Thursday, March 24, 2005

SISTERS IN ISLAM PERLU MINTA MAAF KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Minggu lepas, iaitu pada 19 Mac 2005 umat Islam seluruh dunia dikejutkan dengan kemunculan Imam solat Jumaat pertama dari kalangan wanita, iaitu Dr. Aminah Wahdud iaitu salah seorang pendokong Islam Liberal dan antara pengasas awal Sisters In Islam di Malaysia.

Semalam iaitu 23 Mac 2005 Sahabat karib Aminah Wahdud dan anak muridnya iaitu Masjaliza Hamzah dan Datin Paduka Marina Mahathir telah membuat satu lagi kejutan di akhbar Utusan Malaysia. Kedua – dua makhluk ini yang mewakili proksi masing – masing iaitu Sisters In Islam dan Majlis Aids Malaysia telah membuat kenyataan bersama 50 NGO, untuk mendesak Kerajaan agar tidak menggunakan undang-undang bagi mengawal masalah keruntuhan akhlak dalam Negara.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa kesal kerana orang-orang yang sebegini yang kononnya memperjuangkan Islam telah menyalahgunakan peluang yang diberi dengan terus mempertahankan gejala keruntuhan akhlak dalam Negara. Mereka pernah berhujah dalam isu yang lebih kurang sama pada tahun lepas menggunakan firman Allah dalam Surah Yunus : ayat 99 iaitu;

“Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkan engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"

Dan Surah al-Baqarah, : ayat 256:
"Tidak ada paksaan (memasuki) dalam ugama (Islam)."

Sebenarnya, pihak Sisters In Islam telah menyalah tafsirkan ayat-ayat ini yang sebenarnya dikhususkan kepada orang – orang yang bukan Islam, yang mana mereka tidak boleh dipaksa memeluk Islam dan beriman kepada Allah. Walau bagaimana pun setiap Insan yang telah memeluk Islam wajib menunai amar ma’aruf dan nahi mungkar yang dituntut tanpa sebarang pengecualian.

Hakikat sebenarnya, isu keruntuhan akhlak di Malaysia merupakan tanggungjawab sosial semua agama. Tiada agama yang menghalalkan umatnya berpakaian tidak senonoh, berpesta arak, seks bebas, dadah, ragut, rompak, bunuh dan mendera makhluk lain sesuka hati atas dasar memelihara hak asasi manusia.

Di Thailand pada 20 Mac lepas, Sami-sami Buddha bangkit berdemonstrasi, dan berkempen bagi menentang penjualan arak yang keterlaluan dalam masyarakat mereka sehingga menyebabkan masalah keruntuhan moral dikalangan generasi muda.

Islam juga begitu dan tidak pernah bersetuju terhadap masalah sosial yang merosakkan masyarakat. Umat Islam diajar agar mematuhi peraturan dan undang – undang Allah dalam Al-Quran serta Sunnah Rasulullah s.a.w. Jika dalam Sembahyang pun ada undang-undang dan tatatertib yang perlu dipatuhi maka kehidupan seharian lain yang penuh cabaran juga perlukan undang-undang sebagai garis panduan agar tidak berlaku sebarang masalah sosial dan jenayah.

Kenyataan Masjaliza iaitu “cara seseorang itu berpakaian serta bagaimana, di mana dan dengan siapa mereka memilih untuk bergaul adalah perkara peribadi dan pilihan persendirian” amatlah mendukacitakan.

Cara pemikiran sebegini hanya layak bagi mereka yang tidak percaya kepada kewujudan Allah atau tuhan bagi agama lain. Bagi mereka yang percaya kepada konsep ketuhanan maka haruslah mereka menunaikan apa yang diserukan oleh tuhan mereka dan tidak berbuat sesuka hati mengikut kehendak dan naluri sendiri seperti firman Allah iaitu;

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”
(Surah Al-Maidah : ayat 2)

“ Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak-anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji mereka daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya
(Surah Annur :ayat 31)

Gesaan Masjaliza yang meminta agar Kerajaan membubarkan semua peruntukan dalam undang-undang agama dan perbandaran atau pihak berkuasa tempatan yang kononnya menghalang rakyat dari mengecapi hak-hak peribadi tidak perlu dilayan. Permintaan ini seolah-olah menidakkan kewujudan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan secara keseluruhan yang mana Perlembagaan itu adalah induk kepada setiap undang-undang yang ada dalam Negara.

Tindakkan beliau yang cuba mewujudkan salah faham dan mempertikaikan kuasa pihak berkuasa ini sudah keterlaluan dan perlu disiasat segera. DPPWP khuatir dan sangsi akan dasar perjuangan Sisters in Islam yang sebenarnya lebih menjurus kepada perjuangan hak asasi tanpa batasan dan bukannya berjuang atas nama Islam. Dalam Islam hak asasi umatnya ada had dan hanya menjurus kepada perkara positif manakala perkara negatif seperti berpakaian tidak menutup aurat, minum arak, berzina, mencuri dan membunuh tetap perlu dihukum melalui pelaksanaan undang-undang.

Umat Islam juga diseru untuk bangkit menghapuskan kemungkaran, khususnya yang dilakukan oleh umat Islam sendiri dan menghukum para pesalah seperti firman Allah dalam surah An-Nisa’a : ayat 135;

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”

DPPWP mencabar Sisters In islam dan 50 NGO yang menyokong mereka dalam hal ini, untuk membuktikan dalil mana dan keterangan mana yang membenarkan tuntutan mereka? dan Agama mana yang ada dalam Negara ini yang membenarkan penganutnya melakukan apa jua sesuka hati termasuk minum arak berlebihan, berzina, sumbang mahram, membunuh dan sebagainya.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa adanya panduan dan undang-undang hidup. Jika dengan undang-undang yang sedia ada kini masalah jenayah dan keruntuhan akhlak masih tidak dapat di atasi, adakah pembubaran undang-undang agama yang ada dapat menyelesaikan masalah ini. Kita khuatir jika Sisters In Islam sendiri tidak memahami apa yang mereka sedang perjuangkan sebenarnya.

DPPWP ingin bertanyan; Apakah tindakkan mereka sekiranya ada orang yang datang ke Pejabat Mereka dan merosakkan peralatan pejabat yang ada serta merampas segala harta yang ada atas dasar hak asasi, yang mana setiap orang berhak melakukan apa sahaja yang ia ingin tanpa sekatan undang-undang?

Seterusnya, bagaimana cara mereka untuk memperjuangkan nasib seorang gadis yang dirogol oleh ayahnya sedangan Ayah gadis itu melakukannya atas dasar hak asasi dan gadis itu adalah anak jagaannya yang baginya boleh diperlakukannya dalam apa jua cara?

DPPWP tetap bertegas bahawa undang-undang yang sedia ada perlu diperketatkan dan bukannya dibubarkan. Hanya masyarakat yang tidak bertamadun dan barbarian sahaja yang hidup tanpa undang-undang. Nampaknya cara pemikiran Sisters In Islam telah ketinggalan beribu tahun terkebelakang dan tidak sesuai untuk guna pakai lagi kerana sudah expired.

Oleh itu DPPWP berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta Majlis Agama di semua negeri dapat mengeluarkan kenyataan dan siasatan berhubung dengan akidah yang diperjuangkan oleh Sisters In Islam sebelum mereka pergi jauh dalam masyarakat.

Pemikiran songsang dan tidak bertamadun ini perlu diperbaiki serta dihentikan agar tidak mengelirukan rakyat. Jika benar Sisters In Islam memperjuangkan Islam maka mereka mestilah membuktikan bahawa tindakkan mereka, pemakaian serta percakapan mereka sesuai dengan kehendak Islam. Kita tidak mahu mereka mentafsir sebahagian ayat Al-Quran dan mengabaikan ayat lain dalam Al-Quran hingga menyesatkan orang lain.

DPPWP mengesa agar Sisters In Islam bersama 50 NGO lainnya membuat kenyataan akhbar bagi memohon maaf atas tindakkan bodoh mereka. Kita tidak mahu mereka memecahbelahkan kesatuan dan pemikiran rakyat dalam menentang gejala sosial. Kita tidak lihat sebarang cadangan konstruktif yang dapat dicadangkan oleh Sisters In Islam dalam memerangi gejala sosial yang melanda kini.

DPPWP juga menasihatkan agar lain-lain NGO dalam Negara ini berhati-hati dalam membuat kenyataan dan saranan berkaitan isu-isu agama agar tidak mewujudkan rasa kurang senang pada penganut agama lain. DPPWP berharap agar kemanan Negara dapat dijaga dengan menegakkan undang-undang bagi membanteras gejala sosial yang menjadi benih kepada perlakuan jenayah lain dalam masyarakat.

“Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari”

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com