Wednesday, March 23, 2005

Putrajaya ‘lesap’ dalam jerebu

PUTRAJAYA: Kebakaran tanah gambut di Timah Langat, Dengkil serta beberapa kawasan berdekatan sejak empat hari lalu memberi kesan jerebu teruk di pusat pentadbiran negara di sini, semalam hingga menjejaskan jarak penglihatan serta kualiti udara.

Malah, sebahagian besar kompleks kerajaan serta rumah kediaman bagaikan 'hilang' daripada pemandangan mata kasar, terutama pada sebelah petang berikutan jerebu.

Sejak Sabtu lalu, lebih 20 hektar kawasan tanah gambut di Timah Langat serta sebuah pusat pelupusan sampah berdekatan pekan Dengkil terbakar. Bagaimanapun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan jalan raya setakat ini.

Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Sepang dan Cyberjaya yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di semua kawasan sejak minggu lalu, dijangka memerlukan beberapa hari lagi bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya, terutama di kawasan tanah gambut Timah Langat.

Keadaan bertambah buruk sejak pagi semalam, dengan jerebu mengehadkan jarak penglihatan serta suasana kelam dan kabur dirasai di pusat pentadbiran negara ini hingga jam 7 petang. Sesetengah penduduk di sini mengadu mata pedih.

Terbaru, taman hijau Cyber Park di Cyberjaya, dekat sini turut terbakar meliputi kawasan dua hektar yang mula dikesan petang semalam.

Turut dilaporkan terbakar ialah kawasan terbuka di Landasan Dua, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Jalan KLIA-Salak Tinggi, dekat sini dan Labu Lanjut, Salak Tinggi.

Penolong Penguasa Bomba Balai Cyberjaya, Hussin Abdullah, berkata pihaknya menggunakan lima pam air bagi memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut di Timah Langat, sejak Jumaat lalu.

"Kita dijangka memerlukan beberapa hari lagi untuk memadamkan kebakaran di Timah Langat. Asap masih berkepul di kawasan itu kerana ia tanah gambut.

"Kita tidak menolak faktor kebakaran terbuka menyebabkan Putrajaya menghadapi masalah jerebu agak teruk semalam," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hussin berkata, pihaknya juga memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah berdekatan pekan Dengkil sejak kelmarin, manakala api dijangka tidak marak lagi hari ini.

Katanya, petang semalam kerja memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah itu dapat diselesaikan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com