Friday, April 15, 2005

Isu undang-undang moral: Ribuan sertai bantahan di seluruh negara

Isu undang-undang moral: Ribuan sertai bantahan di seluruh negara
Oleh Hafiz Mohd Baqi

KUALA LUMPUR, 15 April (Hrkh) – Ribuan umat Islam berhimpun di pekarangan masjid-masjid utama negeri selepas solat Jumaat hari ini bagi menyuarakan bantahan terhadap tindakan sesetengah pihak mengancam Islam sebagai agama berkedudukan istimewa di negara ini.

Perhimpunan anjuran Dewan Pemuda PAS itu diadakan di pekarangan Masjid Kampung Baru di sini, Masjid Jamek Johor Bahru, Masjid Negeri Seremban, Masjid Al-Fatah Kuantan dan Masjid Negeri Alor Star.

Penyokong berhimpun antara 45 minit sehingga sejam di pekarangan masjid selepas solat Jumaat.

Antara perkara menjadi bantahan Pemuda PAS dalam perhimpunan itu ialah syor menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan tuntutan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berserta 200 individu supaya kerajaan memansuhkan penggunaan undang-undang moral terhadap individu.

Perhimpunan di setiap masjid diketuai oleh jawatankuasa Pemuda PAS bersama pimpinan Pemuda serta badan perhubungan negeri masing-masing.

Harakahdaily difahamkan Pemuda PAS juga akan mengemukakan laporan polis di setiap negeri pada minggu hadapan berhubung isu ini.

Di Kuala Lumpur, Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS yang mengetuai perhimpunan, Hanifa Maiden berkata, tuntutan oleh segelintir pihak itu hanya berdasarkan kepada undang-undang Barat yang tidak mempunyai kaitan dengan umat Islam di negara ini.

Kata beliau, umat Islam hanya perlu kepada peraturan yang berasaskan kepada al-Quran serta hadis.

Justeru kata beliau, pihak tersebut digesa tidak membuat sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam yang sentiasa sensitif dengan agama mereka.

Turut bersama ialah Ketua Pemuda PAS Wilayah, Ridwan Mohd Nor, Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabky Yusuf dan wakil Pemuda PAS Selangor.

Perhimpunan diadakan secara aman sehingga selesai tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Sebelum ini, 50 NGO dan lebih 200 individu yang diketuai anak Perdana Menteri, Nori Abdullah dan anak bekas Perdana Menteri, Marina Mahathir mendesak kerajaan supaya tidak menggunakan undang-undang akhlak ke atas rakyat, khususnya mengawal tingkah laku, perbuatan sivil dan kepercayaan peribadi mereka.

Desakan kumpulan tersebut telah mendapat sokongan Jawatankuasa Kaukus Parlimen berkenaan Hak Asasi Manusia yang diketuai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz.

Di Masjid Al-Fatah, Kuantan, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, pihaknya tidak akan berhenti mengadakan perhimpunan hari ini sahaja, tetapi akan berterusan melawan usaha pihak terbabit.

Katanya, umat Islam perlu bersatu menentang pihak tersebut yang merupakan sebahagian daripada agenda musuh Islam di peringkat antarabangsa yang mahu merosakkan akidah serta memecahbelahkan kesatuan ummah.

Selain itu beliau turut meminta orang ramai hadir pada 19 April ini di Markas PAS Taman Melewar untuk menunjukkan satu lagi bantahan disamping mendengar amanat daripada pimpinan PAS.

Sebelum ini, Pemuda PAS mencabar Sisters In Islam (SIS) yang dianggap sebagai pihak paling berperanan dalam isu yang sama berdebat dengan mereka secara terbuka.

Bagaimanapun sehingga hari ini, SIS belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cabaran Pemuda PAS itu. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com