Friday, February 18, 2005

Buruh Asing: 1.5 juta dijangka masuk cara sah

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menerima peningkatan kemasukan pekerja Indonesia secara sah kepada 1.5 juta orang hasil persetujuan kedua-dua negara menangani isu pendatang tanpa izin Isnin lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peningkatan daripada satu juta kepada 1.5 juta orang pekerja itu disebabkan langkah kerajaan kedua-dua negara menjaga kepentingan bersama.

Beliau berkata persetujuan itu yang dicapai antara Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah satu langkah untuk menjaga kepentingan kedua-dua negara.

“Presiden Indonesia faham kenapa kita perlu mengambil tindakan (operasi besar-besaran menangkap pendatang tanpa izin pada 1 Mac ini). Tindakan kita bukan tidak berperikemanusiaan sebaliknya untuk melindungi kepentingan bersama.

“Malaysia dapat merekodkan kemasukan pekerja asing Indonesia manakala bagi Indonesia kebajikan pekerjanya dapat dijaga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Ekuestarian Angkatan Tentera Malaysia (MAFEC) di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini, semalam.

Najib berkata kerajaan juga mengambil langkah untuk memudahkan kemasukan pekerja dari Indonesia dengan menubuhkan 11 pusat pendaftaran di negara itu.

Beliau berkata faktor peningkatan kemasukan itu juga berpunca daripada keperluan pasaran tenaga kerja di negara ini yang semakin luas hasil perkembangan ekonomi negara yang positif.

Najib turut menggesa pendatang tanpa izin dari pelbagai negara yang masih berada di Malaysia supaya mengambil peluang untuk pulang ke negara asal sempena tempoh pengampunan yang akan berakhir 28 Februari ini.

“Selepas tempoh pengampunan tamat, pendatang tanpa izin tidak lagi boleh menyalahkan kerajaan Malaysia terhadap sebarang tindakan pihak berkuasa,” katanya.

Mengenai dakwaan ada majikan tidak membayar gaji pendatang asing, Najib berkata kerajaan akan menggesa majikan terbabit supaya membayar gaji mereka.

Namun, siasatan mendapati bukan majikan tidak membayar gaji pekerja tetapi ia dilakukan subkontraktor yang merupakan rakyat Indonesia sendiri. — Bernama

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com