Saturday, February 26, 2005

Syor tubuh ICM melulu - Najib -- `Tidak sensitif dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara'

Oleh: ARSHAD KHAN

PEKAN 25 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) merupakan syor yang tidak sensitif dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri juga menegur semua pihak yang mencadangkan penubuhannya termasuk Majlis Peguam supaya tidak membuat sebarang cadangan melulu terutama yang berkaitan dengan agama Islam.

Beliau mengingatkan bahawa sebarang isu berkaitan dengan agama Islam adalah amat sensitif dan perlu dinilai secara serius sebelum sebarang cadangan dibentangkan kepada umum.

``Apa-apa yang bersabit agama Islam adalah perkara yang sensitif, jadi kita (kerajaan) berharap semua pihak mengambil kira hakikat ini dan sebarang cadangan perlulah mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi,'' jelasnya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pengeluaran Ulung Mercedes-Benz E-Class dari kilang pemasangan MTB di sini hari ini.

Cadangan penubuhan ICM ditentang hebat pelbagai pihak kerana ia dilihat akan mencampuri urusan agama dan memusuhi undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik sebuah badan perundingan dan penasihat.

Semalam, sebanyak 24 pertubuhan agama dan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam menganjurkan Persidangan Kebangsaan Ke Arah Penubuhan ICM dan ia dibiayai oleh sebuah Yayasan Konrad Adenauer.

Sementara itu, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut berpendapat, usaha Majlis Peguam itu patut dikecam kerana cuba mencabar Islam.

Majlis Peguam pula sebaliknya menyifatkan penubuhan ICM tidak sekali-kali akan memainkan peranan selaku badan penghakiman terhadap pelbagai masalah membabitkan umat Islam termasuk isu murtad.

Mengulas lanjut, Najib berkata, semua pihak harus sedar bahawa Islam merupakan agama rasmi dan telahpun mempunyai badan-badan yang berkuasa dalam membuat sebarang penentuan berkaitan agama itu.

Beliau berkata: ``Yang kita galakkan ialah dialog antara agama tetapi tidak semestinya dalam bentuk suruhanjaya dan sebagainya.''

Menurut beliau, pentadbiran berkaitan agama Islam di negara ini sudah cukup mantap melalui beberapa pihak berkuasa yang dilantik kerajaan.

Najib juga meluahkan harapan agar isu berkenaan tidak diperbesarkan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

``Semua pihak berhak untuk membuat cadangan tetapi tidak semua cadangan akan diterima,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com