Monday, March 14, 2005

Undang-undang Islam perlu diperbaharui: Dr M

ISLAMABAD: Negara Islam perlu memperbaharui undang-undang Islam manakala sistem kehakimannya pula mestilah berkhidmat bagi memberi keadilan kepada semua pihak, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini kelmarin.

“Undang-undang mestilah melindungi manusia daripada ketidakadilan,” katanya ketika membezakan undang-undang bertulis sebagai betul dan sejajar dengan moral serta adil dengan sama ada ia adil apabila dilaksanakan.

Beliau menekankan bahawa ajaran Islam sesuai diamalkan setiap masa tetapi pemahaman mengenainya mestilah menjadi satu matlamat ke arah pelaksanaan undang-undangnya dalam dunia moden.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap di Universiti Islam Antarabangsa selepas menerima anugerah ijazah doktor kehormat undang-undang daripada Presiden Pakistan, Pervez Musharraf.

Turut menerima anugerah itu adalah Putera El-Hassan Bin Talal dari Jordan, dan bekas pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela, sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada kemantapan sosio-ekonomi negara masing-masing.

Musharraf yang juga Canselor universiti berkenaan menyampaikan ijazah kehormat itu di sebuah pusat konvensyen di universiti berkeaan, lapor akhbar di sini.

Putera Talal dan Dr Mahathir menerima anugerah itu dengan disambut tepukan gemuruh anggota fakulti, pelajar dan orang ramai manakala seorang calon keluarga Mandela menerima anugerah itu bagi pihak pemimpin berkenaan.

Musharraf pula memberi pujian menggunung kepada komitmen Putera Talal serta kepemimpinan Dr Mahathir dan Mandela.

Penganugerahan kepada pemimpin terbabit nyata meningkatkan prestij universiti ini, katanya.

Mengulas mengenai Dr Mahathir, Musharraf menyifatkan bekas pemimpin Malaysia itu sebagai ‘seorang legenda’ dalam dunia Islam kerana memegang peranan memastikan ekonomi Malaysia terus unggul. memberi kestabilan politik dan mengekalkan keharmonian di kalangan penduduk berbilang kaum di negara itu.

Musharraf juga memuji Putera Talal kerana memberi sumbangan mempromosi Islam dan menganjurkan pendidikan Islam terkini.

Mengenai Mandela, pemimpin itu menyifatkannya sebagai seorang wira dan penaja keamanan yang memimpin Afrika Selatan ke era lebih moden selepas 23 tahun ditahan bersendirian di bawah era aparteid. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com