam membahaskan usul berkenaan di Dewan Rakyat, semalam.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguh selama sejam pada 4 petang semalam bagi membahas usul Salahudin Ayub (Pas-Kubang Kerian) itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika membenarkan usul itu berkata, ia memenuhi ketiga-tiga kriteria yang diperuntukkan dalam Perkara 18(1) Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu perkara tertentu, perkara yang perlu disegerakan dan berkepentingan orang ramai.
Salahudin ketika membentangkan usul itu antara lain berkata, pengusaha produk makanan di negara ini sepatutnya sensitif terhadap keperluan masyarakat beragama Islam dan memahami larangan agama sesuatu kaum.
“Fokus kita dalam isu halal dan haram ini bukan setakat kepada makanan tetapi juga produk lain seperti pakaian serta barang kegunaan harian lain. Kerajaan perlu bertindak tegas ke atas golongan tidak bertanggungjawab ini bagi memastikan kepentingan umat Islam terpelihara sepenuhnya,” katanya.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) pula menyarankan mereka yang menyalahgunakan logo halal dikenakan hukuman sebat.
Beliau berkata, pesalah terbabit wajar dikenakan hukuman sebat tanpa mengira kedudukan bagi memastikan perkara itu tidak diambil mudah oleh sesiapa saja.
Sementara itu, Datuk Liow Tiong Lai (BN-Bentong) yang diberi laluan mencelah ketika Badruddin berucap, mendapat tepukan apabila menyatakan pendiriannya berhubung isu penyalahgunaan logo halal.
“Saya bukan seorang Muslim tetapi saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu kerana soal mempermainkan halal haram memang kita tidak boleh maafkan.
“Dalam hal ini, kita bukan mahukan sekadar tindakan tegas tetapi kerajaan perlu menggubal akta khusus memperuntukkan hukuman drastik dan penalti lebih berat kepada mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan,” katanya.
Ketika Badruddin memuji kenyataan Liow yang dilihat mempertahankan maruah umat Islam dan mengatakan ia adalah lambang keunikan konsep Ahli Parlimen BN yang menerima hakikat Malaysia sebagai negara Islam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S Veerasingam, meminta laluan dan berkata:
“Kami dalam MIC pun turut sokong usul ini dan memahami isu halal haram.”
Datuk Suhaili Abdul Rahman (BN-Labuan) pula meminta media massa menyiarkan jenama sosej yang dikatakan dicampur dengan usus babi supaya pengguna khususnya yang beragama Islam, tidak tertanya-tanya atau was-was dengan produk di pasaran.
“Kita ada televisyen dan akhbar, jadi pihak berkenaan mesti umumkan segera jenama sosej yang disahkan dicampur usus babi itu sebab kalau dah termakan, susah kita nak samak.
“Saya sokong cadangan supaya mereka itu disebat, malah kalau boleh digantung,” katanya.
Ismail Noh (Pas-Pasir Mas) mahu syarikat yang dikenal pasti menyalah guna logo halal dipulaukan sehingga mereka mendapat pengajaran sewajarnya, manakala Idris Haron (BN-Tangga Batu) meminta lebih banyak NGO bersikap proaktif seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membongkar isu sosej menggunakan usus babi baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, ketika menggulung perbahasan berkata, pihaknya akan menyenarai hitam pemilik hingga ke peringkat ahli lembaga pengarah syarikat yang didapati menipu pengguna dalam soal halal haram.
“Kita boleh lakukan berdasarkan peruntukan Akta Pendaftaran Syarikat dan perbuatan mereka itu tidak harus diampunkan kerana ia cukup keji.
“Untuk melaksanakannya, kita tidak harus ada rasa simpati. Saya sendiri pernah dimarahi oleh rakyat kawasan sendiri ketika bertindak dalam isu penyeludupan diesel tetapi saya tetap akan berpegang kepada amanah yang sudah diberikan,” katanya.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home