Monday, March 14, 2005

Tambah SJKC perlu dilihat dari pelbagai sudut

Daripada: NORAINI ABDUL RAZAK

MANCHESTER 13 Mac - Kerajaan akan melihat cadangan menambah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari pelbagai sudut termasuk kesannya ke atas dasar pendidikan negara serta implikasi yang terbit daripada percambahan sekolah jenis itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak mahu sebarang keputusan yang diambil merugikan matlamat yang hendak dicapai melalui dasar pendidikan negara dan pada masa yang sama tidak mahu mengecewakan kehendak mana-mana komuniti di negara ini.

``Jadi elok pada peringkat ini kita berbincang secara tertutup dahulu,'' katanya pada sidang akhbar hari terakhir lawatan kerja enam harinya ke Britain di sini hari ini.

Najib sebelum itu menyampaikan ucaptama di hadapan kira-kira 1,500 pelajar dan rakyat Malaysia di Britain serta melancarkan Karnival Malaysia anjuran pelajar-pelajar Malaysia di Manchester.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan MCA untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jumlah SJKC di negara ini ditambah menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Khamis lepas, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, pihaknya juga merayu supaya kerajaan menambah bilangan guru di bawah peruntukan yang sama.

Cadangan parti itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan mereka sebaliknya berpendapat kerajaan perlu menambah peruntukan dalam RMK-9 untuk memperluaskan pelaksanaan Sekolah Wawasan di seluruh negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Barisan Nasional (BN) sentiasa menghormati setiap permohonan yang dikemukakan oleh rakan-rakan parti komponen asalkan ia dianggap selaras dengan dasar dan matlamat negara secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, Najib percaya isu tersebut harus melalui peringkat perbincangan terlebih dahulu dan selepas itu kerajaan boleh membuat keputusan yang difikirkan patut dalam konteks dasar dan arah tuju pendidikan negara.

``Tidaklah kita terlalu menggembar-gemburkan isu ini sehinggakan ia menjadi sesuatu yang boleh menimbulkan kerenggangan atau menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dalam negara kita,'' kata Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Ditanya sama ada permohonan menambah SJKC boleh menggagalkan usaha kerajaan untuk menggalakkan integrasi kaum menerusi Sekolah Wawasan, beliau mengulangi pendirian kerajaan untuk melihat perkara itu dari sudut dan dasar matlamat yang hendak dicapai melalui dasar pendidikan negara.

``Jadi setakat ini eloklah kita mengadakan perbincangan secara tertutup dahulu,'' katanya. - Utusan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com