Tuesday, March 15, 2005

Kajian semula tarif elektrik berterusan

PETALING JAYA 14 Mac - Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi akan menjalankan kajian semula yang berterusan ke atas tahap kecekapan penggunaan tenaga di negara ini termasuk kadar tarif elektrik.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, rakyat negara ini tidak boleh terus beranggapan bahawa mereka akan terus menikmati kadar tarif elektrik yang rendah selama-lamanya.

``Kementerian saya mungkin mengkaji semula kadar tarif elektrik semasa, terutamanya jika harga gas yang kini berharga RM6.40 sejuta unit termal British atau mmbtu naik,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Rumah Contoh Cekap Tenaga oleh Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM) di sini hari ini.

Rumah Contoh bernilai RM115,000 itu dibangunkan oleh Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM).

Ia merupakan sebahagian daripada Pusat Dokumentasi dan Demonstrasi Penyelesaian Tenaga Mapan bagi Isi Rumah Bandar tajaan kerajaan Denmark.

Sementara itu, dalam perkembangan yang berkaitan, Keng Yaik menambah, kementeriannya turut bercadang untuk mewajibkan semua pemaju perumahan tempatan memastikan setiap bangunan serta hartanah yang dibina memenuhi piawaian kecekapan tenaga.

Piawaian kecekapan tenaga itu, jelasnya, sudah termaktub dalam Kod Amalan bagi Kegunaan Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui dalam sektor bangunan bukan kediaman.

Namun, tambahnya, pelaksanaan kod amalan dikenali sebagai MS1525 yang diperkenalkan pada tahun 2001 itu adalah secara sukarela.

Kata Keng Yaik, dengan memasukkan kod amalan MS1525 ke dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam, piawaian itu akan menjadi wajib.

Pihaknya telah mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada akhir tahun lepas dan berharap ia dapat dilaksanakan seberapa segera, ujar beliau.

Di tanya pendapat beliau mengenai rumah contoh kecekapan tenaga itu, beliau berkata, kerajaan menyifatkannya sebagai satu lagi sejarah penting untuk menggalakkan sektor tenaga yang lebih mapan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com