Tuesday, February 22, 2005

Selangor akui kelemahan -- 39 pemaju terima tanah berhampiran Taman Pertanian - Exco

Oleh: NORLIZA ABD. RAHMAN dan ZAINI RABAN

SHAH ALAM 21 Feb. - Isu Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam hari ini lebih memeranjatkan, apabila kerajaan Selangor mengakui bukan 35 pemaju yang menerima tanah di Seksyen U10 di sini, tetapi 39 semuanya.

Daripada jumlah itu, 14 telah pun menerokanya secara haram sebelum kelulusan diterima dan sembilan lagi baru mendapat kebenaran merancang - tetapi sudah menebang pokok dan menarah bukit.

Sekali lagi timbul persoalan, apakah kerajaan negeri tidak sedar langsung perkembangan ini, sedangkan kawasan itu tidak sampai pun 10 kilometer dari pejabat Menteri Besar?.

Yang menghairankan juga, ketika ditanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Datuk Mohd. Mokhtar Ahmad Dahlan mengenai senarai nama syarikat-syarikat pemaju itu, ini jawapannya:

``Nama-nama syarikat belum dapat dipastikan lagi.

``Ini kerana kami masih memerlukan masa untuk mengenal pasti luas kawasan yang diberi hak milik kepada setiap pemaju.''

Jika itulah keadaannya, bermakna kerajaan tidak tahu menahu. Oleh itu, siapakah yang membahagi-bahagikan tanah itu?

Lebih malang lagi Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sazmi Miah memberitahu, hasil siasatannya mendapati semua pemaju di situ tidak mempunyai kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada jabatannya.

Kata Mohd. Mokhtar: ``Saya akui ada sesuatu `yang tidak kena' dalam projek pembinaan di kawasan Seksyen U10 di sini sehingga menjejaskan keselamatan dan ekosistem sekitar sempadan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam.

Serentak itu, katanya, 23 pemaju telah mendapat arahan henti serta-merta.

Beliau berkata, kelemahan tersebut mungkin disebabkan kurangnya tumpuan dan jangkaan kesan daripada pembangunan tersebut.

``Sebelum ini memang longgar, mulai sekarang kita akan pastikan tidak akan berlaku lagi kerja-kerja pembinaan yang boleh menjejaskan ekosistem dan alam sekitar.

``Saya yakin selepas ini pertimbangan akan diberikan dalam semua aspek sebelum meluluskan apa-apa perancangan seperti mana yang diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo,'' katanya kepada pemberita di sini.

Mereka membuat lawatan meninjau projek Bukit Bandaraya di Seksyen 8 berhampiran pintu masuk ke taman pertanian itu dan ke Seksyen U10, di sebelah utara taman itu.

Utusan Malaysia, Khamis lalu dalam laporan siasatannya mendedahkan mengenai kegiatan pembangunan tidak terancang di sekeliling sempadan taman pertanian itu sehingga mengancam sistem ekologi dan biodiversiti di dalamnya.

Menurut laporan itu, sebuah kawasan baru seluas 1,200 hektar di Seksyen U10 bersempadan taman itu telah dipecah-pecahkan kepada 35 pemaju. Sementara di sebelah selatan pula seluas kira-kira 200 hektar diberi kepada sebuah syarikat pemaju (Bukit Bandaraya).

Mohd. Mokhtar berkata, salah satu punca keadaan alam sekitar di kawasan sekitar taman pertanian itu terjejas teruk adalah kerana terdapat 14 pemaju di kawasan Seksyen U10 yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan secara haram.

Beliau menjelaskan, hanya sembilan pemaju yang dibenarkan menjalankan kerja-kerja pembinaan di situ manakala selebihnya belum mendapat kebenaran.

Katanya, keseluruhan pemaju yang terlibat di kawasan berkenaan ialah sebanyak 39 syarikat.

``Notis arahan pemberhentian telah dikeluarkan kepada kesemua pemaju terbabit pada 18 Februari lalu selepas mesyuarat Exco bersidang dua hari sebelumnya.

``MBSA telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja mengikut peruntukan Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang jika sabit kesalahan akan dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,'' katanya.

Pada masa yang sama, pemaju diarah memastikan kerja-kerja pemulihan ke atas tanah terus dilakukan bagi mengelakkan masalah tanah runtuh, hakisan atau gangguan kepada bentuk muka bumi.

``Jawatankuasa Pemantauan 24 jam yang terdiri daripada 44 orang iaitu 30 anggota MBSA, lima wakil (Jabatan Perhutanan negeri), empat wakil (Pejabat Tanah dan Galian) dan masing-masing dua wakil dari Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran,'' katanya.

Jelas beliau, pemaju hanya akan dibenarkan meneruskan projek pembinaan masing-masing selepas mendapat kelulusan daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Mineral dan Geo Sains serta Jabatan Alam Sekitar.

Mengulas mengenai kemungkinan timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemaju yang telah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menarah bukit dan menebang pokok beliau berkata, kerajaan negeri akan bertindak seadil-adilnya.

Mohd. Mokhtar berkata, MBSA akan memanggil semua 39 pemaju esok untuk menerangkan mengenai keputusan arahan pemberhentian kerja-kerja di kawasan berkenaan.

Menurutnya, proses kelulusan untuk projek pembangunan di situ dibuat mengikut prosedur biasa selepas menimbang keperluan perumahan yang semakin mendesak di Selangor berbanding negeri-negeri lain.

``Kerajaan negeri membuat pertimbangan untuk membangunkan tanah-tanah untuk projek perumahan dan pendidikan dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata, laporan penuh berhubung kemusnahan akibat pembinaan di kawasan tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila-bila masa.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com