Monday, March 14, 2005

Kes denggi di ibu negara masih serius

KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan kematian akibat demam denggi dicatatkan sekitar ibu kota dalam tiga bulan pertama tahun ini berbanding jumlah sama sepanjang tahun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata walaupun kes demam denggi di ibu kota dilaporkan menurun kira-kira 15 peratus dalam tempoh sebulan lalu tetapi ia masih pada tahap serius berdasarkan jumlah kematian dicatatkan.

Beliau berkata Kepong mencatatkan jumlah kematian paling tinggi iaitu tiga orang manakala Cheras, Setapak dan pusat bandar masing-masing mencatatkan dua kes kematian.

“Walaupun kes denggi menurun sedikit tetapi kementerian masih tidak berpuas hati kerana angka kematian terus meningkat dengan korban denggi keseluruhan sehingga minggu kedua Mac ialah sebanyak sembilan orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Gotong Royong Perdana dan Kempen Pencegahan Wabak Denggi 2005 di Kampung Selayang Lama, di sini semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Salleh Yusup dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Wilayah Persekutuan, Datuk Amiruddin Mohd Radzi.

Mohd Isa berkata sebanyak 1,805 kes demam denggi dilaporkan di ibu kota bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini di mana daripada jumlah itu sebanyak 127 disahkan positif denggi berdarah.

“Minggu lalu saja sebanyak 27 kes positif demam denggi dilaporkan. Keadaan ini agak membimbangkan dan jika masyarakat tidak memainkan peranan memastikan kawasan kediaman bebas tempat pembiakan jentik-jentik dikhuatiri jumlah itu akan terus meningkat,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com