Tuesday, March 15, 2005

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen 21 Mac

KUALA LUMPUR 14 Mac - Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Kesebelas akan berlangsung mulai 21 Mac hingga 11 Mei ini.

Pegawai Perhubungan Awam Parlimen, Ishak Momin dalam kenyataan akhbarnya berkata, sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 22 hari bermula 21 Mac dan berakhir pada 28 April.

Sidang Dewan Negara pula akan berlangsung selama 11 hari iaitu dari 3 Mei hingga 19 Mei.

``Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dijangka berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Kesebelas pada 21 Mac ini.

``Kali ini sebanyak empat rang undang-undang baru akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama selain dua rang undang-undang dari sidang yang lalu bagi bacaan kali kedua,'' katanya di sini hari ini.

Empat rang undang-undang yang baru adalah Rang Undang-undang Kesalahan Penerbangan (Pindaan) 2005, Rang Undang-Undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2005, Rang Undang-undang Terbitan Pelaburan Kerajaan (Pindaan) 2005 dan Rang Undang-undang Ibu Kota Persekutuan (Pindaan) 2005.

Bagi rang undang-undang dari sidang yang lalu pula adalah Rang Undang-undang Kawalan Pertukaran Wang (Pindaan) 2005 dan Rang Undang-Undang Konvensyen Senjata Kimia 2004.

Menurut Ishak, selain itu sebanyak 267 pertanyaan bagi bukan jawapan lisan telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi dijawab secara bertulis manakala bagi pertanyaan lisan pula jumlahnya adalah sebanyak 1,070 soalan.

Antara tajuk utama pertanyaan lisan adalah bencana tsunami, penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM), penebangan hutan bakau, kes demam denggi dan isu pendatang asing tanpa izin.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com