Friday, February 25, 2005

Suhu 21 Mac dijangka 40% Celsius

Oleh: S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Negara akan mengalami pancaran matahari paling terik pada 21 Mac ini dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius ekoran fenomena ekuinoks.

Pada tarikh itu, matahari yang sedang bergerak dari kawasan hemisfera selatan ke hemisfera utara akan berada betul-betul di atas garisan khatulistiwa yang menyebabkan keadaan panas terik.

Jurucakap Pusat Ramalan Kaji Cuaca, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca ketika dihubungi di sini, hari ini berkata, pada masa itu, pancaran matahari akan tepat ke bumi yang menyebabkan keadaan bumi lebih panas dan suhu akan meningkat.

``Akibatnya, pada hari tersebut kita akan merasai cuaca yang amat panas kerana sinaran matahari yang terik.

``Bagaimanapun ia tidak berada di tahap yang membahayakan atau membimbangkan, tetapi diharapkan orang ramai tidak akan berjemur atau melakukan terlalu banyak aktiviti luar,'' katanya.

Jurucakap itu berkata demikian ketika diminta menjelaskan fenomena ekuinoks yang dikatakan menjadi penyebab kepada suhu panas sekarang.

Semalam Penolong Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Wong Teck Kiong berkata, keadaan itu tidak dapat mengatasi rekod yang pernah dicatatkan iaitu 40.1 darjah Celsius pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis.

Menurut jurucakap itu, ekuinoks bukanlah satu kejadian yang luar biasa yang berlaku secara tiba-tiba.

``Biasanya negara mengalami suasana panas begini dua kali setahun kerana kedudukan Malaysia berhampiran dengan garisan khatulistiwa,'' katanya.

Tambah jurucakap itu, pihaknya menjangkakan cuaca panas dan kering akan berlarutan sehingga penghujung bulan depan.

Bagaimanapun kata beliau, kebakaran hutan yang berlaku di beberapa tempat di seluruh negara sekarang bukan disebabkan oleh fenomena itu, tetapi pelbagai faktor lain termasuk kecuaian manusia.

``Kebakaran hutan yang kerap berlaku sekarang bukanlah disebabkan oleh fenomena ekuinoks ini,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com