Saturday, March 12, 2005

FOMCA Syor Tubuh Suruhanjaya Kaji Permintaan Naik Harga

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Jumaat berkata sebuah Surahunjaya Harga perlu diwujudkan di negara ini bagi mengkaji sebarang permintaan untuk menaikkan harga dari semua sektor serta perkhidmatan.

Presidennya N. Marimuthu berkata suruhanjaya seumpama itu sudah diwujudkan di banyak negara maju, dan ia juga berperanan menerima bantahan daripada pihak yang tidak bersetuju dengan kenaikan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan.

"Kita memerlukan suruhanjaya seumpama itu bagi memastikan sebarang kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mempunyai justifikasi yang boleh diterima oleh semua pihak," Marimuthu memberitahu Bernama.

Sebagai contoh, katanya jika sesebuah persatuan itu mahu menaikkan harga barangan atau perkhidmatan, ia boleh membuat rayuan kepada suruhanjaya itu dan begitu juga pihak yang membantah terhadap cadangan kenaikan itu boleh merayu kepada suruhanjaya yang sama.

Beliau berkata apa yang berlaku sekarang ialah apabila sesebuah persatuan mahu menaikkan harga barangan atau perkhidmatan, mereka menyerahkan memorandum kepada menteri yang berkenaan dan keputusan hanya terletak pada menteri dan bukan secara kolektif oleh sebuah badan.

"Sehubungan itu, FOMCA akan menyerahkan kertas cadangan mengenai penubuhan suruhanjaya itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal pada hujung bulan ini," katanya.

Mengulas keputusan pihak pengusaha pengangkutan awam yang menuntut kenaikan kadar tambang sehingga, Marimuthu meminta kerajaan bertegas dengan keputusan menolak tuntutan itu.

Marimuthu berkata beliau tidak nampak justifikasi terhadap tuntutan menaikkan tambang sehingga 80 peratus itu hanya kerana kerajaan menaikkan harga minyak diesel sebanyak 5 sen baru-baru ini.

Beliau berkata sepatutnya pengusaha berkenaan memberi butiran terperinci terhadap dakwaan mereka menanggung kerugian bagi memberi justifikasi terhadap tuntutan itu bukan sekadar membuat tuntutan secara umum.

Semalam Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa kerajaan menolak cadangan kenaikan tambang hingga 80 peratus bagi pengangkutan awam oleh persatuan pengusaha teksi, bas bandar dan bas ekspress kerana dianggap tidak munasabah.

Beliau berkata kabinet telah mengemukakan cadangan kenaikan antara 10 hingga 20 peratus namun beberapa persatuan pengusaha pengangkutan awam mengemukakan cadangan kenaikan yang lebih tinggi.

Katanya walaupun kenaikan tetap berlaku namun kerajaan memberi jaminan kadar baru yang akan diumumkan pada penghujung bulan ini tidak akan membebankan rakyat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com