Friday, February 25, 2005

Jawatankuasa ICM nafi penubuhan pengaruhi urusan Islam

Oleh: HELMI MOHD. FOAD dan HERMAN HAMID

BANGI 24 Feb. - Jawatankuasa Pemandu Penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) menafikan dakwaan pelbagai pihak bahawa penubuhan badan itu akan mempengaruhi urusan agama Islam.

Pengerusinya, Malik Imtiaz Sarwar berkata, suruhanjaya itu juga tidak sekali-kali akan menjadi badan penghakiman terhadap pelbagai masalah membabitkan umat Islam termasuk kes murtad.

Sebaliknya beliau menjelaskan, ICM dicadangkan untuk bertindak menjadi perunding dan pendamai sebagaimana yang telah dirangka dalam kertas cadangan penubuhannya.

``Dalam isu seperti murtad, kita tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, sebaliknya hanya boleh mengemukakan pandangan.

``Misalnya kita memberikan cadangan bahawa sesuatu kes sepatutnya begini... jangan penjara tetapi beri kaunseling, namun ia terpulang kepada kerajaan atau jabatan agama untuk membuat penelitian,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi rehat selepas majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Ke Arah Penubuhan ICM oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim, di sini hari ini.

Malik yang juga seorang peguam berkata, ICM bukan hanya akan memberikan fokus kepada masalah berkaitan dengan Islam sebaliknya mencakupi agama-agama lain.

``Jadi kritikan yang memikirkan bahawa kita hanya akan fokus kepada Islam itu adalah tidak betul,'' katanya.

Tambah beliau, ICM berhasrat mahu menangani sebarang tekanan dan konflik yang berlaku membabitkan pelbagai agama di negara ini.

Katanya, dengan wujudnya sebuah badan berkanun, sebarang konflik dapat ditangani dengan berkesan berbanding jika hanya dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau perseorangan.


``Takkan semua isu kita hendak bawa ke mahkamah, sedangkan ia merupakan jalan penyelesaian yang terakhir,'' ujar Imtiaz.

Sementara itu Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Kuthubul Zaman Bukhari berkata, usaha menubuhkan suruhanjaya tersebut tidak sekali-kali berhasrat untuk mencabar mana-mana badan agama atau pandangan Islam.

Jelas beliau, persidangan tersebut merupakan satu proses mengenal pasti nilai etika yang standard untuk digunakan bagi mencapai keharmonian agama di negara ini.

``Saya percaya jawatankuasa penubuhan ICM akan melihat hasil perbincangan dalam persidangan ini dan para peserta bebas memberi pandangan, selepas itu baru mereka akan tahu apakah sebenarnya matlamat suruhanjaya itu,'' ujar beliau.

Menurut Kuthubul Zaman, penubuhan ICM juga tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan kerajaan atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

``Majlis Peguam juga sebenarnya tidak pernah berhasrat untuk menjadi juara dan bertindak menerajui penubuhan ICM.

``Kami hanya membantu melicinkan penganjuran persidangan ini,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com