Friday, February 25, 2005

`Mana boleh, saya bantah ICM'

Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT

HULU TERENGGANU 24 Feb. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, Suruhanjaya Antara Agama (ICM) tidak boleh diwujudkan di negara ini kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.

Beliau menegaskan, jika ICM ditubuhkan tentunya agama Islam akan turut berada di bawah suruhanjaya ini.

``No way, mana boleh, saya membantah perkara ini,'' tegas beliau sambil menyifatkan usaha yang diterajui Majlis Peguam itu sebagai `membuka' isu lama.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika memperkatakan sesuatu isu yang cuba menyentuh institusi keagamaan di negara ini.

``Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu (menubuhkan ICM) kerana perlembagaan negara ini telah menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi. Kalau ICM ditubuhkan bererti Islam pun sudah pasti akan turut berada di bawah suruhanjaya itu, bagaimana ni?,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian program Kajian Lapangan Dalam Komuniti 2005 di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini.

Program selama tiga hari anjuran Jabatan Ekologi Sosial, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia (Kustem) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu disertai seramai 98 orang pelajar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Telemong, Rozi Mamat; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Kustem, Dr. Abdul Majid Mohd Isa dan Pengarah JHEOA Kelantan/Terengganu, Suhairy Abdul Ghani.

Abdullah memberitahu demikian sebagai mengulas bantahan pelbagai pihak berhubung usaha Majlis Peguam yang ingin menubuhkan ICM menjelang persidangan mengenai perkara itu di ibu negara hari ini.

Dalam laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, pelbagai pihak menyifatkan usaha itu sebagai mencampuri urusan agama Islam dan usaha itu patut dikecam kerana ia cuba mencabar agama ini seterusnya memusuhi undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik sebuah badan perundingan dan penasihat.

Menurutnya, keadaan dalam negara juga tidak memerlukan penubuhan IRC kerana kerajaan sekarang ini tidak pernah menyekat mana-mana agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.

``Kalau hendak diletakkan agama mereka sahaja (tidak termasuk agama Islam) itu terserah... tapi kalau nak letak Islam di bawah Suruhanjaya Antara Agama itu tidak boleh dan amat bercanggah,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com