Friday, February 18, 2005

Abu Bakar tuduh Bush perangkapnya

JAKARTA 17 Feb. - Abu Bakar Bashir hari ini memberitahu mahkamah bahawa dia telah diperangkap oleh Presiden George W. Bush kerana perjuangannya untuk menegakkan syiar Islam di Indonesia.

``Penangkapan, penahanan serta perbicaraan ke atas saya telah dibuat atas arahan George Bush kerana perjuangan saya untuk menegakkan undang-undang Islam di Indonesia.

``Tuduhan ke atas saya adalah tidak benar kerana saya tidak pernah mengarahkan sesiapapun untuk melakukan serangan bom sama ada di Bali, Jakarta atau di mana-mana sahaja,'' katanya.

Abu Bakar yang didakwa sebagai ketua pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut para pengikutnya melakukan serangan bom ke atas dua buah kelab malam di Kuta, Bali pada 12 Oktober 2002 selain mengebom hotel mewah, J.W. Marriott di Jakarta pada 5 Ogos 2003.

Para pendakwa raya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum lapan tahun penjara terhadap kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati mengikut undang-undang antikeganasan di negara itu.

Sejak dihadapkan ke mahkamah pada November lalu, Abu Bakar berulang kali menegaskan bahawa dia tidak bersalah dan telah diperangkap oleh musuh-musuh Islam.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat dan Australia secara terbuka menuduh Abu Bakar sebagai dalang utama di sebalik serangan ganas berkenaan. Australia `mendendami' Abu Bakar yang didakwanya sebagai dalang serangan di Bali iaitu insiden yang menyaksikan 202 mangsa terbunuh termasuk 88 orang rakyat Australia. - AP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com