Friday, February 25, 2005

IFC: Dua kenyataan berbeza pemimpin Islam Hadhari

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - Isu penubuhan Suruhanjaya Antara Fahaman (IFC) mendapat reaksi berbeza dua pemimpin Umno yang menyanjung konsep Islam Hadhari.

Kenyataan dan pendirian berbeza disampaikan oleh dua menteri ternama serentak pada hari yang sama dalam majlis yang berasingan.
Abdullah Mohd Zin tolak keras IFC

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Abdullah Md. Zin berkata, Suruhanjaya Antara Fahaman (IFC) tidak boleh diwujudkan di negara ini kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.

Beliau menegaskan, jika IFC ditubuhkan tentunya agama Islam akan turut berada di bawah suruhanjaya ini.

"No way, mana boleh, saya membantah perkara ini," tegas beliau sambil menyifatkan usaha yang diterajui Majlis Peguam itu sebagai `membuka' isu lama.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika memperkatakan sesuatu isu yang cuba menyentuh institusi keagamaan di negara ini.

"Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu (menubuhkan IFC) kerana perlembagaan negara ini telah menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi. Kalau IFC ditubuhkan bererti Islam pun sudah pasti akan turut berada di bawah suruhanjaya itu, bagaimana ni?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian program Kajian Lapangan Dalam Komuniti 2005 di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini.

"Kalau hendak diletakkan agama mereka sahaja (tidak termasuk agama Islam) itu terserah... tapi kalau nak letak Islam di bawah Suruhanjaya Antara Agama itu tidak boleh dan amat bercanggah," katanya.

Rais sokong dan sama rata semua agama

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato' Seri Mohd Rais Yatim dalam ucaptama perasmian persidangan IFC di Hotel Equatorial, Bangi semalam menyatakan, baginya tidak ada halangan untuk menubuhkan IFC.

Katanya lagi, penubuhan IFC boleh membantu kepada persefahaman antara agama selain menggalakkan amalan hidup secara harmoni semua penganut agama.

Rais dalam sidang medianya juga menyatakan penubuhan IFC ini sejajar dengan pelaksanaan konsep Islam Hadhari yang mahu rakyat hidup dalam suasana harmoni.

Ujarnya, dengan adanya IFC semua penganut agama boleh menganjur dan menghadiri perayaan pelbagai agama seperti perayaan Krismas, Deepavali, Hari Raya Puasa, Tadau Kamaatan dan Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, dalam ucaptama yang sama Rais telah membuat kenyataan yang dikatakan boleh menjejaskan akidah malah menghina Islam.

"Tidak ada mana-mana penganut agama yang boleh menyatakan bahawa agama mereka lebih baik dari agama lain,'kata Rais.

Kenyataan itu kemudian mendapat respon dan kecaman dari beberapa pihak.

Kenyataan Rais jejaskan akidah, hina Islam

Bekas Yang di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang menyifatkan, dalam sedar atau tidak ucapan Rais itu menyentuh soal akidah.

"Ini satu ucapan yang gila.Beliau seorang yang beragama Islam tidak sepatutnya mengucapkan sedemikian.Ini menggambarkan beliau tidak yakin kepada Islam,"kata Ustaz Ahmad.

Beliau menyifatkan kenyataan Rais itu amat menyalahi akidah seorang Islam.

"Kenyataan itu bahaya.Saya minta Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil tindakan serius kepada Rais,"kata Ustaz Idris.

Mengulas lanjut isu itu Ustaz Idris berkata, ucapan Rais boleh dikategorikan sebagai menghina agama.

Malah katanya, amat bahaya lagi apabila Rais menyatakan sedemikian di hadapan mereka yang bukan beragama Islam.

Katanya, ucapan tersebut boleh mengakibatkan kesyumulan, kesucian dan keagungan Islam diperlekeh penganut agama lain apabila mereka merasakan agama Islam sama seperti agama mereka.

Sehubungan itu beliau sekali lagi menggesa kerajaan dan pihak berkuasa seperti Majlis Mufti segera bertindak ke atas Rais berikutan kenyataan menghina Islam itu. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com