Tuesday, February 22, 2005

Suruh Khir Toyo ambil tindakan - PM

SUBANG 21 Feb. - ``Suruh Khir Toyo ambil tindakan,'' arah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila ditanya wartawan mengenai kemusnahan ekologi di Bukit Cahaya Seri Alam akibat pembahagian tanah besar-besaran oleh kerajaan negeri itu di sekeliling taman tersebut.

``Kalau saya cakap nanti campur tangan pula, ia adalah kerja Menteri Besar,'' kata Perdana Menteri yang kelihatan `tidak selesa' dengan perkembangan itu.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat tidak akan campur tangan dalam perkara itu kerana ia di bawah bidang kuasa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Utusan Malaysia pada 18 Februari mendedahkan keadaan taman itu antara hutan dara dan `tangki oksigen' Lembah Klang menghadapi kemusnahan ekologi setelah dihimpit pembangunan di sekelilingnya.

Taman seluas 800 hektar kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, hampir menjadi pulau kerana rata-rata garis sempadannya sedang dibangunkan sebagai kawasan penempatan manusia.

Apa yang menyedihkan, taman itu yang telah diluluskan oleh Kabinet untuk dijadikan Taman Botani Negara, taman agro-perhutanan terbesar di dunia menjelang tahun 2007, kini menghadapi kesan alam sekitar yang dahsyat.

Mohamad Khir yang ditanya wartawan kelmarin kesal dengan apa yang berlaku itu dan serentak dengan itu mengarahkan semua kerja-kerja tanah dan penebangan pokok dihentikan sama sekali.

Bagaimanapun, menurut Utusan Malaysia hari ini arahan Menteri Besar itu seolah-olah diperlekehkan kerana kerja-kerja itu didapati masih diteruskan.

Tinjauan terbaru Utusan Malaysia itu amat memeranjatkan kerana kerajaan Selangor sudah mengambil langkah drastik menubuhkan pasukan khas pemantau dan tinjauan beroperasi 24 jam bagi memastikan aktiviti pembangunan berhampiran taman dihentikan serta-merta.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini setibanya daripada lawatan kerja ke Pakistan dan Arab Saudi.

Siasatan Utusan Malaysia mendapati di bahagian utara sempadan taman itu, yang kini dikenali dalam peta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai kawasan baru Seksyen U10, kawasan hutan seluas 1,200 hektar sudah mula ditebang.

Didapati, tanah-tanah, bukit-bukit milik kerajaan Selangor di U10 itu mulai diratakan setelah dibahagi-bahagikan kepada sebanyak 35 pemaju perumahan.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulas perkara yang sama meminta kerajaan negeri itu membuat laporan terperinci mengenai kejadian itu.

Serentak itu beliau mengarahkan semua kerajaan negeri memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan mengikut peraturan bagi mengelakkan ia memusnah serta merosakkan alam sekitar.

Beliau menegaskan, Kerajaan Pusat memberi perhatian serius kepada pembangunan mesra alam dan mahu sebarang pembangunan hendaklah dibuat mengikut peraturan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com