Monday, March 14, 2005

Kemasukan Dadah Baru Punca Peningkatan Penagih Dadah

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kemasukan pelbagai jenis dadah baru dan kekurangan anggota di Jabatan Narkotik merupakan faktor utama yang menghalang polis menangani masalah dadah di negara ini.

"Masalah sekarang ialah banyak dadah baru yang timbul berbanding dengan dadah-dadah jenis tradisional," kata Pengarah Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia Datuk Mohd Najib Abdul Aziz dalam Debat Perdana bertajuk "Perangi Dadah: Antara Undang-undang dan Pelaksanaan" yang disiarkan di RTM1 di sini, Ahad malam.

Kemasukan dadah baru seperti syabu dan ecstasy menyebabkan pertambahan penagih di negara ini.

Beliau juga berkata pada masa sekarang terdapat 3,000 pegawai dan anggota dalam jabatannya yang bertugas membanteras masalah penyalahgunaan dadah yang semakin bertambah.

"Memang tak cukup pegawai di Jabatan Narkotik, tetapi kita dibantu oleh seramai 85,000 anggota polis," kata Mohd Najib.

Walaupun kekurangan anggota, beliau berkata tangkapan penagih dadah meningkat setiap tahun.

Mohd Najib berkata pada tahun 2002, Jabatan Narkotik berjaya menangkap 98,345 penagih dan pada tahun 2004, angka itu meningkat kepada lebih 100,000 orang.

Beliau berkata pendekatan yang diambil untuk menangani masalah dadah masih tidak tersusun dan ia memerlukan penglibatan seluruh anggota masyarakat untuk menangani musuh nombor satu negara itu.

"Tindakan kita masih tidak mencukupi, kita mahukan tindakan yang holistic," katanya.

Debat itu turut disertai Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin, anggota Parlimen Kelana Jaya, Datuk Loh Seng Kok serta anggota jawatankuasa kerja PAS Pusat, Ahmad Awang.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com