Saturday, February 26, 2005

Presiden PAS turun padang bertemu masyarakat

Oleh ZULKIFLI SULONG

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Masa untuk turun padang bagi Presiden PAS dan itulah yang dilakukan oleh beliau mulai 12 Februari lalu. Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang turun bertemu masyarakat Kampung Kerinci pada tarikh tersebut.

Esok Ahad, 27 Februari, dua tempat penempatan utama orang Melayu di ibu negara pula akan menjadi sasaran beliau. Kampung Baru Kuala Lumpur dan Kampung Medan, Petaling Jaya.
Paginya beliau akan ke Kampung Baru manakala pada petangnya beliau akan ke kampung Medan. Di sana beliau akan berdialog secara langsung dengan penduduk kawasan itu.

Ketiga-tiga kawasan penempatan ini mempunyai sejarah yang tersendiri kepada negara. Kampung Kerinci adalah antara penempatan setinggan yang awal iaitu lebih 100 tahun lalu.

Kampung Baru pula sedang berada di persimpangan antara kekal dengan tradisinya ataupun dibangunkan menjadi kawasan kosmopolitan.

Kampung Medan pula adalah lambang lemahnya perpaduan kaum di negara ini apabila berlakunya pertembungan antara orang Melayu dan India beberapa tahun lalu di situ.

Semua kunjungan ini diuruskan oleh Pejabat Presiden PAS yang terletak di nombor 22, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. Ia dibuat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor serta PAS cawangan dan kawasan di tempat sasaran.

Turut serta dalam majlis esok adalah Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub.

"Kunjungan ini bertujuan untuk membolehkan Presiden menjiwai sendiri degup jantung rakyat bawahan khasnya mereka yang tinggal di ibukota," kata Setiausaha Politik Presiden PAS yang baru beberapa bulan lalu dilantik, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman, bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu dan bekas pensyarah Sains Politik Universiti Malaya, kini mengetuai pejabat Presiden itu.

Beliau dan keluarga kini berpindah sepenuhnya dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tugas barunya.

Di samping beliau, turut bertugas di pejabat itu adalah seorang pegawai Perhubungan yang akan membantu beliau dan Presiden PAS berhubung dengan sesiapa sahaja.

Biasanya pada setiap lawatan, Presiden PAS akan disertai oleh beberapa pemimpin kanan PAS yang lain. Misalnya di Kampung Kerinci, 12 Februari lalu, beliau ditemani oleh Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub dan Dr Syed Azman sendiri yang juga AJK PAS Pusat.

"Selepas ketiga-tiga kawasan ini, kita akan turun ke kawasan-kawasan yang lain pula bukan terhad di ibu negara sahaja," kata Dr Syed.

Di samping merancang kunjungan dan dialog Presiden dengan orang ramai di tempat mereka, kini Presiden PAS mempunyai jadual yang tetap di pejabatnya di Kuala Lumpur.

"Mula-mula ini Presiden akan berada di pejabatnya setiap dua minggu sekali. Selepas ini insya Allah seminggu sekali secara tetap dan berjadual.

"Ketika berada di sinilah, pelbagai program kita aturkan untuk beliau," kata Dr Syed Azman kepada Harakahdaily.

Di samping bertemu masyarakat tempatan, jadual juga diatur untuk Presiden PAS PAS bertemu dengan pelbagai sektor masyarakat secara rasmi dan tidak rasmi.

Selain bertemu para pemimpin parti dari pelbagai peringkat, pertemuan juga diatur dengan para diplomat, wartawan, ahli perniagaan, profesional, pakar-pakar, pegawai kerajaan dan sebagainya.

"Semuanya ke arah PAS yang lebih baik dan maju," kata Dr Syed lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com