Tuesday, February 22, 2005

Islam Hadhari: PAS sedia bermuzakarah dengan bekas pemimpin Al-Arqam

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - PAS tidak keberatan untuk mengetahui pandangan daripada sesiapa pun termasuk bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad bagi mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai Islam Hadhari.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Ashaari untuk menghasilkan sebuah buku bertajuk 'Surat Terbuka Rufaqa kepada PAS'
"Itu hak dia (Ashaari) untuk menulis buku tersebut," katanya yang dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini Umno sendiri yang sepatutnya memulakan perbincangan tersebut enggan bermuzakarah dengan PAS tentang Islam Hadhari yang ditaja mereka.

Sebuah akhbar harian semalam dipetik sebagai berkata, Ashaari akan menghasil buku tersebut bagi mengajak ahli PAS menerima pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan Umno.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, berkata, gambaran yang diberi oleh media beberapa hari lepas mengenai 'jambatan maut' di Kelantan adalah tidak tepat.

Tegasnya, tidak sepatutnya media meletakkan dan menggambarkan seolah-olah di Kelantan saja yang buruk sedang negeri lain tidak.

Sedangkan katanya, di negeri yang dikuasai BN, contohnya apabila seorang kanak-kanak meninggal dunia di Kedah kerana minum air perigi.

"Kenapa tidak disebut 'perigi maut'?" soalnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pusat perlu bertanggungjawab di atas pembinaan jambatan termasuklah di Kelantan kerana ia melibatkan kemudahan untuk kanak-kanak mendapat ilmu di sekolah.

Tambahan pula katanya, apa yang berlaku di Kelantan memperlihatkan betapa perit dan bahayanya murid-murid berulang alik ke sekolah melalui jambatan tersebut, iaitu antaranya Sekolah Kebangsaan Tanjong Mas, Pengkalan Chepa. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com