Friday, February 18, 2005

Iran beri amaran serang balas

TEHRAN 17 Feb. - Iran yang menerima tekanan kuasa besar ekoran pembangunan nuklearnya memberi amaran keras akan melancarkan serangan balas segera terhadap mana-mana tentera asing yang menyerangnya, demikian menurut laporan agensi berita Iran, IRNA.

Amaran itu diberikan selepas satu letupan bom berlaku berhampiran sebuah tapak nuklear di pelabuhan Daylam kelmarin, 150 kilometer dari bandar Bushehr di mana sebuah pusat tenaga nuklear sedang dalam pembinaan menggunakan bantuan Rusia.

Letupan itu sekali gus mengundang kebimbangan bahawa Amerika Syarikat akan melancarkan serangan ke atas Tehran.

Menteri Pertahanan Iran, Ali Shamkhani ketika memberikan reaksi mengenai insiden itu menegaskan, sebarang serangan akan disusuli oleh reaksi balas kuat Tehran.

``Tidak kira sama ada serangan tersebut adalah nuklear ataupun sebaliknya, yang pasti kami tidak akan gentar dan bersedia untuk melancarkan serangan balas.

Reaksi

``Sebarang serangan ke atas Iran harus mengambil kira terlebih dahulu reaksi yang akan kami berikan,'' katanya.

Menteri Perisikan Iran, Ali Younessi dalam pada itu mengesahkan terdapatnya kehadiran elemen perisikan AS di ruang udara Iran dan memberi amaran musuh terbabit akan ditembak jatuh.

Dalam pada itu, seorang saksi memberitahu, dia ternampak sebutir peluru dilancarkan dari sebuah pesawat yang tidak dikenali.

Walau bagaimanapun, seorang pegawai kanan keselamatan Iran menafikan terdapatnya serangan agresif sebaliknya letupan tersebut adalah disebabkan oleh kerja-kerja membersihkan tanah di sebuah kawasan penempatan yang tidak berpenduduk di utara negaranya.

Beberapa pegawai kerajaan negara itu mendakwa sesetengah laporan yang disiarkan oleh media asing merupakan sebahagian propaganda AS ke atas Iran.

Pentadbiran Presiden AS, George W. Bush sebelum ini memberikan amaran akan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Tehran kerana negara itu didapati membangunkan program senjata nuklear. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com