Friday, February 18, 2005

Penapisan filem, lagu di Malaysia masih longgar

Saudara Pengarang,

SYABAS Kerajaan Brunei yang tidak ragu-ragu mengharamkan filem Hollywood, Constantine yang bertemakan rasukan syaitan, gambaran neraka dan malaikat jahat. Lembaga Penapisan Brunei adalah yang paling ketat di Asia Tenggara. Mana-mana filem dan lagu terutamanya yang dianggap menghina Islam, akan ditolak.

Di segi penapisan filem dan lagu, Malaysia sebagai sebuah negara Islam nampaknya amat longgar, malah akan menjadi longgar lagi apabila keputusan dibuat bahawa tema tahyul seperti pontianak dibenarkan. Berikutan dengan itu pengarah Shuhaimi Baba berkata, adegan-adegan seram dalam Pontianak kedua tidak perlu lagi digambarkan secara khayalan seperti filem pertama dahulu.

Pengarah-pengarah filem Melayu sekarang sudah punya lesen membuat filem cerita-cerita tahyul dan karut-marut pasti akan mendesak agar penapisan filem dilonggarkan kononnya untuk mendaulatkan daya kreatif mereka. Adakah ini bermakna Lembaga Penapisan Malaysia akan membenarkan adegan-adegan seks yang lebih realistik?

Walhal saya yakin apa yang dikatakan Islam Hadhari berazam hendak menghasilkan umat Islam yang maju dan saintifik serta memartabatkan kaum wanita lebih-lebih lagi wanita Islam. Sebaliknya apa yang kita lihat di kaca TV ialah drama-drama yang penuh dengan pukul wanita, rogol serta penganiayaan terhadap wanita.

Seks memanglah menjadi tema utama penulis-penulis skrip drama Melayu. Baru malam tadi siri jenaka muda-mudi Puteri menyajikan tema seks secara jenaka. Walaupun ia bukan seks sebenar, tetapi penyampaiannya tetap seks menerusi dialognya.

Apa yang kita lihat di kaca TV dan pawagam sekarang, filem-filem Hollywood, Bollywood, Hongkong, Korea, Thailand dan lain-lain juga penuh dengan tema-tema tahyul, seram dan tidak ketinggalan seks.
Filem dan lagu-lagu yang mengagung-agungkan orang Yahudi (Meet the Fockers, Exodus dan lain-lain).

Akhbar Malaysia juga baru-baru ini membesar-besarkan kisah apa yang dikatakan ulang tahun Holocaust 60 tahun lalu, ketika mana enam juta orang Yahudi dibunuh oleh Hitler. Siri Friends dan Charmed dari Hollywood itu bukan sahaja bertemakan seks tetapi juga melibatkan syaitan, ilmu sihir dan lain-lain. Filem-filem Bollywood pula sentiasa menunjukkan pusat dan perut sebanyak-banyak nya.

Filem-filem Hollywood sekarang semata-mata bertemakan kecantikan dan perut Aishwar Rai, Kareena Kapoor, Bipashu Batt, Preity Zinta, jauh berbedza dari filem-filem berkualiti di zaman Dev Anand, Sunil Dutt, Shammi Kapoor, Madhubala, Geeta Bali, Hema Malini, Waheeda Rehman dan lain.

Di bidang seni lagu pula, saya pasti banyak lagu-lagu rap Amerika yang tidak ditapis. Kalau ditapis, bagaimana pula denganlagu yang berlirik mother f*** yang saya dengar di sebuah kafe siber di Alor Star baru-baru ini? Sudah kebiasaan sekarang lagu kurang ajar berlirik seperti lagu rap itu lagi diminati. Kumpulan rap Malaysia pun akan mencuba meniru seboleh-bolehnya.

Islam Hadhari perlu menangani soal ini. Kita tidak mahu Islam Hadhari ditakrifkan sebagai Islam yang amat liberal, buatlah apa yang awak suka asalkan tidak melanggar undang-undang. Soalnya Islam punya undang-undang dan peradaban yang sentiasa diancam oleh anasir-anasir musuh Islam.
- BAKI MINUDDIN, Ampang, Selangor.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com