Saturday, March 12, 2005

Tiga pemaju kena denda Kerja tanah tanpa kelulusan dekat Bukit Cahaya Seri Alam

SHAH ALAM: Tiga pemaju termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam didenda lebih RM800,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, menjalankan kerja tanah tanpa kelulusan di Seksyen U10, berhampiran Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam.

PKNS dan Restu Mantap Sdn Bhd masing-masing didenda RM300,000 dan RM250,000 bagi kesalahan mengikut Seksyen 26 (1)b Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 kerana menjalankan kerja pemajuan tanah di Seksyen U10 Shah Alam pada Februari lalu tanpa kebenaran.

Kedua-dua syarikat juga masing-masing didenda RM30,000 bagi kesalahan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana menjalankan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan.

Dacing Kota Sdn Bhd pula didenda RM200,000 selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan kerana membenarkan kerja-kerja pemajuan tanah tanpa memperoleh kebenaran merancang serta denda RM30,000 kerana kesalahan kedua mengikut Seksyen 70 A (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketiga-tiga projek terbabit terletak kira-kira dua kilometer dari taman pertanian berkenaan dengan PKNS memiliki tanah seluas 140 hektar, Dacing Kota Sdn Bhd 6.72 hektar dan Restu Mantap Sdn Bhd 20 hektar (50 ekar).

PKNS diwakili Setiausaha Kerjanya, Alias Abu Bakar, manakala Dacing Kota Sdn Bhd dan Restu Mantap Sdn Bhd, masing-masing diwakili pengarah syarikat, Jamaluddin Mohammed dan Lim Ki Sing.

Green Hill View Sdn Bhd pula, yang diwakili Pengarahnya, Ismail Othman bagaimanapun tidak mengaku salah dan minta dibicarakan. Hakim Suraya Othman menetapkan 4 Mei depan untuk perbicaraan kes itu.

Dua lagi syarikat, Lunas Hati Sdn Bhd dan Indi Makmur Sdn Bhd yang sepatutnya turut didakwa semalam, tidak hadir berikutan pendakwa gagal menyerahkan saman kepada mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin, yang dibantu Pegawai Undang-Undang MBSA, Surya Wati Shewal dan Mohd Sofian Abd Rahman, meminta tempoh untuk mendakwa syarikat berkenaan. Suraya menetapkan tarikh 22 Mac depan untuk berbuat demikian.

Enam syarikat itu sebahagian daripada sembilan pemaju yang sebelum ini dilaporkan akan didakwa di mahkamah kerana menjalankan pembangunan tanpa kebenaran di Seksyen U10, berhampiran taman pertanian itu sehingga menjejaskan sistem ekologi dan alam sekitar.

Sementara itu, Suraya ketika menjatuhkan hukuman berkata, syarikat terbabit didenda dengan jumlah berbeza selepas mahkamah mengambil kira faktor keluasan tanah yang diusahakan dan kesannya kepada alam sekitar.

Katanya, mahkamah mengambil kira faktor saiz tanah ketika menentukan jumlah denda kerana saiz tanah yang luas boleh menyebabkan lebih banyak kemusnahan kepada alam sekitar, manakala lot lebih kecil, kurang sumbangannya kepada kemusnahan.

Beliau berkata, perbuatan pemaju yang menjejaskan atau memusnahkan alam sekitar harus dihukum bagi mencerminkan abhorrence mahkamah dan masyarakat terhadap kecuaian dan ketidakprihatinan mereka terhadap kesejahteraan alam sekitar.

Kesalahan mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Suraya berkata, mahkamah memandang berat kesalahan itu kerana kesannya mungkin turut dirasai generasi akan datang. Hukuman pencegahan yang dijatuhkan itu diharap memberi pengajaran bukan saja kepada pemaju terbabit, malah pemaju lain.

“Sudah tiba masanya pemaju perumahan tidak saja mementingkan keuntungan daripada perniagaan mereka, tetapi pada masa sama sedar mengenai tanggungjawab terhadap masyarakat, terutama dalam keghairahan mereka mengaut keuntungan, jangan sampai menjejaskan dan memusnahkan alam sekitar.

“Semua pihak perlu memahami dan menyedari keharmonian dan kestabilan alam sekitar seharusnya menjadi tonggak utama yang perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Dunia hanyalah tempat persinggahan sementara bagi kita. Ia akan diwarisi oleh cucu cicit kita, iaitu generasi akan datang. Sebagai generasi yang bertanggungjawab, kita harus bersama-sama memelihara bumi peninggalan nenek moyang kita supaya ia dapat diserahkan kepada generasi akan datang dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata, pemaju harus menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dan tidak harus memandangkan ringan undang-undang serta peraturan dan menganggapnya sebagai kesalahan teknikal saja.

Dalam rayuannya, peguam Restu Mantap, Teh Kai Loon, berkata anak guamnya membuat kesilapan itu kerana bergantung kepada nasihat kontraktor yang mendakwa kerja penebangan pokok dan membawa keluar balak boleh dimulakan dengan hanya kelulusan Jabatan Perhutanan yang diperoleh pada November lalu.

Katanya, syarikat itu juga tidak mengetahui bahawa penebangan pokok secara teknikalnya termasuk dalam bidang kerja merata tanah.

Teh meminta hakim menimbangkan hukuman yang ringan kerana kerja tanah itu baru di peringkat permulaan dan bukan “kerja-kerja terlampau”.

Peguam PKNS, Sajali Abdul Ghany pula berkata syarikat itu melakukan kesalahan berkenaan kerana perlu segera melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk membina rumah kos rendah.

Beliau mendakwa, tapak projek PKNS terletak agak jauh dari Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, iaitu kira-kira dua kilometer dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Peguam Dacing Kota, Ahmad Budiman Kamarulzaman pula dalam rayuannya berkata, kerja tanah belum dilaksanakan di tapak projek syarikat itu yang mempunyai keluasan 6.72 hektar tetapi dilakukan oleh pemaju berjiran dengan tapak itu.

Oleh itu, katanya, syarikat berkenaan perlu dibezakan daripada pemaju lain yang diheret ke mahkamah.

“Permohonan untuk kerja pembangunan di tapak itu dikemukakan kepada pihak berkuasa tetapi belum mendapat kelulusan,” katanya.

Salehuddin dalam penghujahannya terhadap PKNS berkata, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bertujuan memastikan alam sekeliling fizikal, topografi semula jadi dan landskap dipelihara sebaik-baiknya.

“Walaupun jarak antara kawasan yang dimajukan dengan Bukit Cahaya Seri Alam adalah kira-kira dua kilometer, mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan masyarakat sekitar yang hak mereka perlu dijaga,” katanya.

Mengenai rayuan Restu Mantap, Salehuddin berkata, walaupun aktiviti tanah hanya dilakukan di atas bukit dan syarikat mendakwa banyak lagi tumbuh-tumbuhan di sekitarnya, aktiviti syarikat itu boleh mengubah struktur tanah dan seterusnya membawa kepada hakisan dan runtuhan tanah.

Katanya, tindakan Restu Mantap yang bergantung kepada kontraktor juga tidak sepatutnya berlaku kerana kontraktor tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

Berhubung rayuan Dacing Kota, Salehuddin berkata, walaupun sesebuah syarikat membenarkan pihak lain melakukan aktiviti di atas tanahnya, ia masih tertakluk kepada hukuman terhadap mereka yang melakukan aktiviti tanah itu sendiri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com