Tuesday, February 15, 2005

Menjawab Islam Hadhari

Oleh YAB Dato' Seri Tn. Guru Hj.Nik Abdul Aziz Nik Mat

DALAM suasana rehat dan banyak masa lapang di Hospital USM, untuk ‘memujuk’ tekanan darah saya supaya kembali normal, saya tergerak untuk menyambut sikap keterbukaan YAB Perdana Menteri mengenai Islam Hadhari.

Ia berbunyi: “Jika pendekatan ini tidak betul, sila bagi tahu saya untuk diperbetulkan dan jika pendekatan ini lemah, kita boleh bersama-sama memperkuatkannya”. (Berita Harian- 4 Februari 2005).

Tentulah sikap ini baik. Malah pendirian yang sama pernah dibuat oleh Presiden-Presiden Umno yang lalu. Ia bukan perkara baru.

Sebagaimana Perdana Menteri mengharapkan pihak pembangkang menghalusi dan mendengar habis apa yang beliau katakan mengenai Islam Hadhari, maka sedemikian jugalah harapan saya.

Bacalah buku baru karangan Dato’ Presiden PAS, yang baru kami lancarkan di Kedah pada 29 Januari 2005. bertajuk “Hadharah Islamiyyah” Baca sampai sudah. Perhatikan asas tegurannya satu persatu.

Setelah selesai mentelaah, maka jika benar-benar jujur untuk mendengar penjelasan dan justifikasi lanjut, panggillah Majlis Muzakarah. Kita perbincangkan. Kita boleh berbahas dan saling mengemukakan cadangan. Tiada siapapun yang berminat untuk bergaduh, lebih-lebih lagilah merusuh seperti yang cuba diacah oleh Datuk Seri Abdullah.

Kalau Perdana Menteri yang lalu pun bersedia memanggil bekas Presiden PAS ke DBP untuk berbicara mengenai nasib rakyat dan perjuangan umat Islam di Palestin dan kami tiada masalah, begitulah juga dengan Islam Hadhari. Panggillah, InsyaAllah, kami tidak menolak. Akan tetapi, biar Presiden sama Presidenlah. Tetapkan di mana dan bila!

Apa yang saya khuatirkan ialah diskusi Islam Hadhari yang kononnya dihadiri oleh 300 ulama di Langkawi itu bukan untuk menilai maksud hadhari dalam semangat terbuka termasuk meraikan perbezaan pendapat tetapi lebih kepada medan sehala untuk menyogok dan menerima apa yang telah diputuskan. Jika begitu, apalah erti sebuah diskusi.

Sebenarnya sikap terbuka Umno cuma pada cakap sahaja. Apa yang sudah sudahnya, begitulah. Lihat sahaja pada pilihan raya ke 11 pada 21 Mac 2004. Pada masa itu, Islam Hadhari telah dilancarkan.

Jika hadhari itu bermakna tamadun, maka bertamadunkah bila Umno mengamalkan politik wang. Bertamadunkah apabila Umno menyalahgunakan jentera kerajaan? Bertamadunkah bila penjawat awam digertak. Bertamadunkah apabila SPR diperalatkan?

Bercakap mengenai Islam, kita tidak boleh lari dari bercakap mengenai perkara pahala dan dosa. Semua orang tahu bagaimana Umno mengharamkan pejuang Islam dari bercakap mengenai dosa dan pahala dalam kempen pilihan raya yang lalu.

Ini Islam hadhari jenis apa? Kita nak membangunkan apa? Bagaimana boleh kita berdakwah apabila kita tidak boleh kempen manusia untuk mendapatkan pahala atau menjauhkan manusia dari perbuatan dosa.

Ini yang menjadikan orang ramai melihat Islam Hadhari tajaan Umno ini seakan-akan satu “Islam jenis baru, yang sudah lupa Al-Quran dan Hadith dan hanya kempen politik pilihan raya”. (Berita Harian 4 Februari 2005).

Kata-kata yang menunjukkan keraguan rakyat ini sebenarnya diambil dari ucapan Datuk Seri Abdullah sendiri yang dipetik dari akhbar berkenaan.

Begitu juga dengan keikhlasan. Bercakap mengenai Islam, kita memerlukan keikhlasan. Saya mahu bertanya, mana lebih ikhlas sebuah parti menggunakan dasar Islam secara bertulis sejak ditubuhkan ditahun 1951 dan sedang berjuang di atas landasan Al-Quran dan Hadith dengan penuh istiqamah berbanding dengan sebuah lagi parti yang menamakan dirinya kebangsaan sejak 50 tahun dahulu, kemudian cuba-cuba bertutur mengenai Islam secara pilih-pilih dalam setahun dua ini sahaja.

Itu pun ambil aspek Islam yang berkaitan dengan sekolah, masjid, klinik, jalan, elektrik, air dan longkang. Jika dalam konteks pejabat pula, maka lebih-lebihkan senyum, kerja rajin-rajin, utamakan disiplin dan elakkan pembaziran. Memang ini pun Islam tetapi ini sahajakah Islam?

Bercakap mengenai tamadun, tidak akan lengkap hanya dengan memfokuskan rakyat untuk berjaya di dunia sahaja. Pembangunan di dunia wajib dihubung dengan akhirat. Ini baru dipanggil abadi yang sering disebut oleh Dato’ Seri Abdullah.

Keabadian itu adalah sesuatu yang berterusan dari dunia hingga sampai hari kebangkitan dan berterusan di dalam kehidupan akhirat kelak. Kita kena didik rakyat sembahyang kerana Allah S.W.T. dan elakkan rasuah kerana Allah S.W.T.

Tutup lesen ‘nite club’ kerana Allah S.W.T. dan didik remaja untuk tidak mendedahkan aurat dan elakkan pergaulan bebas kerana Allah S.W.T. Menguasai ilmu dan menjadi profesional kerana Allah S.W.T. dan jadilah pemimpin yang adil dan tidak membazir kerana Allah S.W.T. Laksana segala hukum dan peraturan dari Allah S.W.T, untuk Allah S.W.T. dan demi Allah S.W.T.

Semua ini di selaraskan dengan doa iftitah kita yang membawa maksud, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, kerana Allah S.W.T”. Inilah bentuk tamadun yang perlu dibangunkan. Inilah yang selalu kita sebut sebagai paksi.

Mencantikkan bandar, memperbanyakkan jalan, mengindahkan landskap taman, memanjangkan landasan terbang, mengukuhkan institusi pendidikan dengan infrastruktur terbaik dan melengkapkan fakulti perubatan dan hospital dengan kemudahan tercanggih - ini tiada khilaf.

Kita tiada perbezaan. Bagaimanapun, kita wajib kenal paksi terlebih dahulu sebelum mengajak rakyat kepada perubahan.

Jika Dato’ Seri Abdullah benar-benar jujur untuk mendengar teguran, maka inilah teguran. Mari kita sama-sama pegang kata-kata beliau yang berbunyi “jika pendapat ini (beliau) tidak betul, sila beritahu saya untuk dapat diperbetulkan”. (Berita Harian 4 Februari 2005).

Sebenarnya, kita perlu cermat didalam meletakkan landasan dan paksi bagi menentukan haluan pembangunan negara. Pertama-tamanya, Al-Quran itu sendiri mesti dijadikan dasar. Dosa dan pahala mesti di jadikan dasar. Syurga dan neraka mesti dijadikan dasar. Landasan kita perlu tepat dan tetap.

Bagaikan seorang pemburu, letak senapang di pangkal bahu mesti bersekali dengan letaknya kedudukan dua tapak kaki kita yang kejap di tanah. Jari tidak boleh berganjak sementara muncung senapang sentiasa focus dan terarah. Sasaran ke hadapan mesti jelas.

Saya sering mendengar pemimpin Umno menjadikan masyarakat majmuk sebagai alasan. Dalam hal ini, mustahil Allah S.W.T. yang bersifat Maha Mengetahui tidak sedar yang masyarakat yang DIA ciptakan di muka bumi bersifat majmuk sehingga menurunkan Islam yang tidak sesuai untuk dilaksanakan dalam persekitaran yang ‘plural’.

Sesungguhnya kerana fahamlah, Allah S.W.T. telah memakmurkan kita dengan sebuah manual berbentuk antarabangsa bernama Al-Quran. Ia panduan dunia sejagat. Ketidak fahaman kita atau lebih tepat, kejahilan kitalah yang menjadikan kebanyakan pemimpin negara umat Islam sukar menyakini kemampuannya.

Sikap Umno yang menolak sebahagian besar dan cuba-cuba menerima sebahagian kecil dari Islam ini juga adalah salah satu dari pecahan sikap-sikap penyelewengan dan kejahilan yang kita maksudkan.

Paling boleh, saya berbaik sangka terhadap Umno dalam konteks pelaksanaan Islam Hadhari ialah Umno sudah tidak mampu melawan PAS. Dia terpaksa menyarung jersi Islam juga akhirnya untuk memukau penonton. Mereka sedar yang mereka boleh ketinggalan jika sering di lihat memperlekehkan Islam.

Dia mahu mula menjadi imam sembahyanglah, mahu mencari Al-Ghazalilah, Al-Shafielah dan mahu menjadi ejen perubahanlah. Inilah bukti-bukti yang saya maksudkan. Dalam hal menyaman Hukum Hudud dari dilaksanakan, Umno sampai ke hari ini masih tidak menarik balik samannya di mahkamah.

Gedung judi bertaraf dunia di Genting Highlands masih tegak megah di situ dan tidak sepatah pun pendirian yang dibuat oleh pemimpin mereka.

Hari ini pula, Dato’ Seri Abdullah mahu orang Umno menjadi “ejen perubahan”. Harapan ini memang bagus tetapi untuk mengubah orang Melayu, kita perlu faham aspek perubahan yang diperlukan. Jika sekadar untuk cemerlang di bidang akademik, maka gesaan seperti itu telah lama dikumandangkan oleh bekas-bekas Presiden Umno.

Hasilnya, setelah 47 tahun merdeka, orang Melayu masih ditakuk lama. Mereka masih miskin. Mereka tidak berjaya di bilik darjah. Mereka banyak gagal dalam peperiksaan. Mereka terkebelakang di universiti.

Ramai yang menagih dadah, menghidu gam, meragut beg dan menjadi juara dalam kerja-kerja GRO. Saya bimbang, Umno cuma mementingkan kelahiran anak Melayu yang boleh menyokong Umno. Itu sahaja yang difokuskan! Asalkan menyokong Umno, cakaplah, tulislah, makanlah, minumlah, ambillah dan pakailah apa sahaja mengikut hajat.

Mereka diberi Akademi Fantasia, Sure Hehoh, Malaysian Idol, konsert rock, Majalah Hai, URTV dan Mangga. Mereka disogok dengan taat setia dan ikrar yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin Umno di setiap kursus, bengkel dan latihan motivasi.

Di atas nama jati diri, mereka lebih banyak dimelayukan dan dikelirukan dari diberikan santapan roh yang membentuk keinsanan makhluk yang sebenar.

Apabila melihat segala cara hidup yang anti akhlak dan anti budi pekerti terbentuk dalam cara hidup remaja yang membesar menjadi warga negara, kerajaan mulalah buat-buat mengeluh kerana tidak dapat menangani pelbagai penyakit gejala sosial, pecah amanah pegawai, skandal rasuah eksekutif dan ribuan kejadian jenayah berat dan ringan.

Rungutan Perdana Menteri yang berbunyi “apa nak jadi pada negara kita” (Berita Minggu 30 Januari 2005) amat menjelaskan status kegawatan pembangunan kita.

Sikap mengherdik pegawai JAWI yang menangkap 100 remaja Islam di ‘nite club’ minggu lepas amat jelas menggambarkan sikap penaja Islam Hadhari yang sebenar. Kecenderungan pembelaan nampaknya setakat ini banyak diberikan kepada mereka yang ‘ditangkap’ dan bukan kepada penguatkuasa yang ‘menangkap’.

Dari contoh-contoh tersebut pun, saya kira Dato’ Seri Abdullah akan menghadapi kesukaran yang besar untuk menjawabnya.

Bukti seterusnya ialah gesaan PM supaya umat memperdalamkan ilmu agama agar memahami ajaran Islam yang sebenar yang dituntut oleh Islam. Saya percaya, sekali lagi seruan ini adalah seruan yang cuba meniru PAS. Kita telah lama mengasaskan perjuangan ummah diatas orientasi ilmu. Kita tekankan tazkirah, usrah, seminar, kolokium, tamrin dan muzakarah di sepanjang kewujudan kita.

Tidakkah program-program sebegini akan melatih rakyat menjadi lebih celik dan alim? Jika Presiden Umno baru menekankan keperluan remaja yang alim untuk menjadi jurutera, saintis dan profesional kemudiannya, Kelantan sudah 15 tahun telah dan sedang mengusahakannya.

Jika nak diharapkan Umno, mereka lebih berminat menyekat bantuan kepada SAR, menghadkan program tazkirah dan menyemburkan air di tempat ceramah.

Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan wang bantuan dalam purata RM40 juta setahun dalam setiap Belanjawan Negeri demi melahirkan generasi yang alim dan sekaligus profesional untuk memasuki pasaran buruh di serata negara.

Kita ada Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang mencampurkan ketiga-tiga unsur mata pelajaran agama, sains dan akademik. Kita juga sedang memulakan Sekolah Tahfiz Sains di Kok Lanas. Pendek kata, kami telah berada di hadapan dalam banyak perkara kerana memilih untuk “Membangun Bersama Islam”.

Jika tidak kerana gangguan, banyak lagi usaha kami yang boleh memulihkan akhlak dan membina generasi yang alim serta profesional. Kami tidak mahu hipokrit dengan cuma bercakap mengenai Islam tetapi meninggalkan Islam setibanya pelaksanaan. Bagi kami, Melayu hanyalah pengenalan bangsa dan bukannya satu cara hidup atau sistem hidup yang boleh di jadikan dasar perjuangan.

Jika Dato’ Seri Abdullah mahu mendengar teguran untuk melakukan pembetulan, maka ini adalah sebahagian daripada muqaddimahnya. Jika pemimpin Umno masih memerlukan penjelasan lanjut dengan teguran ini, sukacita saya menasihatkan mereka membaca buku yang berjodol “Hadharah Islamiyyah” yang dihasilkan oleh Presiden PAS.

Buku 12 Bab setebal 206 muka surat dan telah di lancarkan minggu lepas itu perlu dibaca sepenuhnya tanpa prejudis. Sebagaimana Dato’ Seri Abdullah menggesa Islam Hadhari beliau dihalusi, maka saya juga turut meminta layanan yang sama diberikan kepada teguran kita melalui buku terbaru Presiden PAS.

Saya sesungguhnya sangat takut dengan peringatan Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami (Allah) mengutuskan para Rasul kecuali untuk membawa berita gembira dan memberi peringatan, tetapi orang-orang yang kufur (ingkar) sentiasa membantah dengan kebatilan agar dengan demikian mereka akan dapat melenyapkan kebenaran dan mereka menganggap segala peringatan itu sebagai olok-olok dan permainan sahaja.” (Surah Al-Kahfi: Ayat 56)

Saya pasti Dato’ Seri Abdullah memahami lagi mengerti akan maksud dari peringatan Allah S.WT. ini. Wallahu a’lam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com