Monday, March 14, 2005

Islam Hadhari: Ulama dihina, artis disanjung

Oleh Mohd Sabri Said

PADANG SERAI, 14 Mac (Hrkh) - Artis disanjung lebih daripada ulama di era Islam Hadhari tajaan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kata, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Mengulas Anugerah Sri Angkasa yang disiarkan terus menerusi TV1, TV3 dan NTV7 beliau menegaskan, artis disambut bagaikan bintang Hollywood di mana selepas menuruni kereta mereka berpasangan memegang tangan dengan melalui permaidani merah menuju ke pentas utama.

"Islam Hadhari juga dilihat lebih menyanjung artis daripada ulama contohnya semasa Anugerah Sri Angkasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lepas, " ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Kata beliau, ulama terhina apabila ramai kabinet Dato' Seri Abdullah sendiri mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan 100 remaja termasuk seorang artis, Jeslina Hashim pada 13 Februari lalu.

Menurutnya, selepas ditahan Jeslina terus mendakwa pihak JAWI mengasari diri dan rakannya.

"Bila cerita ini terpampang di akhbar maka ramailah orang mencerca tindakan JAWI kononnya bertindak kasar dan gagal memberi syarat-syarat pakaian yang boleh dipakai jika mahu ke kelab malam, karaoke, dangdut atau pusat hiburan tengah malam, " tambahnya.

Kerajaan kata beliau, sengaja mahu melahirkan masyarakat yang rosak untuk memenangkan BN dalam setiap pilihan raya.

Di zaman Pak Lah juga sambungnya, golongan artis diangkat menjadi senator yang tidak pernah berlaku pada empat orang Perdana Menteri sebelum ini.

"Ulama umpama 'kupang tembaga' di zaman Pak Lah manakala artis pula diangkat martabat seolah model terbaik, " terangnya dalam anjuran PAS Kawasan Padang Serai yang bermula tiga hari lalu. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com