Friday, February 25, 2005

Cuaca panas: Umat Islam diminta tunai solat istifqa’

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan meminta umat Islam menunaikan solat istifqa' untuk meminta hujan berikutan keadaan cuaca panas dan kering sehingga suhu mencecah 40 darjah selsius.


Ketuanya, Ustaz Salleh Sani Al-Hafiz berkata pihaknya juga akan mendirikan solat Istifqa' supaya Allah menurunkan hujan bagi mengurangkan sedikit keadaan yang terlalu panas.

Beliau berkata, panas atau sejuk itu datang daripada Allah SWT dan manusia wajib menerima cuaca itu dengan reda.

"Kalau kita tidak reda dengan ketentuan Allah bermakna kita telah marah dengan Allah, kita tidak boleh marah dengan Allah sebab panas dan sejuk itu hak Allah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tengah hari ini.

Ustaz Salleh yang juga Ahli Perhubungan PAS Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah Pusat Ramalan Kaji Cuaca, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, Wong Teck Kiong berhubung darjah kepanasan cuaca sekarang.

Wong Teck berkata, keadaan itu berlaku di sebabkan ekuinoks iaitu keadaan ketika matahari bergerak menghampiri garisan Khatulistiwa yang dijadualkan berlaku pada 21 Mac depan.

Ustaz Salleh berkata, bala yang diturunkan terhadap umat merupakan cubaan daripada Allah dan cubaan itu bertujuan meningkatkan pendekatan hamba-Nya.

Katanya, bagi mereka yang bersabar menempuh segala cubaan daripada Allah sudah pasti akan memperolehi pahala yang berganda.

Menyentuh soal itu tambah beliau, dengan cuaca panas terik ini kemungkinan akan mengubah sikap sebilangan umat Islam tidak akan berjemaah di masjid.

Sehubungan itu katanya, umat Islam kena kuatkan azam dan teruskan melaksanakan tugas pengabdian kepada Allah dan anggaplah cuaca panas itu sebagai satu percubaan.

"Biasanya kalau keadaan cuaca biasa apabila melakukan ibadah pahala yang diperolehi seperti biasa, tetapi jika keadaan yang mencabar pahala yang diberi berganda," katanya. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com