Friday, February 25, 2005

Isu PTPTN: Kerajaan dirayu sediakan pendidikan percuma

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) mendesak kerajaan memberi pendidikan percuma kepada rakyat miskin sehingga ke peringkat tertinggi kerana langkah itu bersesuaian dengan prinsip Islam Hadhari.


Pengerusinya, Haji Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu memberikan pelajaran percuma sehingga ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT) selaras dengan keutamaan diberikan Islam dalam menuntut ilmu.

Katanya, jika kemudahan itu tidak dapat dilaksanakan, sekurang-kurangnya kerajaan berusaha memberi biasiswa kepada pelajar miskin.

Menurut beliau, memberi pelajar pendidikan percuma merupakan satu langkah yang wajar pada waktu kerajaan berbelanja besar bagi menyelamatkan banyak syarikat-syarikat besar.

Selain itu beberapa agensi kerajaan menyediakan peruntukan besar seperti RTM memberi pencen kepada artis veteran manakala Kementerian Belia dan Sukan pula memberi pencen kepada ahli sukan yang memenangi pingat Olimpik.

Justeru, apa salahnya kerajaan turut memberi pendidikan percuma daripada peringkat rendah hingga ke IPT memandangkan tidak ada satu jaminan bahawa para siswazah mendapat kerja selepas tamat belajar.

Mahfuz yang juga AJK PAS Pusat kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengatakan; "Semasa nak minta kemudahan, beriya-iya sangat, nak hutang beriya-iya sangat, melobi orang itu dan lobi orang ini minta segala sokongan dan sebagainya. Dah selesai belajar tak nak bayar balik.”

Beliau kesal dengan kenyataan Abdullah dan sebagai Perdana Menteri beliau tidak wajar mengeluarkan kenyataan begitu.

Katanya, ini kerana sebahagian keluarga pelajar IPT memang tidak berkemampuan dan tidak ada jalan lain, melainkan terpaksa berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Mereka bukan melobi tetapi ibu bapa terpaksa berhutang dengan PTPTN sebab mereka tidak mampu untuk menanggung segala perbelanjaan anak-anak mereka di IPT.

Bagaimanapun, sememangnya mereka layak untuk menerima apa sahaja bentuk bantuan sama ada buku-buku dan biasiswa," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap, kerajaan wajar pertimbangkan semula tindakan untuk membawa pelajar yang tidak membayar hutang PTPTN ke mahkamah bermula April ini. – SA/lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com