Saturday, February 26, 2005

Pimpinan PAS setuju ahli undi di Wilayah Persekutuan

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Saranan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (WP), Haji Subky Latif yang menggesa agar semua ahli dan penyokong mengundi di ibu kota turut dipersetujui pimpinan WP yang lain.

Ketua Dewan Ulama WP, Ustaz Salleh Sani Al-Hafiz berkata, untuk memastikan PAS mencapai kemenangan dalam pilihan raya 2008, semua ahli PAS yang bekerja di ibu kota perlu mengundi di WP.
Menurut beliau, bagi menjamin kemenangan itu WP memerlukan majoriti pengundi yang banyak.

Beliau menyokong penuh cadangan Subky dan berharap ahli PAS yang bekerja di ibu kota menyahut saranan daripada Pesuruhjaya tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Ibrahim Raja pula berkata, sudah banyak kali cadangan itu dibincangkan dalam Ijtimak WP malangnya sehingga kini belum ada tindak balas daripada ahli PAS yang bekerja di ibu kota.

Mengulas cadangan tersebut, beliau berkata, memang ramai ahli PAS di WP mengundi di luar iaitu di tempat lahir masing-masing.

Katanya, disebabkan sikap ahli PAS itu apabila tiba hari mengundi, PAS WP tidak mendapat jumlah undian yang boleh memberi kemenangan.

"Fenomena orang Melayu memang sayang nak tinggalkan negeri masing-masing," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, petang tadi.

Sehubungan itu tambah beliau, ahli PAS WP perlu memikirkan semula cadangan Pesuruhjaya serta mengambil tindakan positif untuk mengubah fikiran mereka untuk mengundi di sini.

Katanya, ini kerana Parlimen Titiwangsa berpotensi dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimatnya, Ustazah Nuridah Salleh mengingatkan ahli PAS yang bekerja di ibu kota bahawa sepatutnya mengundi di tempat seseorang itu `mencari makan'.

Menurut beliau, sepatutnya pengundi memberi sokongan padu terhadap PAS untuk menegakkan suasana yang baik kepada masyarakatnya.

Beliau berkata, cadangan itu sudah lama dibawa dalam mesyuarat tetapi bila tiba pilihan raya PAS WP tidak cukup kakitangan untuk mengendalikan tugas sepanjang hari mengundi.

Katanya, ini kerana ramai ahli PAS balik kampung untuk mengundi tetapi jika mereka tidak balik mengundi di kampung sekurang-kurangnya mereka boleh menjimatkan ekonomi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Dr Rayney Azmi Ali berkata, PAS perlu menyakinkan orang ramai bahawa parti itu mendapat sokongan daripada orang ramai disebabkan dasar perjuangannya.

Menurut beliau, PAS perlu tunjukkan bahawa parti itu berada di merata-rata tempat dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

"Kita tidak mahu yang mengundi di sini hanya terdiri daripada ahli PAS WP sahaja, tetapi kita mahu mereka yang bermastautin di WP turut mengundi di sini," katanya. - mks.

1 Comments:

At 9:07 AM, Anonymous Anonymous said...

Tak balik kampung kerana mengundi di WP dapat menambah ekonomi...setuju.

Tak pergi kehulu kehilir untuk mendengar taklimat dan ceramah mat jenin juga adalah menambah ekonomi.

Nih dah zaman IT, tak perlu asyik minta orang kehulu kehilir dan kemudian pemimpin membebel tidak melihat kepada kemampuan orang bawahan.Maka jadilah ia bagaikan angan angan mat jenin. pls look the waqi'iah !

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com