Friday, February 18, 2005

Buget 28 Bilion untuk rakyat : Kenapa pula konsesi tol dilanjutkan

Beberapa media utama semalam mengambil berita mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya S.Sammy Vellu mengenai kerajaan akan menaik taraf lebuh raya negara ini termasuk memindahkan tol Jelapang yang dianggap tol maut.(utusan 14 feb 05, muka depan)

Akhbar semalam juga melaporkan Menteri Kerja Raya, S. Samy Vellu berkata, lebuh raya itu akan dilebarkan daripada empat lorong kepada enam lorong bagi laluan Rawang-Tanjung Malim dan Seremban-Ayer Keroh.

"Itu adalah antara kerja-kerja segera yang akan dilakukan menggunakan peruntukan daripada RM28 bilion yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam,'' katanya.

Kementerian Kerjaraya akan melaksanakan beberapa fasa projek pembinaan Lebuh Raya Simpang Pulai, Perak ke Kuala Berang, Terengganu menerusi peruntukan RM28 bilion untuk projek infrastruktur seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata ia termasuk dalam senarai beberapa projek tertangguh yang akan diberi keutamaan dalam tempoh terdekat.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri dan segala projek untuk rakyat dapat dilaksanakan segera menerusi peruntukan ini,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, sama ada perjanjian baru itu akan memanjangkan tempoh konsesi yang sepatutnya tamat pada tahun 2030 dan membabitkan kadar baru tol belum dipastikan lagi.

"Kerajaan akan memeterai perjanjian baru dengan PLUS, tetapi mengenai tempoh konsesi (yang sepatutnya tamat pada 2030), kita kena tunggu perbincangan selanjutnya,'' katanya

Kenyataan menteri tersebut yang jelas mengelirukan dan memperbodohkan rakyat.

Jelas Menteri tersebut cuba mengelirukan rakyat atau dia sendiri tidak memahami apa yang dicakapkannya sendiri.

Mengapa pula projek menaik taraf lebuhraya yang melibatkan peruntukan 28 bilion yang kononnya disalurkan oleh kerajaan tetapi kemungkinan konsesi ataupun kebenaran untuk plus mengutip tol yang sepatutnya tamat 2030 terpaksa dilanjutkan atau lebih tepat lagi mengapa projek yang peruntukan diluluskan oleh perdana menteri yang digambarkan kononnya menggunakan wang negara (*baca wang rakyat) tetapi sebuah syarikat swasta diberikan hak untuk terus merokpak wang rakyat ?

Ini membuktikan kenyataan yang saya telah keluarkan sebelum ini selaku setiausaha Jawatankuasa Bertindak Menentang Kenaikan TOL (CAUTI) di mana selepas kita bertemu dengan PLUS untuk mendengar taklimat mereka mengenai mengapa mereka perlu menaikan harga tol. (rujuk kenyataan media CAUTI, 2 Disember)

Di mana dari pertemuan tersebut telah dikenal pasti bahawa PLUS merupakan sebuah syarikat yang sedang menanggung hutang korporat (dari penstrukturan semula syarikat), maka pengguna lebuhraya bukan setakat membayar perkhidmatan mereka tetapi mereka membayar hutang yang dibuat oleh kroni pemimpin tertentu.

PLUS juga sendiri menyatakan melalui pertemuan tersebut sesiapa pun tidak dapat menghalang kenaikan tersebut kerana mereka telah diberikan kuasa melalui perjanjian “sulit” dengan kerajaan yang membenarkan mereka mengutip tol dan menaikkan setiap 3 tahun sehingga 2030.

Kerajaan diharapkan tidak mengulang kesilapan menggadaikan kepentingan rakyat dengan menandatangai sekali lagi perjanjian atau lebih tepat lagi memberikan lesen khas kepada sebuah syarikat swasta untuk terus merompak wang rakyat.

Kerajaan bukan sahaja tidak mengendahkan suara rakyat yang mahukan kenaikan tol dikaji semula malah rakyat bakal di peras dengan bebebarapa perjanjian yang membenarkan syarikat swasta menghisap darah rakyat.

Kami dengan tegas menyatakan sekali lagi tuntutan untuk mendedahkan perjanjian bersama PLUS atau siapa yang bertanggungjawab menandatangai perjanjian asal dan menandatangani pindaan perjanjian yang membenar PLUS begitu berkuasa merompak wang rakyat.

Setiap kali musim perayaan sudah pasti PLUS akan terus mengutip wang rakyat ? Berapa ribu juta wang rakyat telah dirompak ? Ke mana keuntungan tersebut disalurkan ?

Sekian, salam reformasi .
Keadilan untuk semua.

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Pengarah
Pusat Aktivis Gerakan Reformasi (PAGER) Malaysia
Juga selaku Setiausaha Jawatankuasa Menentang TOL (CAUTI)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com