Monday, February 28, 2005

Batalkan ICM Demi Keamanan Semua Agama

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju dengan cadangan Presiden PAS Y.Bhg. Dato’ Seri Tn. Guru Hj. Abd Hadi Awang agar Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) dibatalkan bukannya ditangguhkan seperti kata YAB Perdana Menteri Malaysia-Dato’ Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi.

DPPWP melihat ICM merupakan suatu ancaman besar terhadap rakyat di Malaysia yang berbilang kaum dan pelbagai agama. Jika dilihat dari praktikalitinya, sememangnya idea ini tidak terdapat dalam mana-mana agama sekali pun. Tiada agama lain yang berhak mempersoalkan dan mencadangkan perkara baru dalam pengamalan dan ajaran agama lain dengan sewenang – wenangnya.

Kegagalan kerajaan Amerika, Eropah, Afrika dan serta kerajaan lainnya di Asia dalam memupuk perpaduan kaum dilihat berpunca dari perundangan liberal mereka yang membiarkan rakyatnya dari agama lain mengkritik agama lain seperti yang dilakukan oleh Amerika yang menuduh Islam sebagai agama Pengganas. Kita tidak mahu idea seperti ini dibawa ke dalam masyarakat Malaysia.

DPPWP menolak idea ini buat selamanya dan ahli – ahli DPPWP bersama ahli PAS yang lain bersedia untuk mati sekiranya ada kumpulan tertentu atau agama lain yang cuba mencabar hak dan dasar – dasar dalam agama Islam.

DPPWP melihat tindakkan mereka ini juga sebagai satu provokasi untuk menimbulkan ketegangan antara agama dalam Negara ini. Selain itu, Keputusan yang dibuat oleh mereka tidak mengambil kira pendapat ulama’ atau Mufti-mufti dalam Negara.

Paling menduka citakan, tindakkan provokatif mereka ini juga telah membelakangkan YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Ketua agama Islam dalam Negara ini.

DPPWP juga tidak mengiktiraf Sisters In Islam serta BAR Council of Malaysia sebagai wakil Umat Islam di negara ini dalam membahaskan isu atau cadangan menubuhkan ICM ini kerana mereka bukanlah dari kalangan Ulama’. Kita mahu pendapat ulama dan Mufti-mufti didengar dalam sebarang dialog antara agama yang akan dianjurkan selepas ini.

DPPWP merayu agar pihak YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Majlis Raja-Raja dan Mufti- mufti membuat kenyataan akhbar bagi mewakili umat Islam dalam negara ini untuk menolak cadangan penubuhan ICM ini.

Sekali lagi DPPWP bertegas agar kerajaan mengambil tindakkan tegas untuk membatalkan dan mengharamkan cadangan penubuhan ICM bagi menjaga keamanan dan sensitiviti semua rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip dan amalan semua agama dinegara ini.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com