Monday, March 14, 2005

Jangan meminta jawatan sebagai pemimpin

Dakwah Daripada Abdul Rahman Ibn Samurah, katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:

“Wahai Abd Rahman Ibn Samurah janganlah engkau memohon sesuatu jawatan pemimpin (kepimpinan). Sesungguhnya jika diberikannya (jawatan pemimpin) dengan permintaan engkau (disebabkan cita-citamu), maka engkau akan diserahkannya tanpa ditolong (menanggung seluruh bebannya). Tetapi jika engkau diberika kepimpinan tanpa meminta (ditugaskan tanpa cita-citamu), maka engkau akan ditolong (untuk mengatasinya).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis diatas disebut, Janganlah kamu meminta-minta sebarang jawatan pemimpin dan kepimpinan. Tegahan tersebut juga meliputi sesiapa yang bercita-cita atau berhasrat untuk meminta dan memohon apa jenis jawatan sebagai pemimpin. Kerana amir itu boleh membawa erti yang luas yang meliputi, Ketua, Sultan, Raja, Hakim, Kadi, Khalifah, Menteri dan sebagainya yang bertindak sebagai pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kemaslahatan masyarakat.

Di dalam hadis diatas juga ada menyebut jika seseorang itu memohon dan meminta jawatan dengan cita-citanya maka jawatan kepimpinan itu akan diserahkan dan diberikan dengan menanggung bebanan sepenuhnya. Ia juga membawa maksud jawatan kepimpinan yang diberikan atas dasar permintaan seseorang itu, ia akan diserahkan tanpa mendapat pertolongan dari Allah S.W.T dan masyarakat untuk menyelesaikan masalah atau apa sahaja yang berkaitan dengan kepimpinan. Dia seorang yang akan bersendirian menanggung segala bebanannya.

Dalam hadis tersebut difahami bahawa Nabi s.a.w tidak menggalakkan atau Nabi s.a.w menegah memohon jawatan penguasa atau pemimpin itu kerana jawatan atau tanggungjawabnya yang besar dan semua itu akan dipersoalkan atau ditanya oleh Allah S.W.T. Sekiranya tidak dapat berlaku adil akan membawa kecelakaan pada hari kiamat nanti. Sebagaimana hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim:

“Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Seorang suami sebagai pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang isteri pemimpin dan bertanggungjawab atas penggunaan harta suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Dan khadam atau pelayan itu bertanggungjawab terhadap harta majikannya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seseorang anak bertanggungjawab terhadap penggunaan harta milik ibubapanya dan ia bertanggungjawab terhadap kepimpinannya.”

Dalam hadis tersebut diatas, Nabi s.a.w menjelaskan bahawa kepimpinan itu tidak digalakkan diminta dan sesiapa yang meminta sebarang jawatan kepimpinan yang mana ia tidak berkemampuan adalah di benci dalam Islam.

Ini adalah kerana seseorang yang tidak berkemampuan akan menyebabkan tanggungjawab yang dipikulnya itu tidak sempurna dan sudah tentu akan menyebabkan kecelakaan terhadap dirinya pada hari kiamat nanti. Hal ini dapat dijelaskan melalui hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Hurairah:

“Sesungguhnya kamu akan berminat atau berhasrat (bercita-cita) terhadap jawatan kepimpinan dan ia nanti akan membawa penyesalan pada hari akhirat.”

Islam tidak menggalakkan umatnya meminta sebarang jawatan kepimpinan khususnya bagi sesiapa yang tidak dapat memastikan dirinya dapat menunaikan tanggungjawab tersebut dengan adil dalam erti kata sebenarnya. Disebabkan untuk menunaikan keadilan perkara yang sukar, maka sebab itulah sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar dan Umar tidak meminta jawatan tersebut malahan dalam kes mereka dilantik sekalipun mereka akan cuba memindahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain yang dirasakan orang lain lebih berhak dan lebih layak untuk berlaku adil berbanding dirinya.

Begitu juga Abu Bakar yang dilantik sebagai pemerintah masih dirasakan dirinya perlu dibantu dan tanggungjawab tersebut adalah berat sebagaimana ucapan beliau di hadapan kaum muslimin sewaktu perlantikannya sebagai khalifah:

“Wahai kaum muslimin semua, kamu telah melantik aku sebagai pemimpin kamu sedangkan aku merasakan aku bukan orang yang terbaik di kalangan kamu. Begitu pula kiranya aku berlaku benar dan adil, bantulah aku dan sekiranya aku menyeleweng perbetulkanlah”

Jawatan kepimpinan merupakan tanggungjawab besar dan orang yang tidak mampu menunaikan tanggungjawab tersebut akan menyebabkan bebanan kepada dirinya dan penderitaan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani:

“Jawatan kepimpinan itu pada permulaannya merupakan penyesalan, pada pertengahannya kesengsaraan dan pada akhirnya azab pada hari kiamat”

Daripada penjelasan tersebut diatas dapat mengukuhkan kita bahawa sesuatu jawatan kepimpinan itu merupakan tanggungjawab yang besar dan tidak seharusnya diberikan kepada sebarangan orang. Hal itu dapat dibuktikan dengan tindakan Nabi s.a.w tidak memberikan kepimpinan kepada orang yang memintanya atau orang yang berhasrat untuk memegang jawatan tersebut. Dalam konteks lain, Nabi s.a.w berbuat demikian supaya umatnya berhati-hati dengan jawatan yang besar itu kerana kebiasaannya manusia menilai sesuatu itu baik untuk dirinya tanpa mengkaji tanggungjawab yang besar yang akan dipikul olehnya. Untuk itu, orang yang mengetahui hakikat tersebut sahaja tidak berminat memegang jawatan kepimpinan.

Tetapi apa yang kita perhatikan sekarang, jawatan menjadi rebutan sesetengah golongan, sehingga sanggup menjatuhkan pihak lawan dengan berbagai cara termasuk dengan melakukan berbagai fitnah, melobi dan sebagainya, yang penting jawatan tersebut menjadi miliknya. Atau dengan lain perkataan ialah "Matlamat menghalalkan cara asalkan dapat berkuasa".

Oleh sebab itu, janganlah kita terpengaruh dengan golongan-golongan yang tamakkan kuasa. Orang-orang seperti itu hanyalah akan merosakkan masyarakat atau organisasi, jika diberikan jawatan tersebut kepadanya.

Hadis tersebut diatas juga menarik perhatian seluruh manusia supaya tidak menjadikan jawatan kepimpinan itu sebagai satu jawatan untuk mencari pengaruh dan publisiti atau material atau untuk kepentingan peribadi. Namun apa yang mesti diinsafi jawatan kepimpinan itu hanya layak diserahkan kepada orang yang berhak.

Mujahidah Islam

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com