Thursday, March 24, 2005

Wanita perlu faham undang-undang syariah

Oleh Halina Mohd Noor

MAJLIS Kebangsaan Pertubuhan -Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), mengusulkan agar masyarakat diberikan penjelasan mengenai Undang-Undang Jenayah Syariah bagi mengelakkan tanggapan negatif ke atas imej Islam dan sebarang unsur berbentuk penindasan gender.

Usul berkenaan diketengahkan pada panel perbincangan “Undang-Undang Jenayah Syariah dan Wanita-Ke Arah mencari penyelesaian”. Ia dianjurkan NCWO sempena sambutan Hari Wanita Antara bangsa di Dewan Perdana Felda yang dihadiri oleh 150 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wanita dari seluruh negara. Ia bermatlamat memberi kefahaman jelas mengenai Undang-Undang Jenayah Syariah khusus berhubung dengan wanita dan peranan pihak berkuasa yang berkaitan di dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Majlis perbincangan dipengerusikan oleh Yang DiPertua NCWO, Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin bersama dua ahli panel, Ketua Unit Khidmat Masyarakat, Biro Kebajikan & Pembangunan Sosial Pergerakan Puteri Umno, Siti Azizah Omar dan Pengurus Program Sisters In Islam, Masjaliza Hamzah.

Dr Sharifah Hapsah berkata, “Islam sentiasa meletakkan kedudukan wanita di tempat tinggi tetapi kadangkala apa yang terjadi dan dilakukan oleh orang Islam itu sendiri seolah-olah memberi gambaran Islam menindas wanita dan penganutnya. Sebagai negara bermasyarakat majmuk, Malaysia boleh berbangga dengannya dan menjadikan ia sebagai satu kekuatan. Negara kita negara Islam tetapi tidak mendiskriminasi malah mengiktiraf wanita pada kedudukan tinggi dalam pelbagai perkara. Kita tidak mahu perlaksanaan undang-undang Islam yang tidak betul memecah belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Katanya bagi memastikan perlaksanaan undang-undang lebih profesional tanpa menimbulkan keaiban orang lain, unsur dalam undang-undang dan tatacaranya perlu dikaji semula. Ini bagi memastikan ia tidak melanggar peruntukan perlembagaan dan menghormati hak orang lain. Cara undang-undang dibuat berdasarkan fatwa juga perlu dikaji kerana ia mengakibatkan orang ramai tidak sedar mereka telah melanggar undang-undang kerana tidak mengetahui mengenai kewujudan sesuatu undang-undang.

“Kita juga ingin tahu apakah bentuk latihan yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa dan apakah bentuk latar belakang mereka dalam pengetahuan Islam sebelum mereka menahan orang lain. Apakah ‘polis moral’ (pegawai penguatkuasa) ini boleh jaga semua orang dari melakukan jenayah moral yang lebih kepada cara berpakaian, berpegang tangan dan berciuman di khalayak ramai. Mengapa mereka ini tidak menjaga kes lain yang lebih tidak bermoral seperti suami yang meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah. Polis moral atau pengawal moral hanya cenderung menjaga perkara yang senang,” katanya.

Masjaliza turut mengesyorkan layanan sama rata di antara wanita dan lelaki dalam soal penguatkuasaan undang-undang kerana apabila berlaku serbuan, wanita dan lelaki akan menerima layanan berbeza.

“Sesetengahnya dilaporkan dan selebihnya tidak yang membuatkan orang ramai mempersoalkan tindakan pegawai penguatkuasa. Dari sini kita sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan cara perlaksanaan ini. Kita tidak kata Islam tidak adil pada wanita tetapi terdapat bahagian di dalam undang-undang yang tidak berlaku adil pada wanita. Justeru, undang-undang sebegini perlu diasingkan daripada undang-undang syariah,” katanya.

Katanya undang-undang juga perlu jelas dari segi definisi agar orang ramai lebih memahami mengenai sesuatu kesalahan apabila mereka ditahan. Contohnya undang-undang berkaitan cara berpakaian dan berkelakuan tidak sopan gagal dijelaskan dengan sempurna menyebabkan orang ramai masih kabur dengan definisi sebenarnya. Misalnya pada tahun 1997, tiga peserta ratu cantik ditahan oleh pegawai penguatkuasa sebaik saja pertandingan tamat kerana dikatakan berkelakuan dan berpakaian tidak sopan.

“Definisi mengenai apakah cara berpakaian dan berkelakuan sopan perlu diperjelaskan kerana ia terlalu subjektif dan berbeza mengikut pandangan setiap individu. Perlukah ada ukuran tertentu misalnya untuk memakai skirt perlu berada di atas lutut atau bawah lutut bagi memastikan seseorang tidak melanggar undang-undang? Ini adalah antara perkara yang perlu dikaji sebelum perlaksanaan sesuatu undang-undang dilakukan. Pengertian yang terlalu luas dan kabur menyebabkan perlaksanaan undang-undang banyak bergantung kepada tanggapan pegawai penguatkuasa itu sendiri,,” katanya.

Katanya kaedah perlaksanaan Undang-Undang Syariah turut menimbulkan persoalan apabila ia tidak selari dengan falsafah Islam yang mementingkan keadilan, memelihara maruah dan menghormati agama lain. Undang-undang yang dibentuk juga tidak sekata mengikut negeri kerana sesetengahnya dibentuk berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh golongan berkelayakan.

“Fatwa tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu undang-undang kerana ia sekadar nasihat yang dikeluarkan oleh mereka yang berkelayakan seperti mufti. Tetapi di negara ini, fatwa digazetkan sebagai undang-undang tanpa perlu dibahas dan diperdebatkan. Ini menyebabkan orang ramai tidak tahu ia sudah menjadi undang-undang yang secara langsung memberi kesan kepada kehidupan sehari-hari. Cara aplikasinya tidak sekata dan tidak adil seolah-olah pergi memancing untuk menangkap mereka yang bersalah kemudian pilih berdasarkan tanggapan penguat kuasa” katanya.

Sementara itu Siti Azizah Omar berkata, lebih banyak taklimat dan penerangan perlu diberikan oleh Jabatan Agama Islam kepada orang ramai mengenai undang-undang syariah. Katanya banyak perkara yang tidak diketahui atau disedari oleh orang ramai mengenai undang-undang syariah yang wujud hari ini.

“Kita mendesak Jabatan Agama Islam untuk menerangkan apa peranan mereka dan berapa jumlah pegawai penguatkuasa yang mereka ada. Ini termasuk latar belakang dan taraf pendidikan agama masing-masing. Ini penting untuk mengetahui apa sebenarnya keperluan penguatkuasa ini, sama ada mereka ini mendapat latihan profesional atau kursus tertentu,” katanya.

Katanya lagi pendidikan secara rasmi dan tidak rasmi perlu diberikan kepada semua lapisan masyarakat khususnya mengenai undang-undang Islam. Selain itu cara perlaksanaan perlu dikemaskini dan orang ramai lebih memahami peranan sebenar pegawai penguatkuasa.

______________________________________________________

Komen pemudawilayah;

Inilah masalahnya bila mana mereka berjuang atas nama Feminisme. Sisters In Islam nampaknya tidak memahami firman Allah dalam
Surah Annur ayat 31 yang mafhumnya berbunyi:

Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak-anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji mereka daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com