Tuesday, February 22, 2005

Perempuan gatal - Watak idaman Fasha Sandha

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SALAH seorang pelakon pelapis yang sering mendapat perhatian ramai ialah Nur Fasha Sandha Hassan. Sejak membabitkan diri dalam bidang seni lakon tiga tahun lalu, Fasha jarang dikaitkan dengan cerita-cerita sensasi.

Kekadang peminat ingin juga mengetahui kisah cinta Fasha. Mana mungkin gadis jelita sepertinya tidak ada teman lelaki.

Namun setiap kali soalan tentang teman lelaki dibangkitkan, pelakon yang bakal menyambut hari lahir ke-21 pada 28 Mac ini, bijak mengelak. Dengan lemah lembut dia akan berkata, boleh tak kita bercakap pasal karier sahaja. Mati kutu dibuatnya bila berbicara soal cinta dengan Fasha.

Tapi bagaikan kata pepatah, ada masanya pelanduk juga kekadang terlupakan jerat namun jerat tidak mungkin melupakan pelanduk. Justeru pada satu pertemuan baru-baru ini, pelakon cantik ini secara tidak langsung mengakui dia sudah pun ada teman lelaki.

Heboh cerita, sudah ada seseorang di hati Fasha.

Fasha: (Tersenyum) Iyake? Bukan artis. Memang dia dalam bidang ini juga tapi di belakang tabir.

Pandai simpan rahsia.

Fasha: Baru tiga tahun. Saya anggap hubungan kami masih di peringkat mengenali hati budi walau sudah diketahui keluarga.

Tiga tahun mengenali, masih belum tahu hati budi?

Fasha: Masih terlalu awal untuk saya menjadi seorang isteri dan ibu. Saya baru nak masuk 21 tahun bulan depan. Banyak perkara yang perlu saya lakukan untuk masa depan. Entahlah mungkin saya akan kahwin sebelum usia 38 tahun. Apa pun sekarang ini saya belum terfikir soal kahwin.

Jadi apa perancangan Fasha?

Fasha: Kalau ada peluang saya nak sambung belajar dalam bidang penyiaran. Sudah lama saya idam untuk buat kursus ini. Tapi bila tiba waktu untuk mendaftar saya dapat projek berlakon yang bagus. Apa pun saya tetap berazam akan sambung belajar satu hari nanti sebab saya nak jadi seorang artis yang berilmu.

Bagaimana kehidupan seorang gadis seperti Fasha yang berjauhan dengan keluarga?

Fasha: Saya tidak pernah mengambil kesempatan di atas jarak kami yang jauh itu. Setiap pagi saya mesti telefon atau hantar SMS, memberitahu ibu aktiviti saya hari itu. Tidak lama lagi usia saya akan meningkat. Menjadi 21 tahun dan saya harap saya akan menjadi wanita yang lebih matang. Saya ingin perbaiki kelemahan diri dan selagi saya masih belum bersuami, keluarga adalah tempat saya mengadu.

Apa azam Fasha sebagai pelakon?

Fasha: Saya mempunyai sasaran sendiri bila menceburi bidang lakonan ini. Sekarang ini saya perlu bekerja keras untuk mengumpul wang bagi membeli rumah untuk keluarga sama ada di kawasan Ampang atau Damansara. Insya-Allah kalau ada rezeki mungkin pertengahan tahun ini dapatlah saya miliki rumah sendiri hasil kerja berlakon selama ini.

Aktiviti terbaru?

Fasha: Saya akan menjalani penggambaran filem Gong terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd., selama sebulan di Jogjakarta, Indonesia. Saya akan berada di sana bersama Jehan, Faizal, Sharifah Sofia dan Elyana. Gong adalah filem seram arahan Sandosh Kesavan.

Fasha sering diberi watak utama dalam filem, tidakkah ia memberi tekanan pada Fasha yang masih baru dalam bidang lakonan?

Fasha: Nak kata tekanan, semua kerja ada tekanan. Tapi kalau tidak cuba, macam mana saya tahu bakat sendiri. Setakat ini saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan pengarah untuk membawa watak utama. Tapi saya perlu bekerja keras membuktikan bahawa saya mampu memikul tanggungjawab yang diberi.

Watak yang ingin Fasha lakonkan?

Fasha: Watak perempuan gatal. Bagi saya kalau dapat bawa watak yang bertentangan dengan peribadi, itu adalah cabaran. Sehingga kini saya masih lagi menanti watak sebegitu. Namun saya gembira kerana kebanyakan filem atau drama memberi peluang untuk saya mencuba pelbagai watak.

______________Komen pemudaWILAYAH

Artikel ini disiarkan oleh Utusan Malaysia 21/2/2005. pemudaWILAYAH membawa artikel diatas ke laman ini khusus untuk dijadikan bacaan dan dinilai oleh pembaca.

Bagi pemudaWILAYAH inilah bukti sebenar sifat dan sikap artis Malaysia yang sentiasa 'gatal' untuk melakukan aksi dan lakonan yang tidak mempunyai kebaikkan dan hala tuju. Kerosakan akhlak artis ini jelas terpampang didada akhbar pada hari ini dan ini hanyalah sebahagian dari ratusan lagi artis Malaysia yang turut hanyut dengan dunia khayalan glamour mereka. Semoga Allah melontarkan hidayahnya pada insan malang seperti mereka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com