Monday, February 21, 2005

Pembangunan sumber manusia soal hidup mati negara Islam - PM

JEDDAH 20 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bekata, negara-negara Islam perlu menangani isu pembangunan sumber manusia sebagai `persoalan hidup mati' bagi membangunkan ekonomi masing-masing.

Perdana Menteri berkata, pembangunan sumber manusia perlu diberikan keutamaan memandangkan kemahiran serta keupayaan rakyat merupakan sumber asli muktamad dalam membentuk sebuah ekonomi paling cekap, yang dapat menghasilkan pengeluaran tinggi pada kos paling rendah.

``Untuk kebanyakan negara sekarang, pembangunan sumber manusia dan pembentukan modal manusia adalah sama ada amat penting, amat perlu atau satu perkara yang berkaitan antara hidup dan mati; bagi Malaysia, kami rasakan ia adalah persoalan antara hidup dan mati.

``Ia kerana kami percaya sumber yang paling penting untuk sesebuah negara ialah bakat, kemahiran, kreativiti dan kesungguhan rakyatnya,'' kata Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Mewujudkan Masyarakat Belajar Yang Fleksibel - Rakyat Sebagai Sumber Pertumbuhan Berdaya Tahan pada Forum Ekonomi Jeddah di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Forum tiga hari bertajuk Pembangunan Keupayaan: Membangunkan Rakyat Untuk Pembangunan Berdaya Tahan yang bermula semalam itu dihadiri oleh kira-kira 2,000 peserta dari seluruh dunia.

Menurut Perdana Menteri, cara terbaik untuk membangunkan sumber manusia ialah dengan menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada rakyat masing-masing.

``Bagi sesetengah negara, pilihan yang perlu dibuat oleh kerajaan ialah sama ada mahu memberikan tumpuan kepada kesihatan, keselamatan atau pendidikan dan jawapannya adalah jelas bagi sebahagian mereka iaitu kesihatan dan keselamatan.

``Bagaimanapun, pilihan untuk sebahagian yang lain adalah jelas juga iaitu pendidikan dan Malaysia adalah amat beruntung kerana kami boleh menyatakan bahawa keputusan kami ialah pendidikan,'' ujarnya.

Beliau menambah, pendidikan telah diberikan peruntukan paling besar dalam belanjawan negara, mewakili kira-kira satu perlima pelaburan pembangunan negara sejak kemerdekaan.

``Begitu juga usaha menghapuskan kemiskinan, yang telah dilaksanakan di negara kami selama beberapa dekad lamanya dan sekarang berhasil mengurangkan kadar kemiskinan kepada kira-kira lima peratus berbanding lebih 50 peratus pada tahun 1970,'' katanya.

Perdana Menteri menambah, pemerolehan pengetahuan dan kemahiran melalui pendidikan merupakan prinsip yang penting dalam konsep Islam Hadhari.

``Saya menggunakan pendekatan Islam Hadhari ini untuk memberi inspirasi kepada rakyat saya ke arah pembangunan dan kemajuan.

``Ia merupakan pendekatan yang memerlukan umat Islam memahami bahawa pembangunan digalakkan oleh Islam, pendekatan yang bersesuaian dengan arus kemodenan tetapi pada masa yang sama berakar umbi dengan kukuh berlandaskan nilai-nilai murni dan kehendak Islam,'' jelasnya.

Menurut Abdullah, bagi membangunkan ekonomi dalam era pasca perindustrian sekarang ini, negara Islam harus melibatkan diri dalam industri nilai tambahan menggunakan ilmu pengetahuan yang melibatkan bidang pertanian, perindustrian serta perkhidmatan.

``Sebagai contoh, kita perlu lihat bahawa pengeluaran ekonomi Amerika Syarikat sekarang ini, jika diukur dalam tan (berat), adalah hampir sama dengan jumlahnya seratus tahun dahulu.

``Bagaimanapun, dalam nilai ekonomi sebenar, pengeluaran yang sama itu adalah 20 kali ganda lebih tinggi.

``Kenapa ada perbezaan nilai sedangkan pengeluaran tidak berubah? Jawapannya ialah penggabungan faktor-faktor tidak dapat diukur, yang paling penting ialah ilmu pengetahuan,'' katanya.

Tambah beliau, lebih 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara-negara OECD pula disumbangkan oleh pengeluaran dan pengedaran ilmu pengetahuan.

``Ia adalah amat jelas dan tidak boleh dinafikan bahawa pengeluaran berkualiti yang bernilai tambah tinggi adalah hasil daripada pemikiran, perancangan dan pelaksanaan oleh orang-orang yang bijak,'' ujarnya.

Selain itu, kata beliau, langkah membangunkan sumber manusia serta menghapuskan kemiskinan harus ditingkatkan dalam dunia Islam serta diperluaskan untuk membantu negara seagama yang lain.

``Negara yang lebih beruntung antara kita harus menggembleng tenaga dan membantu negara lain; sebab itulah saya membuat inisiatif bagi melaksanakan program membina keupayaan dalam OIC bagi membantu negara miskin OIC membangunkan ekonomi mereka secara lebih baik,'' katanya. - Utusan
_______________________________________________________________
Komen pemudaWilayah
Pembangunan sumber manusia perlu dilakukan melalui pembangunan rohani dan jasadiah dalam erti kata yang selari agar tidak lahir golongan pekerja atau rakyat yang siangnya sibuk bekerja malamnya sibuk berhibur semata.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com