Friday, February 18, 2005

Media Syria tuduh Israel bunuh Hariri

DAMSYIK: Media Syria menuduh Israel bertanggungjawab membunuh bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri, yang dikebumikan kelmarin di Beirut.

Akhbar Syria, Tishrin, mendakwa pembunuhan Hariri ialah satu cubaan untuk memecah belahkan perpaduan di Lubnan, menabur benih kacau bilau dan mencetuskan permusuhan yang boleh membawa kepada perang saudara.

Trishin menambah, Israel berterusan berusaha untuk mensabotaj pencapaian Lubnan dalam usaha untuk menimbulkan kekacauan dan berusaha meneruskan cengkamannya ke atas Ladang Shebaa, tanah di selatan Lubnan di sepanjang sempadan dengan Israel.

Sementara itu, penganalisis Arab berkata Syria sendiri menjadi sasaran dengan pembunuhan Hariri dan menegaskan kematian bekas perdana menteri itu langsung tidak memberi faedah kepada Damsyik.

Sumber lain menyebut, kematian Hariri ialah sebahagian skim besar yang bertujuan menambah ketegangan dan menyebarkan huru hara di rantau itu yang sedia bergolak akibat perang di Iraq dan peningkatan tekanan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, sekutu kuat Damsyik di Teluk.

“Jelas sekali Syria tidak perlu menyukarkan keadaan apabila ia sudah berada dalam ketegangan berhubung Resolusi 1559 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata bekas timbalan menteri luar Mesir, Rauf Ghoneim.

Menurut pandangan beberapa penganalisis politik lain, pembunuhan Hariri bertujuan membawa Lubnan ke kancah satu satu perang saudara.

Penganalisis Arab, Selasa lalu mendesak Lubnan bersatu menentang ancaman seumpama itu dengan sebahagiannya menegaskan Israel ialah satu-satunya pihak yang paling beruntung dengan kematian Hariri. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com