Saturday, February 26, 2005

ISA: GMI bimbang tangkapan sebagai 'kambing hitam'

Oleh Hafiz MOhd Baqi

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melahirkan kebimbangan berikutan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen sebagai 'kambing hitam' semata-mata.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tidak mustahil ISA telah digunakan dalam kes kakitangan awam itu untuk menjadikan segelintir mereka sebagai kambing hitam untuk menutup kes yang boleh membuka pekung atau kelemahan kerajaan terhadap ciri keselamatan dokumen yang dianggap peribadi dan sulit.
"Bukankah kes-kes penahanan ISA yang dikaitkan dengan pemalsuan dokumen dan seumpamanya hanya senyap begitu sahaja? Siasatan pun entah ke mana, yang ditahan pun tiada pembelaan. Yang pasti, keluarga derita dan rakyat dibuaikan dengan kenyataan-kenyataan oleh pihak kerajaan sama seperti yang kita dengar dan baca hari ini," kata beliau dalam satu kenyataan berhubung penahanan terbaru sejumlah yang tidak diketahui terdiri daripada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen di bawah ISA sebagaimana yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Menurut laporan, kakitangan tersebut ditahan di bawah ISA atas dakwaan terbabit dengan sindiket yang pakar dalam memalsu dan menjual dokumen perjalanan.

Penahanan itu juga mempunyai kaitannya dengan rampasan 150 kad pengenalann daripada warga asing baru-baru ini termasuk MyKad yang mempunyai ciri keselamatan canggih.

Malah, turut ditahan sejak sebulan lalu walaupun tidak diumumkan oleh pihak polis mahupun kerajaan ialah seorang pegawai wanita berusia 25 tahun yang ditahan di bawah ISA seperti yang dilaporkan Berita Harian dan disahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Noh Omar.

Kata Syed Ibrahim, sekiranya benar wujud sindiket pemalsuan dokumen yang melibatkan kakitangan awam maka siasatan segera perlu dilakukan dan semua yang terbabit dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.

Dengan cara demikian kata beliau, pendedahan sebenar dapat dilakukan dan mereka yang terbabit boleh dikenakan hukuman dengan pengetahuan umum di samping mampu mencegah apa juga kegiatan serupa di masa akan datang.

Sehubungan itu kata Syed Ibrahim,pihaknya sangat kesal apabila kerajaan menggunakan ISA untuk melakukan penahanan sedangkan terdapat banyak lagi undang-undang lain yang boleh digunakan tanpa mencabuli hak tahanan untuk mendapat pengadilan.

Justeru katanya, kerajaan perlu mendakwa mereka yang ditahan di bawah ISA itu di dalam mahkamah perundangan dengan mengemukakan kes dan bukti yang kukuh tanpa teragak-agak.

Sekiranya tidak melakukan demikian beliau mendesak supaya semua tahanan perlu dibebaskan segera kerana penahanan mereka di bawah ISA merupakan satu pencabulan hak asasi manusia.

"Keutuhan dan kepercayaan kita kepada undang-undang perlu dikekalkan. ISA nyata tidak membantu malah menghancurkan keutuhan sistem undang-undang.

"ISA juga tidak mengukuhkan keutuhan institusi polis mahupun badan siasatan kehakiman kerana penahanan boleh dibuat tanpa sebarang bukti untuk selama bertahun-tahun lamanya jika mereka mahu," tegas beliau

Dalam masa yang sama kata Syed Ibrahim, beliau menyeru semua pihak supaya prihatin akan penggunaan ISA dan keburukannya serta bersama-sama berusaha untuk memansuhkan undang-undang zalim tersebut. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com