Thursday, March 24, 2005

Imamkan solat Jumaat: Dr Amina berpandukan akal semata-mata

KUALA LUMPUR,(Hrkh) -Sembahyang yang diimamkan oleh wanita yang makmumnya terdiri daripada lelaki dan wanita adalah tidak sah.

Bekas Imam Besar Masjid Negara Ustaz Taib Azamudden Mohd Taib berkata, begitu juga apabila wanita menjadi imam dan membaca khutbah dalam solat Jumaat, maka sembahyang pada hari itu tidak menjadi sembahyang Jumaat. Jelasnya, perempuan tidak wajib berjemaah malah tidak dituntut mengerjakan solat Jumaat, dan apabila perkara tidak diwajibkan maka ia adalah satu kelonggaran yang diberikan agama Islam kepada umatnya.
Menurut Ustaz Taib, dalam hukum fiqh wanita Islam tidak boleh menjadi imam solat kecuali jika ia dimakmumkan oleh wanita sahaja.

"Kalau di dalam jemaah itu ada lelaki maka lelaki itu harus menjadi imam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, misalnya di luar negara umat islam adalah golongan minoriti mereka dibolehkan menunaikan solat Jumaat tetapi ia wajib diimamkan dan dikhutbahkan oleh kaum lelaki dengan syarat dalam jemaah itu ada kaum lelaki.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang mengatakan seorang professor Pengajian Islam di Virginia Commonwealth University mengimamkan dan menyampaikan khutbah solat Jumaat di New York semalam.

Sementara itu, Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Ustaz Salleh Ahmad berkata, professor itu tidak ada asas ajaran Islam dan tidak faham ilmu fiqah, beliau hanya berpandukan akal semata-mata dan tidak berpijak kepada wahyu.

Jelasnya, wanita tidak wajib berjemaah begitu juga dalam mazhab-mazhab lain dan wanita tidak dibenarkan mengimami jemaah yang terdapat kaum lelaki.

"Apa yang dibuat oleh Dr Amina itu tidak munasabah langsung, Dr Amina hanya melihat kepada Islam liberal dan pandangan yang berasaskan akal semata-mata," katanya. SH/mns






0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com