Thursday, March 24, 2005

Sureheboh bertukar menjadi Perkampungan Hadari di Terengganu

Oleh : Azmi Che We, Manir

Mereka hendak bermain wayang. Tetapi mereka tidak boleh menipu ramai manusia ketika sebahagian manusia jelas tertipu dengan strategi licik mereka. Mereka menukar tajuk karnival mereka agar bertukar dari sebutan yang bunyinya agak sosial menjadi sebutan yang agak islamik.

Siapa mereka ? Mereka ialah UMNO. Tidak lain tidak bukan mereka ialah UMNO. Siapa rakan kongsi mereka ? Rakan kongsi mereka kali ini ialah TV3.

Karnival sureheboh yang selama ini gah dengan acara hiburan dan konsert telah bertukar menjadi Perkampungan Hadari apabila mereka berkunjung ke Kuala Terengganu hujung minggu ini. Hujung minggu di Terengganu ialah hari Jumaat dan Sabtu yang tentunya berbeza dengan pantai barat.

Mereka memilih kampung Losong, Kuala Terengganu untuk berkampungnya karnival mereka itu. Tempat karnival mereka pula adalah merupakan sebuah Muzium yang terbesar di Malaysia iaitu Muzium Terengganu. Hairan juga mengapa mereka memilih tempat tertutup sedemikian rupa apabila mereka datang ke Terengganu. Apakah mereka bimbang akan keselamatan mereka apabila mereka datang ke sebuah negeri yang masih kuat dengan pengaruh PAS ? Nampaknya mereka ini bersetuju bahawa PAS masih kuat di Terengganu sehinggakan mereka amat berhati-hati dalam melangsungkan karnival mereka ini di Terengganu. Jika mereka percaya PAS lemah dan tidak berpengaruh di Terengganu, mengapa mereka menukar tajuk karnival daripada sureheboh kepada Perkampungan Hadari ? Mengapa mereka tidak mengadakan karnival ini di tempat terbuka seperti di pusat peranginan Pantai Batu Buruk ? Pantai Buruk sebelum ini adalah tempat ‘rasmi’ acara hiburan atau penganjuran ekspo bahkan sehinggalah kepada ceramah Anwar Ibrahim pun diadakan di Pantai Batu Buruk. Lebih enak lagi, suatu masa dahulu ketika era pemerintahan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dataran Pantai Batu Buruk menjadi tempat sembahyang Tarawih. Jadi apakah helah sebenar Derih Jusoh dan TV3 mengalihkan karnival mereka itu ?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah karnival TV3 diadakan di tempat tertutup seperti yang dirancangkan di Muzium Terengganu ini. Pelik memang pelik. Apakah mereka ingin mempelajari teknik membuat keropok Lekor di Losong ? Mungkin juga kerana ramai orang KL berminat untuk mengetahui rahsia membuat keropok Lekor Terengganu yang terkenal sedap itu dimana Kampung Losong adalah pusat pengeluar utamanya.

Previu Perkampungan Hadari di TV3 menampilkan segmen-segmen agama dimana ditampilkan penceramah-penceramah agama termasuk Ustazah Mashitah, pengacara bertudung litup dan rancangan Jejak Rasul. Langsung tidak ditampilkan artis membuat persembahan terloncat ke kiri dan ke kanan di atas pentas. Jika begitulah keadaannya saya terfikir di dalam hati, adakah TV3 sudah insaf ? Apakah karnival TV3 selepas ini akan berkonsepkan seperti ini juga ditempat-tempat lain di negara kita ini ? Atau adakah ianya hanyalah sekadar lakonan semata-semata, dimana apabila datang ke negeri kuat PAS seperti Terengganu ditampilkan imej islamik dengan tema Perkampungan Hadari tetapi apabila karnival ini berkunjung ke Johor Bharu ianya bertukar menjadi konsert sureheboh yang menampilkan artis seksi dan penonton lelaki dan wanita berhimpit-himpit seperti menaiki Bas Mini di KL suatu masa dulu ?

Ingatlah wahai UMNO dan TV3, kalian semua tidak dapat membohongi kami para cerdik pandai Terengganu. Cerdik pandai di Terengganu adalah para penyokong PAS. Lantaran kecerdikan itulah maka para cerdik pandai ini tidak terpesona dengan UMNO walaupun ajakan kepada UMNO begitu menggoda dan menarik hati. Dengan Puteri UMNO yang cantik jelita, dengan wang ehsan 300 rial seorang, dengan habuan makan percuma dan bermacam-macam habuan lagi kami para penyokong PAS masih bertahan di Terengganu. Sedikit pun tidak berganjak. Kekukuhan kami di atas pendirian ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit mahupun wanita.

Jaga-jaga sedikit wahai TV3 dan Kerajaan Derih Jusoh. Jangan sampai merosakkan Muzium Terengganu apabila ramainya manusia berkunjung ke situ untuk melihat dengan lebih dekat lagi Ustazah Mashitah berceramah.

Sesungguhnya kubur Ulama besar Terengganu yang bertaraf wali iaitu Tok Ku Paloh amatlah dekat dengan Muzium Losong Terengganu. Jangan sampai kebingitan karnival Perkampungan Hadari membingitkan Kampung Losong yang suasana asalnya tenang dan damai.

Penduduk Manir dan rakyat Terengganu yang cintakan kebenaran hakiki menentang apa saja karnival yang indah dari segi bahasa tetapi bertujuan menyimpang di sebaliknya. Suatu masa dahulu di zaman Nabi S.A.W, Baginda mengarahkan dirobohkan sebuah Masjid yang dibina oleh golongan munafik yang membina Masjid tersebut bukan untuk tujuan perkembangan islam tetapi untuk tujuan memecah belahkan umat. Lalu masjid tersebut dirobohkan.

Saya juga percaya Perkampungan Hadari juga bukan sesuatu yang ikhlas untuk perjuangan islam. Jika ikhlas bagaimana di Terengganu boleh diadakan Perkampungan Hadari tetapi di tempat lain ditukar kepada Karnival Sureheboh yang jelas songsang dari segi syariat islam ? Tepuk dada Tanya selera.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com