Saturday, March 12, 2005

SKANDAL PENGURUSAN MAS YANG TERLAMPAU

KUALA LUMPUR : Malaysian Airline System atau Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) telah lama bertapak di Negara ini dan merupakan syarikat penerbangan pertama yang di usahakan atas nama hak milik Malaysia. Dewasa ini, persaingan sengit industri penerbangan Negara bertambah hebat selepas Penstrukturan semula Syarikat Airasia iaitu syarikat penerbangan tambang murah yang kian mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia.

Namun, artikel ini bukanlah ingin membicarakan soal persaingan dan percaturan harga tiket dan kualiti perkhidmatan di dalam industri penerbangan ini. Apa yang ingin di utarakan adalah identiti serta wajah sebenar disebalik kemegahan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dimaklumkan bahawa MAS telah menjadi pusat latihan bagi mempromosikan produk arak di udara. Melalui Malaysia Airlines Academy (MAA) yang dimiliki oleh MAS, ramai belia lelaki dan wanita diambil bekerja dengan MAS.

Setiap tahun sekurang – kurangnya 400 orang Krew Kabin (Pramugara dan Pramugari) telah diambil bekerja. Sebelum itu sesi pemilihan dan latihan telah diadakan melalui MAA bagi memastikan hanya mereka yang berkelayakan dan sanggup mengikuti arahan atasan sahaja yang terpilih.

Mereka yang telah dipilih melalui temuduga akan di berikan latihan lebih kurang 3-6 bulan di MAA. Antara silibus pengajiannya adalah berkaitan dengan keselamatan diudara, servis Katering, bahasa inggeris, bersolek dan beberapa perkara lagi yang berkaitan dengan keperluan seorang krew kabin. Amat memeranjatkan bila mana, tiada satu pun silibus yang diajar itu menyentuh tentang amalan dan peradaban Islam bagi yang muslim dan nilai – nilai moral bagi yang bukan muslim.

Para pelatih juga dibiarkan bercampur gaul sesama lelaki dan perempuan termasuklah di kolam renang ketika sesi latihan berenang. Selain itu, mereka juga diajar berkaitan dengan pengurusan arak, menilai kualiti serta merasai arak, yang mana kebiasaannya arak itu dicampur dengan buah – buahan atau bahan lain yang selalunya disebut ‘cocktail’. Mereka juga diminta menghafal pelbagai jenis-jenis arak sama ada dari golongan ‘wine putih’ atau ‘wine merah’.

Latihan yang seumpama ini, telah mendedahkan pramugara dan pramugari yang beragama Islam kepada risiko penagihan arak di masa depan. Perkara ini terbukti bila mana DPPWP menerima laporan bahawa terdapat ramai Pramugara – Pramugari ini yang menghabiskan masa cuti mereka didalam dan diluar Negara dengan mengunjungi Kelab malam dan Pub bagi mendapatkan arak. MAS tidak mampu untuk menyekat pergerakkan mereka di masa cuti, tetapi harus diingat bahawa MAS bertanggungjawab dalam memperkenalkan mereka kepada arak.

Dan amat memalukan juga bila mana kebanyakan tauke – tauke kelab malam dan Pub sekitar ibu kota memberikan layanan VIP kepada Pramugara – pramugari ini setelah mereka menunjukan Kad Kakitangan MAS yang mereka miliki sebagai tiket untuk masuk. Sememangnya diakui bahawa pramugara – pramugari ini bekemampuan untuk berbelanja besar bagi membeli sebotol arak yang bernilai RM 200 tiap satu setiap kali berkunjung. Bayangkanlah, dengan hanya sekali penerbangan sehala sahaja mereka boleh mendapat elaun sekitar RM 300 – RM 400. Dengan kemampuan inilah mereka mampu untuk berseronok di pusat – pusat maksiat.

Kita harus melihat bahawa ini bukannya kesilapan individu semata. Selagi MAS masih menerapkan budaya dan cara kerja sedemikian rupa serta menggalakkan kakitangan muslim mereka belajar berkaitan dengan arak dan bercampur gaul dengan bebas maka semakin ramailah kakitangan MAS yang akan rosak.

Kita juga sering mendengarkan bahawa adanya segelintir krew kabin MAS yang bertugas diluar Negara mengambil kesempatan melanggan pelacur di luar Negara serta mengadakan hubungan seks bebas di luar Negara. Perkara ini walau pun tidak pernah diakui oleh pihak MAS namun ‘Skandal Pramugara Terlampau’ yang dirakamkan di beberapa tempat di luar Negara telah memberikan kita Jawapannya.

Persoalannya di sini, adakah pihak MAS benar – benar telus dan tegas dalam membuat pemantauan disiplin terhadap kakitangannya yang bertugas di luar Negara. Adakah MAS layak digelar sebagai ‘duta Malaysia’ di pentas dunia sedangkan disiplin serta corak latihannya tidak mengambarkan jati diri Malaysia sebagai Negara yang bertamadun. MAS boleh menjual arak, tetapi biarlah orang – orang bukan Islam sahaja yang dilatih dalam menyediakan arak kepada penumpang yang bukan Islam.

Kita berharap agar kakitangan MAS diberikan peluang mengenali agama dan nilai – nilai murni bagi menyuburkan kesedaran sivik serta moral agar tiada lagi salah laku dan gejala maksiat yang berlaku dikalangan kakitangan MAS. Kita tidak mahu MAS memburukan imej Malaysia di mata dunia sebagai agensi penerbangan yang bukan sahaja menyediakan arak tetapi turut menyediakan kakitangan yang rendah akhlak serta pengetahuan siviknya hingga sanggup menjadi ‘pelacur’ seperti dalam VCD ‘Pramugra terlampau’.

Walaupun isu VCD tersebut sudah basi namun, DPPWP tidak melihat apa-apa perubahan pun yang dilakukan oleh MAS. Justeru itu DPPWP sekali lagi bertegas untuk mengesa agar pihak pengurusan MAS mengambil langkah positif dalam menilai semula silibus pengajian di MAA.. Selagi MAA terus mengekalkan corak latihan yang sedemikian rupa maka semakin membiaklah maksiat yang akan disebarkan oleh kakitangan MAS.

DPPWP juga berharap agar tindakan yang sama diambil oleh syarikat penerbangan lain termasuk Airasia, dan kita berharap agar adanya satu dasar dan manual kerja dikeluarkan bagi semua kakitangan khususnya untuk mereka yang beragama Islam. Ianya seharusnya meliputi urusan berkaitan budaya kerja dan kualiti perkhidmatan yang secara tidak langsung menjadi ‘guard line’ kepada semua agar memahami batas dan peraturan yang ditetapkan.

Kita tidak mahu budaya korporat yang diagungkan oleh MAS serta syarikat penerbangan lain ‘mengkeparatkan’ budaya serta jadi diri bangsa Malaysia di mata dunia. Kita berharap agar MAS dapat memulih imej yang tercalar dengan membuat perubahan yang positif dengan mengutamakan pembinaan sahsiah dan kualiti tenaga kerjanya.

“Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com